Masa kecil-kecil dulu selalu tak anda makan biskut jejari? Alaa, kebiasaannya kalau beli kat kedai tu dijual dalam timbang kilo. Rasanya plain je tanpa saluti perisa apa-apa, tapi rasanya sedap dan berlemak. Mungkin ramuan biskut tu yang menyedapkannya. Apa kata jom buat kek batik sedap menggunakan biskut jejari ni.
Selalu buat dengan biskut Marie je kan. Tak dinafikan biskut Marie pun ada rasanya yang tersendiri. Tapi sesekali tukar selera ke biskut jejari ni pula apa salahnya. Hidangannya nampak lagi cantik dan menyelerakan. Pasti anak-anak suka.
Janji penuh disalutkan coklat milo dan cukup rasa manisnya. Makan sejuk-sejuk memang layan. Kek batik ni memang antara pemanis mulut yang paling senang untuk disediakan.
Tapi kalau nak buat, kena pastikan bahan coklat milo tu betul adunannya. Supaya nanti lepas disejukkan teksturnya lembut dan sedap mencair di mulut bila makan.
Jom buat kek batik sedap dengan biskut jejari yang dikongsikan oleh Zaimah Zakaria ni. Masa nak buat tu, susun biskut jejari selapis demi selapis secara bertingkat. Barulah kelihatan cantik lepas dipotong.
RESEPI KEK BATIK SEDAP DAN LEMBUT
Biskut jejari ni dah susah sikit nak cari atau dapatkan di pasar raya yang ada. Kalau anda nak dapatkan, cari di kedai-kedai lama yang menjual biskut tin besar yang buat jualan secara timbang.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Susu pekat manis ½ tin
- Milo 2 cawan
- Butter 1 ketul (250 gram)
- Biskut jejari 2 bungkus
Cara buat kek batik biskut jejari:
▶️ Mula-mula panaskan periuk dan masukkan butter. Biarkan mencair.
▶️ Masukkan susu pekat dan kacau sebati.
▶️ Kemudian masukkan milo sikit demi sedikit sambil kacaunya. Kacau sehingga sebati sampai semua bahan mencair dan pekat.
▶️ Sediakan loyang petak yang kecil. Lapikkan loyang dengan plastik.
▶️ Kemudian susun biskut jejari satu persatu secara selapis-selapis.
▶️ Tuang 1 senduk adunan milo, dan susunkan lagi biskut jejari.
▶️ 1 senduk adunan milo dituang untuk setiap 1 lapisan. Lakukan sampai habis.
▶️ Kemudian sejukkan dalam 4 ke 5 jam.
▶️ Selepas 4-5 jam, boleh keluarkan dan sedia untuk dipotong.
BAJA JUGA: Resepi Biskut Coklat Chip Rangup Dan Sedap. Rasa Coklat Enak, Confirm Habis Sebalang!
Nak lagi sedap, lepas habis masukkan kesemua biskut jejari dan adunan milo, taburkanlah sikit almond nips di atas permukaan kek. Nanti masa gigit terasa krup krap krup krap rangup di permukaan, tapi lembut dan enak untuk bahagian keknya.
Lagi sejuk kek ni lagi sedap. Bila makan terasa menyegarkan. Kalau waktu bulan puasa, boleh jadi salah satu dessert atau pemanis mulut yang enak dijamah waktu berbuka. Begitu juga masa hari raya. Boleh hidangkan buat keluarga dan tetamu. Jangan lupa mencubanya!