Pernah tak anda makan biskut scone? Lagi-lagi perisa strawberi yang manis dan sedap ni? Scone ni ialah sejenis biskut lembut, rapuh dan mencair di mulut. Rasanya lemak-lemak manis dengan aroma butter. Selalunya dibuat dengan campuran strawberi atau blueberry. Untuk kali ni, jom cuba buat biskut scone strawberi dengan sapuan extra jem!
Kalau dapat makan biskut ni sebagai kudapan atau jadikannya hidangan minum petang dengan kopi panas, memang betul-betul nikmat. Yang buatkan sedapnya biskut ni ialah teksturnya yang merapuh dan ada campuran buah strawberi yang dipotong kecil-kecil di dalamnya.
Bukan tu je, resepi biskut scone yang dikongsikan oleh Noor Atika Mahamood ni turut ada letakkan campuran kismis sebagai penambah rasa. Setiap gigitan tu terasa nikmat dengan manis buah-buahan yang ada.
Biskut yang lembut ni lagi bertambah sedap bila disapukan jem strawberi. Tambahan jem inilah yang menggandakan lagi rasa dia. Kalau buat untuk anak-anak, pasti mereka teruja. Confirm makan habis sebalang punya.
Proses buat biskut ni sangat mudah sebenarnya. Hanya campurkan bahan-bahan yang tidaklah begitu banyak, kemudian gaul dan sebatikan. Lepas tu bakar dalam oven. Hasil biskut ni semerbak, lembut dan sedap.
RESEPI BISKUT SCONE STRAWBERI
Untuk resepi ni dimasukkan strawberi dan campuran kismis sedikit. Ada sesetengah orang buat biskut scone ni dengan double berry iaitu campurkan strawberi dan blueberry sekali dalam adunan. Rasanya juga sedap. Terpulang pada anda nak letakkan buah apa.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Tepung gandum 350 gram
- Baking powder 1 sudu kecil
- Gula aising 35 gram
- Whipping cream 160 gram (+ – boleh jadi 180 gram)
- Buttercup sejuk 120 gram (dadu)
- Strawberi 3 biji (dadu)
- Kismis 1 kotak (ligo)
Cara buat biskut scone strawberi:
▶️ Mula-mula gabungkan tepung gandum dan baking powder.
▶️ Kemudian ayak kedua-duanya.
▶️ Masukkan butter ke dalam tepung, dan gaulkan menggunakan hujung jari sehingga menjadi seperti serbuk roti.
▶️ Kemudian masukkan gula aising, strawberi yang dipotong dadu kecil-kecil dan juga kismis. Gaulkan menggunakan spatula sehingga sebati.
▶️ Seterusnya masukkan whipping cream dan uli sehingga sebati.
▶️ Sediakan landas atau papan, dan taburkan sedikit tepung.
▶️ Kemudian letakkan adunan di atasnya dan canaikan. Canaikan ikut ketebalan biskut yang anda inginkan. Buat tebal sikit lagi sedap.
▶️ Selepas tu tekapkan dengan acuan bulat atau potong ikut cara apa anda suka. Guan acuan lagi mudah.
▶️ Panaskan oven siap-siap.
▶️ Susunkan adunan biskut yang dipotong tadi di atas dulang pembakar. Kemudian sapukan kuning telur dan madu atau mentega di permukaannya. Kalau tak nak sapu apa-apa pun tak apa.
▶️ Dan akhir sekali bakar pada suhu 180c selama 35 minit atau ikut oven masing-masing.
▶️ Dah siap dibakar, sedia untuk dihidangkan.
▶️ Sapukan jem strawberi untuk rasa yang berganda!
Sedapnya kalau makan biskut scone ni yang penuh dengan rasa lemak manis biskutnya, serta dengan tambahan jemnya lagi. Tahu sajalah perisa strawberi ni. Rasanya lebih enak, manis dan wangi. Kalau lepas bakar tu, lagi sedap dimakan waktu panas-panas. Lebih lembut dan mencair di mulut.
Lepas ni kalau nak hidangkan anak-anak dengan kudapan yang sedap, bolehlah buat resepi biskut scone strawberi dengan sapuan extra jem ni. Bukan sahaja sedap, malah mudah untuk disediakan. Selamat mencuba!