Tahun-tahun sebelum ni, tiap kali bulan puasa je mesti banyak resepi agar-agar santan gula melaka orang cari di Internet. Memang menjadi kegemaran ramai sebab rasa lemak santan dan manis gulanya tu. Tambah lagi pula kalau makan waktu sejuk-sejuk.
Agar-agar ni kadang-kadang orang takut nak buat. Sebab risau terlebih lembik, atau rupa kejadiannya tak berapa nak menjadi. Dah nama pun agar-agar, jadi perlulah kenyal-kenyal dan lembut bila masuk ke mulut.
Satu yang perlu anda tahu ialah, setiap agar-agar ada sukatan airnya. Bermakna, kalau gunakan 1 paket agar-agar yang 10 gram tu, sukatan cecairnya ialah 1000 ml. Cecair ni bermaksud campuran kesemua cecair termasuk air, santan, air gula dan sebagainya.
Kalau terlebih cecair agar-agar akan terlebih lembik. Jadi kali ni jom cuba buat agar-agar santan gula melaka yang dikongsikan oleh Asrinna Bakri ni.
Buat hidangan pencuci mulut memang sedap dan melegakan tekak. Nak sajikan untuk tetamu pun sesuai sangat sebab agar-agar ni cantik rupanya.
RESEPI AGAR-AGAR SANTAN GULA MELAKA
Sebenarnya mudah je nak buat agar-agar santan ni. Yang penting anda perlu pastikan sukatan cecairnya betul supaya agar-agar tu nanti tak terlalu berair walaupun simpan 2-3 hari dalam peti sejuk.
Bahan-bahannya:
- Agar-agar bertali 1 paket (10 gram)
- Air 600 ml
- Santan kotak 200 ml
- Air gula 150 ml (resepinya ada dibawah nanti)
- Telur 1 biji (dipukul)
- Daun pandan
- Garam secubit
Bahan-bahan air gula:
- Gula melaka 2 buku
- Gula merah 250 gram
- Gula pasir 3 sudu besar
- Gula batu saiz sederhana 2-3 ketul
- Air 400 ml
- Daun pandan (disimpul)
Cara penyediaan air gula:
▶️ Masukkan kesemua bahan dalam periuk/kuali.
▶️ Kemudian kacaukannya sehingga sebati dengan api yang perlahan.
▶️ Masak sehingga gula semua larut dan air gula sedikit pekat.
▶️ Kemudian tapis dan sejukkan.
Cara buat agar-agar santan gula melaka:
▶️ Sediakan periuk yang sesuai, kemudian masukkan air.
▶️ Panaskan air sehingga mendidih, dan masukkan agar-agar. Kacaukannya sehingga agar-agar larut keseluruhannya.
▶️ Tips supaya agar-agar cepat larut ialah tutup periuk. Tapi kena pantau juga supaya airnya tak membuak.
▶️ Kemudian masukkan air gula tadi dan kacau sebati.
▶️ Dalam mangkuk lain, satukan santan, telur dan juga garam. Dan pukul sekata.
▶️ Dan tuangkan adunan ni ke dalam periuk sambil kacau adunan tanpa henti.
▶️ Teruskan kacau sampai mendidih dan hampir membuak.
▶️ Lepas tu perlahankan api dan biarkan mendidih. Ini bertujuan untuk bagi santan ‘pecah’ dan terpisah.
▶️ Kemudian boleh padamkan api dan tuangkannya ke dalam loyang atau acuan.
BACA JUGA: Agar-Agar Cadbury Atau Puding Cadbury Berlapis. Guna 4 Bahan Je. Sedap Ya Amat!
▶️ Sejukkannya, lepas tu masuk dalam peti ais.
▶️ Sedia dijamah lepas dah sejuk.
Kalau buka peti sejuk tu ternampak agar-agar yang cantik dan menyelerakan ni, mahu berulang-ulang makannya tanpa henti.
Kalau dulu-dulu, agar-agar ni orang panggil lengkong, dan biasanya buat lengkong sirap je sebagai pencuci mulut. Tapi dalam peredaran masa, mulalah pelbagai resepi agar-agar tercipta.
Salah satunya resepi agar-agar santan gula melaka inilah yang dikira inovasi yang sedap dan kena dengan selera tekak zaman ni. Bagi yang tak pernah makan, bolehlah mencubanya.