Sedapnya kalau dapat makan roti sardin buat minum petang. Kali ni bukan roti sardin biasa yang gulung-gulung tu. Apa kata jom buat resepi roti sardin bertelur tebal dan penuh bahan yang sedap dan menyelerakan ni. Bila makan memang puas sebab sardin betul-betul banyak dilapiskan atas roti.
Kadang tu muak makan roti biasa sapu jem dan kaya je. Kalau nak lebih sikit pun buat roti sardin gulung yang selalu viral tu. Untuk roti sardin bertelur yang tebal isinya ni, kalau buat untuk anak-anak memang berselera mereka makan sebab lebih berasa isinya dan lebih mengenyangkan.
Resepi roti sardin bertelur yang sedap ni ada dikongsikan oleh Puan Ameera. Mudah dan cepat je untuk menyediakannya. Mak-mak kat dapur tu kalau rasa buntu nak buat menu apa yang best untuk anak-anak waktu petang, bolehlah buat roti sardin bertelur ni.
Nak buatnya simple, tapi rasa dia heaven. Sebab sardin tu lepas je dihancurkan dan digaulkan sebati dengan telur dan bahan lain, roti akan dicelup dan disalutkan keseluruhannya pada bahan sardin. Lepas tu goreng dalam minyak panas. Memang tebal isinya dan enak!
Bukan lagi dah dibuat seperti bahan inti macam selalu dibuat tu. Malah sardin telah disebatikan pada roti. Sebab tu puas bila buat sendiri roti sardin homemade ni. Boleh selupatkan seberapa banyak sardin yang kita mahu. Jom lihat cara penyediaannya.
RESEPI ROTI SARDIN BERTELUR
Cara penyediaan roti sardin ni terpulang pada anda sama ada nak potong 2 roti tu atau nak gorengkan sekeping besar terus. Kalau nak buat bentuk segi tiga seperti sandwich pun boleh juga. Ikut citarasa masing-masing.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Sardin 1 tin cap ayam brand (terpulang nak pakai brand apa pun, janji sardin)
- 1 biji bawang besar
- 1 biji cili hijau besar
- 2 biji telur
- Daun sup sedikit
- Garam secukupnya
- Lada sulah sedikit
- Minyak sedikit untuk menggoreng
Cara buat roti sardin bertelur:
▶️ Mula-mula masukkan semua sardin ke dalam mangkuk.
▶️ Masukkan bawang dan cili hijau yang dipotong halus atau dicincang.
▶️ Kemudian masukkan juga telur.
▶️ Potong daun sup halus-halus dan masukkan ke dalamnya.
▶️ Masukkan sedikit garam.
▶️ Untuk lebih berasa, masukkan lada sulah sedikit.
▶️ Kemudian lenyek dan hancurkan sardin dan kesemua bahan. Kacau sehingga sebati sepenuhnya.
▶️ Celupkan roti ke dalamnya. Pastikan roti disalutkan banyak sardin.
▶️ Panaskan minyak sedikit je dalam kuali, kemudian goreng roti sardin tadi.
▶️ Goreng sehingga masak dan garing.
▶️ Kemudian angkat dan sedia untuk dihidangkan.
BACA JUGA: Bosan Dengan Roti Bakar Biasa. Jom Buat Roti Pisang Rangup Yang Sedap Macam Kedai Bakery!
Nyummyy, nampak sangat sedap dan menyelerakan. Dia punya tebal tu siap boleh mudah dipotong dengan sudu. Kalau makan satu je pun ni mesti dah boleh kenyang. Tapi kalau dah sedap macam ni, sekeping pun belum tentu cukup untuk seorang.
Nak makan nikmat dengan isi tebal macam ni, janganlah jimat sardin sangat atau kedekut bahan. Masa salutkan roti pada sardin tu pun kena pastikan sardin betul-betul berselupat pada roti sepenuhnya.
Barulah tebal dan betul-betul berasa. Lepas ni bolehlah rajin buat roti sardin bertelur untuk anak-anak dan keluarga. Selamat mencuba!