Sandwich ni sedap dan antara menu mudah untuk sarapan pagi. Dulu sandwich ni memang selalu jadi hidangan mak-mak sebab nak buatnya senang. Inti kebiasaannya telur, sardin, sambal dan sebagainya. Tapi sekarang ni sandwich pun dah dijadikan hidangan istimewa dengan pelbagai idea untuk intinya. Kali ni apa kata jom buat sandwich dengan daging burger.
Bukan biasa-biasa resepi sandwich kali ni sebab daging burger ni antara yang enak dan ‘rich’ rasanya berbanding inti lain. Kalau buat inti dagingnya tebal-tebal, lepas tu letakkan bahan perasa sebelum digoreng, memang nikmat sangat rasa daging burger ni lagi-lagi dimasak juicy. Sedap bila digigit dengan roti sandwich.
Perkongsian resepi sandwich daging burger ni ialah dari Zurina Zulkefli. Walaupun sikit je bahannya yang digunakan, tapi cukup sedap dan berperisa selepas daging burger dimasak. Dalam resepi ni juga, sandwich ni diletakkan lagi cheese dan juga sos lada hitam sebelum dihidangkan untuk menambatkan lagi selera.
Macam biasalah hidangan sandwich ni, untuk lagi menarik, lengkapkan lah hidangannya dengan salad, timun, tomato dan sos cili ikut selera anda. Kalau dapat makan sandwich tebal macam ni, memang kenyang dibuatnya.
Nak sediakan inti daging burger ni senang je. Bahan-bahan untuk memasaknya sikit dan simple. Sebab daging burger tu sendiri sebenarnya dah ada rasa tersendiri. Cukuplah sekadar nak menambahkan je lagi rasa.
RESEPI SANDWICH DAGING BURGER
Daging burger ni sebelum dimasak akan dihancurkan dulu untuk sebatikan bahan-bahannya. Selepas dah sebati, baru dibentuk-bentukkan semula ikut besar mana anda nak buat sebagai inti.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Daging burger 3 keping
- Bawang holland ½ biji dipotong dadu
- Daun sup dicincang halus
- Telur ayam 1 biji
- ½ sudu kecil serbuk jintan manis
- Cheese kepingan
- Roti
- Salad
- Tomato
- Sos (tak kira nak letak sos apa yang anda suka. Untuk resepi ni masukkan sos lada hitam)
Cara buat sandwich daging burger:
▶️ Mula-mula sediakan 1 besen atau mangkuk yang mudah untuk gaulkan bahan.
▶️ Kemudian masukkan daging burger, bawang holland, telur, daun sup dan serbuk jintan putih.
▶️ Penyek-penyekkan daging burger dan kacau semua bahan sekali sehingga sebati.
▶️ Kemudian bahagikan kepada 2 dan bentukkan bebola.
▶️ Selepas tu panaskan minyak dalam kuali. Selepas dah panas, masukkan daging burger yang dah dibulat-bulatkan tadi. Leper-leperkan dia dan masak seperti biasa.
▶️ Balik-balikkan supaya masak kedua-dua bahagian.
▶️ Kemudian letakkan kepingan cheese dan biarkan cheese tu mencair.
▶️ Siapkan dulu hidangan sandwich iaitu roti, salad dan tomato.
▶️ Kemudian baru letakkan daging burger yang disaluti cheese tu di atas salad.
▶️ Picitlah apa-apa jenis sos yang anda suka. Untuk resepi ni, pemiliknya masukkan sos lada hitam untuk lawan rasa lemak cheese tu.
▶️ Selepas dah letakkan sos, tutup dengan roti gardenia dan sedia untuk dihidangkan. Belah 2 siap-siap supaya mudah untuk dijamu nanti.
BACA JUGA: Roti Bun Inti Sardin Gebu Dan Lembut. Sedap Ya Amat Dengan Inti Yang Padat!
Tengok daging burger yang dibuat tebal tu memang nampak menyelerakan. Tapi kalau nak buat untuk hidangan anak-anak sebaiknya buatlah nipis sikit dan mudah mereka nak menikmatinya.
Untuk cheese tu pula sebenarnya optional. Kalau anda tak nak letak pun tak apa. Ikut selera masing-masing. Mudah je kan buatnya. Lepas ni jom buat sandwich dengan daging burger ni untuk hidangan istimewa yang sedap dan simple untuk keluarga. Selamat mencuba!