Ingat lagi tak biskut ni? Zaman sekarang ni mesti jarang orang kenal biskut Mama Carey ni kan? Biskut ni memang legend dan betul-betul nostalgia. Apa kata jom kita try resepi biskut Mama Carey oren ni untuk menggamit kenangan dulu-dulu.
Pada yang tak tahu, biskut ni memang famous dan selalu ada kat setiap rumah, lagi-lagi musim raya. Kelebihan biskut ni ialah dibuat dengan pebagai bentuk. Selalunya orang buat corak daun, rama-rama, hati dan buah-buahan. Memang unik dan cantik.
Sebab tu dulu-dulu suka buat masa raya sebab nak menarik perhatian tetamu. Corak dan warna biskut tu kita buat pakai gula icing. Sedap pun sedap. Kalau buat balik zaman sekarang ni mesti anak-anak suka.
Kalau anda nak cuba buat, boleh ikut resepi biskut Mama Carey oren yang dikongsikan oleh Puan Nor Al-Fatihah ni. Memang cantik sangat corak dan warnanya.
Texture lembut, sedap dan cukup rasa manis dan masamnya. Rugi kalau tak cuba. Resepi ni gunakan sukatan cawan. Senang untuk dijadikan panduan.
RESEPI BISKUT MAMA CAREY OREN
Untuk resepi ni, bahan-bahan biskut dan topping aising tu kedua-duanya kita akan masukkan jus oren fresh. Memang sedap dan wangi.
Bahan-bahan yang diperlukan:
Bahan untuk biskut:
- Butter 250 gram
- Gula kastor atau gula aising 1 cawan
- Kuning telur gred A 1 biji
- Jus oren fresh 1 sudu besar
- Tepung gandum 2 ½ cawan (diayak)
- Tepung jagung 1 ½ cawan (diayak)
Bahan untuk topping aising:
- Putih telur gred A 1 biji
- Gula aising ¾ cawan
- Tepung jagung 1 sudu besar
- Jus oren fresh 1 sudu teh
- Pewarna oren sedikit
Cara buat biskut Mama Carey oren:
▶️ Mula-mula buat biskut dulu. Masukkan butter dan gula kastor / gula aising dalam mangkuk, kemudian pukul pakai mixer sehingga kembang.
▶️ Seterusnya masukkan telur kuning dan jus oren dan pukul lagi sehingga sebati.
▶️ Selepas tu masukkan tepung-tepung yang dah diayak tadi ke dalam adunan. Dan gaulkan dengan tangan sehingga menjadi doh.
▶️ Kemudian canaikan adunan tu dan tekap dengan acuan bulat saiz kecil/sederhana je. Sedia untuk dibakar.
▶️ Susunkan atas dulang yang dialas baking paper dan bakar pada suhu 150c selama 8 hingga 10 minit.
▶️ Bakar jangan lama sangat. Cukup sekadar separuh masak sebab nanti akan dibakar sekali lagi lepas dah diletak topping aising.
▶️ Dah siap tu keluarkan dari oven dan tunggu sejuk sekejap. Kemudian sediakan topping aising pula.
▶️ Masukkan telur putih ke dalam bekas dan pukul sampai kembang dan bertanduk.
▶️ Kemudian masukkan jus oren fresh, gula aising dan tepung jagung. Pukul lagi sehingga pekat dan kental. Nak tau dah kental, masa angkat tu aising ni tak jatuh.
▶️ Selepas tu bahagikan adunan kepada 2 bahagian. Yang satu bahagian tu sikit je, dan satu lagi lebih banyak.
▶️ Bahagian sikit tu biarkan adunan putih, dan bahagian banyak tu masukkan pewarna oren. Lepas dah sebatikan pewarna, masukkan kedua-duanya dalam piping bag berlainan.
▶️ Sedia untuk bentukkan atas permukaan biskut.
▶️ Mula-mula paip line disekeliling biskut dengan aising putih. Lepas tu buat pula beberapa line di atas permukaan biskut. Boleh tengok gambar.
▶️ Kemudian buat corak orennya pula. Picit aising oren di antara line-line putih atas permukaan biskut tadi.
▶️ Akhir sekali picit aising putih untuk biji buahnya pula.
▶️ Buat aising ni tebal-tebal sikit barulah cantik.
▶️ Selepas tu, sambung bakar semula pada suhu 140c lebih kurang 3 ke 5 minit. Boleh check dah masak ke belum. Kalau picit aising dah keras dan tak melekat di jari, maksudnya dah masak.
▶️ Boleh keluarkan dan sejukkan dulu. Lepas tu simpan dalam bekas kedap udara. Dah siap!
BACA JUGA: Resepi Biskut Coklat Almond Crunchy. Boleh Dapat 150 Biji. Sedap Dan Rangup!
Wahh, cantik sangat bentuk dan warnanya. Kalau buat stok banyak-banyak memang laku keras ni. Biskutnya wangi, sedap dan lembut.
Warna orennnya pun cantik dan menarik dengan kalernya yang tak berapa pekat dan soft je. Cantik bila dihidangkan.
Nanti bolehlah buat biskut mama carey oren ni sekali banyak dan simpan dalam balang untuk kudapan anak-anak. Jangan lupa mencubanya!