Segalanya Tentang Makan..

Roti Bun Inti Sardin Gebu Dan Lembut. Sedap Ya Amat Dengan Inti Yang Padat!

0 2,316

Bukan roti gulung sardin. Bukan juga roti sardin bersalut telur. Kali ni jom buat roti bun inti sardin gebu pula. Kalau picit, terasa lembutnya! Bagi anda yang peminat roti sardin, ini salah satu lagi idea roti sardin yang sedap untuk dinikmati. Buat intinya dengan isi sardin yang banyak, lepas tu isi penuh dalam roti bun. Memang puas makan.

Perkongsian resepi roti bun inti sardin ni dikongsikan oleh Puan Rosni Johari. Dalam resepi ni, roti ni dibuat gebu gebas dengan bread improver, jadi rotinya akan lebih lembut dan lama. Rasa rotinya pun sedap sebab bahan adunan bukan dibuat biasa-biasa. Cukup rasa berlemak. Kalau tak diisikan inti pun dah sedap makan macam tu je.

Bila diisikan pula inti sardin dimasak tumis dan cukup rasa pedasnya, lagilah bertambah sedap kalah roti bun inti sardin yang dijual di kedai. Buat sendiri ni lagi bertambah untung. Boleh isi inti padat ikut citarasa anda. Nak buat pedas atau tak pun boleh ikut selera masing-masing.

Selain inti sardin, boleh juga kalau anda nak isi dengan inti apa-apa sekali pun contohnya daging, ayam atau ikan bilis. Ikut suka nak buat masakan apa. Ada juga yang suka inti daging kari yang dimasak kering, dan ada juga suka inti sambal ikan bilis.

Semua tu sedap dimakan dengan roti bun yang gebu dan lembut ni. Sekali bancuhan adunan, boleh dapat sekali banyak untuk buat santapan keluarga. Bila buat banyak ni bolehlah bagi jiran tetangga sekali. Jom kita lihat cara penyediaannya.

 

RESEPI ROTI BUN INTI SARDIN GEBU DAN LEMBUT

Sebelum buat adunan roti, masak siap-siap inti sardin dulu dan sejukkan. Inti sardin ni boleh masak ikut citarasa anda sendiri. Tapi masak kering-kering sesuai untuk dijadikan inti.

Bahan-bahan inti sardin:
  • Sardin 1 tin kecil
  • 1 biji bawang holland dicincang
  • 2 sudu cili blend dengan bawang
  • ½ sudu teh garam
  • 1 sudu teh gula
  • 1 sudu minyak

Cara masak inti sardin:

▶️ Mula-mula panaskan minyak dalam kuali dan tumis bawang holland yang dicincang.

▶️ Kemudian masukkan cili kisar dan tumis sehingga garing.

▶️ Kemudian masukkan sardin tanpa masukkan sosnya sekali. Lenyek-lenyekkan tapi jangan terlalu hancur.

▶️ Kemudian perasakan dengan garam dan gula.

▶️ Masak sehingga kering, dan angkat. Sejukkan.

▶️ Sekarang buat roti bun pula.

 

Bahan-bahan untuk roti bun:
  • Tepung ½ kilo
  • Air suam 1 ¼ cawan
  • Yis mauripan 1 paket
  • Marjerin 2 sudu
  • Susu tepung ½ cawan
  • ½ sudu the garam
  • 2 sudu gula (**ditambah ½ sudu teh gula)
  • Bread improver (kalau ada untuk inti lagi lembut)

Cara buat roti bun inti sardin:

▶️ Mula-mula bancuhkan yis dahulu dengan air ¼ cawan. Campurkan sekali gula di dalamnya.

▶️ Biarkan dalam 10 minit sehingga yis tu berbuih (kalau tak berbuih, maksudnya yis tu dah rosak dan perlu buat yis baru).

▶️ Dalam besen lain, masukkan tepung, susu, marjerin, garam dan juga bancuhan yis tadi. Dan gaulkan.

▶️ Kemudian masukkan air sikit demi sedikit sambil uli dengan tangan sehingga lembut. Lakukannya lebih kurang dalam ½ jam.

▶️ Rehatkan sekejap dalam 10 minit adunan tu.

▶️ Selepas tu bulat-bulatkan adunan tepung sebesar saiz bola pingpong dan isikan setiap adunan dengan inti sardin. Lakukan sampai habis.

▶️ Susun dalam tray dan biarkan adunan naik selama ½ jam lagi.

▶️ Panaskan oven dengan suhu 180c selama 10 minit. Kemudian bakar roti selama 20 minit.

▶️ Lepas masak, keluarkan tray dan sapukan permukaan roti dengan butter. Biarkan sejuk.

▶️ Dah siap. Boleh dihidangkan!

 

BACA JUGA: Cara Buat Roti Puri Sedap, Kembang Dan Lembut. Ikut Step Yang Betul Gerenti Jadi.

 

Wahh, naik aroma roti lepas dibakar. Bila disiat pula roti yang lembut gebu tu, nampak inti sardin yang panas-panas dan menyelerakan. Sekarang kalau nak buat juadah santai untuk anak-anak pada waktu petang, boleh buat roti sardin gebu gebas ni. Pasti mereka suka.

Tak payah lagi nak beli roti bun di luar. Buat sendiri ni boleh juga buat pelbagai jenis inti yang disukai. Kalau nak buat yang kosong pun boleh juga. Lepas tu cicahkan dengan milo atau kopi panas. Dah cukup sedap.

Lepas ni bolehlah cuba. Sebelum tu jangan lupa kongsikan resepi ni di wall Fb anda dulu supaya dapat manfaatnya bersama. Selamat mencuba!

Leave A Reply

Your email address will not be published.