Baru terbayang popcorn yang ada kat panggung wayang tu, terus rasa terliur kan. Kalau pergi tengok wayang tu, boleh ralit mengunyah. Tau-tau dah tinggal separuh bekas je. Sebenarnya anda boleh buat popcorn sendiri tau. Hanya dengan 5 bahan je, jom buat popcorn sedap standing panggung wayang ni!
Dengan rasanya yang rangup, popcorn ni sebenarnya ada beberapa cara boleh dibuat. Ada yang suka makan plain macam tu je. Dan ada yang suka popcorn disalut dengan perisa, contohnya butterscotch dan caramel. Popcorn yang bersalut inilah yang paling enak dan buat kita mengunyah tanpa henti.
Untuk kali ni, saya nak kongsikan cara buat popcorn homemade perisa caramel yang pasti buat anda dan anak-anak terliur. Resepi ni dikongsikan oleh Fainda Farahin. Tak sangka nak buat popcorn homemade sedap ni hanya gunakan 5 bahan je.
Bukan hanya rasa je sedap, selepas bakar popcorn ni akan bau wangi semerbak dengan keharuman caramel. Boleh buat sekali banyak lepas tu simpan dalam bekas kedap udara. Boleh makan berulang-ulang sampai puas.
Cara nak masaknya gunakan periuk biasa je. Bertih jagung boleh naik kembang dengan hanya goreng dengan minyak yang sedikit. Lepas tu dah terus boleh terus buat kuah caramel untuk disalut pada popcorn yang dah kembang tadi. Mudah je kan. Jom lihat caranya.
RESEPI POPCORN RANGUP PERISA CARAMEL
Bertih jagung ni tak perlu isi banyak-banyak dalam periuk dan pastikan periuk tu tinggi sebab ia nanti akan naik mengembang.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Bertih jagung 1 cup (boleh dapatkan di bakery)
- Minyak masak 5 sudu besar
- Gula perang 1 cup
- Butter 125 gram
- Soda bikarbonat 1 sudu kecil
Cara buat popcorn rangup perisa caramel:
▶️ Mula-mula panaskan minyak masak sedikit di dalam periuk, kemudian masukkan bertih jagung ke dalamnya.
▶️ Minyak masak tu cukup sekadar terkena semua butiran jagung. Kacaukannya sekejap, lepas tu tutup dengan tudung periuk.
▶️ Bertih jagung akan meletup-letup dan naik kembang di dalamnya. Lepas masak, keluarkan dan sejukkannya.
▶️ Selepas tu, siapkan kuah caramel pula.
▶️ Panaskan kuali, masukkan gula perang dan masak sehingga larut.
▶️ Kemudian masukkan butter dan gaulkannya sehingga sebati.
▶️ Seterusnya masukkan soda bikarbonat. Kacau adunan sehingga warnanya cerah sedikit.
▶️ Dah siap caramel, boleh padamkan api.
▶️ Selepas tu tuangkan caramel ni ke dalam popcorn yang dah naik kembang tadi. Gaulkan sehingga sekata.
▶️ Masukkan popcorn ni ke dalam loyang dan bakar dalam ketuhar dalam 30 minit pada suhu 150c.
▶️ Setiap 5 minit, buka ketuhar dan gaulkannya untuk elakkan popcorn berketul-ketul.
▶️ Dah siap!
BACA JUGA: Resepi Biskut Coklat Chip Rangup Dan Sedap. Rasa Coklat Enak, Confirm Habis Sebalang!
Sebelum makan, sejukkannya dahulu. Tak sangka nak buat popcorn sendiri ni sebenarnya mudah je. Ingatkan kat panggung wayang itulah popcorn yang rasa paling kayangan. Rupanya boleh buat sendiri gunakan periuk je dan hanya perlukan 5 bahan untuk popcorn yang lengkap dengan perisa caramel.
Lepas ni kalau nak cuba perisa lain seperti butterscotch pula bolehlah cuba. Hanya masak dah salutkan je pada popcorn, kemudian bakar. Apa lagi, kalau teringin tu, jom buat popcorn sedap setanding paggung wayang ni. Lagi nikmat dapat buat sekali banyak dan makan sampai puas. Selamat mencuba!