Kalau sebut puding caramel, terbayang tekstur keknya yang lembut, gedik-gedik dan cantik menggoda. Antara pemanis mulut yang sedap, manis ditambah lagi dengan hiasan buah sebagai topping. Dalam pada duduk di rumah tu, apa kata jom cuba resepi puding caramel dengan hiasan strawberi ni!
Nak buat resepi puding caramel ni tak gunakan bahan yang banyak pun. Cuma kena berhati-hati untuk buat bahagian caramel supaya ianya jadi dan membeku. Bila ditebalikkan nanti cantik terbentuk permukaannya.
Bila diletakkan pula topping buah-buahan seperti strawberi, lagilah nampak menyelerakan. Sesuai nak buat hidangan untuk keluarga dan tetamu.
Resepi puding caramel dengan hiasan buah ni perkongsian dari Amira Yantie Shahpori. Cara buat caramelnya mudah je dan bahan untuk puding pun tak banyak.
Bila sebut caramel je, tahulah kan rasanya manis. Jadi, bila dah gabungkan dengan bahagian puding yang berlemak tu rasanya sekata. Tapi terpulang pada anda nak adjust gula supaya tak begitu manis.
RESEPI PUDING CARAMEL HIASAN STRAWBERI
Untuk buat puding caramel ni, kena pandai gunakan saiz loyang yang sesuai. Supaya nanti sepadan dengan lapisan caramel anda. Kalau loyang terlampau besar, nanti bahagian caramel tak nampak tebal pula.
Resepi ni letakkan hiasan strawberi untuk hidangan lebih cantik dan sedap. Kalau anda tak nak letak atau nak gantikan dengan buah lain pun boleh juga. Ikut selera masing-masing.
Bahan-bahan yang diperlukan:
Bahan caramel:
Gula secukupnya
Bahan puding:
- 10 biji telur
- Susu cair 250 ml
- Air kosong 250 ml
- 3 sudu makan gula
- 1 sudu makan susu pekat
- 1 sudu teh esen vanilla
- Buah strawberi dipotong kecil
Cara penyediaan puding caramel:
▶️ Mula-mula sediakan loyang saiz yang sesuai.
▶️ Masukkan gula ke dalamnya dan panaskan atas dapur.
▶️ Gula tu boleh adjust banyak mana ikut tahap kemanisan anda mahu.
▶️ Gunakan api yang sedang je, dan biarkan gula mencair.
▶️ Bila gula dah cair sepenuhnya, lenggangkan loyang tu supaya caramel sekata ke keseluruhan loyang.
▶️ Kemudian ketepikan dan biarkan sejuk.
▶️ Dalam bekas lain, campurkan kesemua bahan untuk puding. Kacau sehingga sebati.
▶️ Selepas tu tuangkan ke dalam loyang caramel yang dah disejukkan tadi.
▶️ Panaskan air pengukus, dan kukus dalam 20 ke 30 minit.
▶️ Selepas dan masak puding caramel, keluarkan dari pengukus dan tunggu suam-suam sekejap.
▶️ Kemudian terbalikkan ke dalam piring atau bekas.
BACA JUGA: Puding Lumut Sedap Dan Menggiurkan. Makan Sejuk-Sejuk, Confirm Sehari Je Boleh Habis!
▶️ Boleh simpan dalam peti sejuk untuk rasa lebih sejuk dan segar.
▶️ Tapi kalau nak makan suam-suam tu pun sedap juga. Ikut selera anda.
Sedap sangat bila potong dan makannya dalam keadaan sejuk. Puding caramel ni kelebihannya ialah tekstur lembut dan bergoyang selepas dipotong.
Tambahan lagi rasa manis-manis pekat gula yang dah dibakar atas dapur tadi. Sedap sangat nikmatinya sejuk-sejuk. Nak buatnya pun mudah dan cepat. Selamat mencuba!