Segalanya Tentang Makan..

Buat Roti Jala Sendiri, Lembut Dan Sedap. Makan Dengan Kari Ayam Pekat. Wajib Cuba!

0 590

Wah, lamanya tak menjala kat dapur. Bila dah banyak tengok orang buat, terasa pula kat tekak nak makan roti jala lembut gemalai, dengan kari ayam banjir yang sedap dan pekat. Tengok roti jala buatan Siti Norazlinda ni nampak menarik pula.

Roti jala biasanya digulung. Tapi yang ini dilipat segi tiga. Katanya buat cincai-cincai. Tak apalah, janji lembut dan menjadi juga roti jala. Buat cara simple macam ni lagi senang nak ikut kan? Dalam perkongsian ni juga ada resepi kari ayam yang boleh dimasak sekali harung.

Tak payahlah cari resepi lain lagi. Roti jala ni kalau anda nampak sekejap ada warna merah, sekejap ungu dan hijau. Itu sebenarnya adunan yang diletak pewarna. Nampaklah cantik sikit roti jala tu. Kalau ada yang rajin, siap buat 2,3 warna.

Satu perkara anda kena ambil kira ialah kuali yang digunakan untuk paipkan adunan nanti. Kenalah guna kuali non stick yang leper.

Nanti mudahlah nak lakarkan atas kuali dan senang jugak nak angkat bila tak melekat. Cara anda paipkan atas kuali tu yang akan menentukan corak ‘jala’ anda nanti.

 

RESEPI ROTI JALA DAN KARI AYAM SEDAP

Kalau tengok banyak-banyak cara orang buat roti jala ni, ikut kreativiti juga. Dari segi warna, corak jala dan juga cara gulung atau lipat. Ikutlah mana mudah bagi anda. Yang penting sekali ialah kelembutannya.

Bahan-bahan roti jala:
  • 800 gram tepung gandum
  • 1 tin susu cair
  • 2 biji telur gred A
  • 1 sudu kecil garam
  • 1 cawan minyak
  • 1 cawan air

Cara buat roti jala:

▶️ Campurkan kesemua bahan ni dalam blender.

▶️ Dan kisar sehingga lembut dan sebati. Masukkan terus setitik pewarna dan kisar sekali.

▶️ Adunannya agak-agak tak pekat dan tak cair.

▶️ Masukkan dalam mangkuk atau besen.

▶️ Kemudian biarkan sekejap adunan dalam 10 minit.

▶️ Panaskan kuali, dan paipkan adunan ikut lakaran membulat. Ikut kreativiti anda.

▶️ Lepas tu lipat segi tiga dan angkat.

Bahan-bahan kari ayam:
  • 1 biji bawang besar (ditumbuk)
  • 4 ulas bawang putih (ditumbuk)
  • Halia sebesar ibu jari (ditumbuk)
  • 3 kuntum bunga lawang
  • 2 batang kulit kayu manis
  • 3 biji buah pelaga
  • Daun kari
  • 1 cawan rempah kari cap Babas
  • 1 ½ paket santan serbuk
  • 1 biji ubi kentang dipotong kecil-kecil
  • Ayam yang dipotong kecil-kecil
  • Garam secukup rasa

Cara masak kari ayam:

▶️ Mula-mula panaskan minyak dalam kuali/periuk.

▶️ Tumiskan bahan yang ditumbuk, 4 sekawan dan daun kari. Tumis sampai garing dan naik bau.

▶️ Masukkan rempah kari dalam mangkuk.

▶️ Bancuhkan dengan sedikit air untuk jadikan pes.

▶️ Tuangkan pes rempah ke dalam tumisan.

▶️ Tumis rempah ni sebanyak 3 kali naik minyak (maksudnya, mula-mula tumis rempah sampai naik minyak, lepas tu masukkan air dan tumis lagi sampai kering dan naik minyak. Buat sehingga 3 kali). Kari anda akan bertambah sedap.

▶️ Masukkan santan serbuk dalam piring/mangkuk, dan bancuhkan dengan sikit air.

▶️ Tuangkan santan dalam kari.

▶️ Masukkan juga ubi kentang.

▶️ Kemudian masukkan air sikit dan kacau sebati. Biarkan sekejap dalam 10-15 minit.

▶️ Lepas tu masukkan ayam. Kalau rasa kuah pekat sangat boleh masukkan lagi air.

▶️ Perasakan dengan garam.

▶️ Kacau sebati dan biarkan ayam masak sempurna.

▶️ Dah siap kari ayam pekat untuk makan dengan roti jala.

 

BACA JUGA: Resepi Puding Raja Dengan Sos Kastard Leleh. Sedap Dengan Pisang Goreng Lemak Manis.

 

Memikat selera betul tengok roti jala lembut dan kari ayam pekat likat ni kan. Makan 2-3 keping pun tak cukup ni.

Buat minum petang memang sedap. Selalu makan kuih muih muak juga kan. Roti jala ni tak susah mana pun untuk membuatnya. Janji anda ada acuan cup atau botol untuk masukkan adunan dalam kuali.

Muncung acuan kenalah betul, baru jadi corak jala tu. Jangan lupa cuba roti jala lembut dan kari ayam sedap dan pekat ni! Selamat mencuba.

Leave A Reply

Your email address will not be published.