Pernah tak makan roti puri kalau pergi ke kedai mamak? Kalau dapat makan roti puri yang lembut, sedap betul cicah dengan kuah karinya. Bagi peminat roti puri, jom cuba buat sendiri di rumah. Ada cara buat roti puri tanpa yis yang mudah untuk disediakan, tapi hasilnya cantik mengembang!
Itu yang buatkan kita berselera sangat bila roti puri ni terhidang cantik mengembang. Yang lagi sedapnya kalau dapat makan panas-panas dan cicah dengan sambal ikan bilis atau sardin. Jadikan hidangan minum petang dengan teh o atau kopi panas memang nikmat!
Roti puri ni nak ikutkan rasanya biasa dan plan je, tapi sedap dimakan dengan hidangan berkuah seperti kari ataupun sambal. Macam kita makan roti canai juga. Cuma bentuk dan cara gorengannya berbeza.
Nak buat roti puri ni sebenarnya mudah dan simple je. Cuma ada cara untuk buat roti tu kembang masa menggoreng walaupun tak menggunakan yis.
Kalau anda nak membuatnya, boleh cuba resepi Puan Umi Watie ni. Hasil roti purinya sedap dan kekal lembut sampai ke petang. Hanya 4 bahan je yang perlu ada.
RESEPI ROTI PURI TANPA YIS
Untuk resepi ni, sukatan bahannya boleh hasilkan 42 keping roti puri yang bersaiz kecil. Boleh dijamah untuk 12 orang dewasa. Kalau anda nak buat lebih atau kurang, boleh anggarkan sukatan yang bersesuaian.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Tepung gandum 7 cawan
- Gula 2 sudu besar
- Garam 2 sudu kecil
- Minyak masak 12 sudu besar
- Air 1 ¼ cawan
Cara buat roti puri tanpa yis:
▶️ Mula-mula sediakan besen atau pun periuk. Kemudian masukkan tepung, gula, garam dan minyak masak.
▶️ Selepas tu, gaulkan tepung dengan semua bahan tu sehingga jadi seperti serbuk roti. Kemudian tolak-tolak tepung ketepi untuk jadikan lubang di tengah-tengahnya. Masukkan air di dalamnya.
▶️ Seterusnya uli tepung sehingga sebati dan tak melekat di tangan. Uli-uli manja je. Kemudian rehatkan doh tu dalam 15 minit. Jangan lupa tutupkan adunan supaya tak masuk angin dan kering.
▶️ Kemudian ambil adunan sikit-sikit dan bulatkan ikut saiz yang anda suka. Untuk resepi ni saiznya kecil, jadi boleh dapat dalam 42 biji adunan.
▶️ Lepas dah bulat-bulatkan, rehatkan lagi dalam 20 minit pula.
▶️ Selepas tu gelekkan nipis. Boleh agak-agak. Sambil tu panaskan minyak dalam kuali siap-siap.
▶️ Selepas minyak dah panas, dengan api yang kecil sahaja masukkan roti puri.
▶️ Nanti roti akan naik mengembang sendiri. Kalau macam susah kembang, boleh siram-siram minyak panas sikit di atasnya.
▶️ Lepas dah bertukar warna keperangan, boleh terbalikkan.
▶️ Dah cantik masak kedua-dua belah, boleh angkat dan toskan minyak.
▶️ Dah siap bolehlah dihidangkan.
BACA JUGA: Cara Buat Dorayaki Comel, Gebu Dan Sedap. Simple Je cara Buatnya. Anak-Anak Mesti Suka!
Makan panas-panas dengan kuah kari atau sambal. Memang mantap rasanya! Biasanya kalau kat kedai mamak selalu digoreng besar. Terpulang kalau anda nak buat saiz macam mana. Rasanya sama je.
Lepas ni tak pergi kedai mamak pun dah boleh buat sendiri roti puri ni. Boleh buat sarapan atau minum petang bersama keluarga. Selamat mencuba!