Segalanya Tentang Makan..

Apam Kampung Gula Merah Menu Kuih Paling Senang Untuk Buka Puasa Dan Moreh.

0 4,320

Hari-hari pening fikirkan nak makan kuih apa buka puasa nanti, lagi-lagi untuk anak-anak. Nak ke bazaar Ramadhan sekarang takut ramai orang sekarang ni. Apa kata jom buat apam kampung gula merah paling senang nak buat dan sedap pula tu.

Teksturnya yang gebu, lembut dan wangi memang sesuai untuk makan waktu berbuka puasa atau moreh. Lepas tu hidangkan sekali dengan teh’o panas. Rasanya yang manis-manis dengan taburan kelapa parut muda buatkan sedap dan tak cepat muak.

Buat sendiri lagi puas sebenarnya. Dapat buatnya sekali banyak. Lepas tu boleh makan masa masih panas-panas lepas dikukus. Kalau nak buat masa hari raya nanti pun sesuai sangat sebenarnya. Jadikannya salah satu menu santai di pagi raya atau hidangan tetamu.

Resepi apam kampung gula merah yang sedap, gebu dan cantik kejadiannya ada dikongsikan oleh Badariah Abdrahman.

Apam ni antara yang laris dan dapat banyak permintaan dari pelanggan. Memang tak diragukan lagi resepi ni kalau ingin dicuba. Jom lihat cara membuatnya.

 

RESEPI APAM KAMPUNG GULA MERAH

Bahan-bahan apam kampung sangat ringkas dan mudah je. Untuk mudah makan, boleh buat dalam acuan apam atau lompang yang kecil-kecil tu. Namun kalau nak buat dalam loyang pun boleh juga.

Bahan-bahan yang diperlukan:
  • Tepung gandum 2 cawan
  • Yis mauripan 2 sudu makan
  • Gula merah atau gula kabong ¾ cawan
  • Gula pasir ½ cawan (kalau nak kurang manis, boleh kurangkan sikit kuantitinya)
  • Daun pandan 1-2 helai
  • Air 1 ½ cawan (guna dalam larutan air gula dan bancuhan yis)
  • Kicap manis 2 sudu besar (tak nak letak pun tak apa)
  • Kelapa parut muda (gaulkan sikit dengan garam dan kukus sekejap)
Cara buat apam kampung gula merah:

▶️ Mula-mula cairkan gula dengan masaknya di dapur.

▶️ Masukkan air, gula dan daun pandan yang disimpulkan ke dalam periuk. Kacau sehingga gula larut keseluruhannya. Kemudian tapis dan sejukkan.

▶️ Bancuhkan yis mauripan dengan sedikit air suam. Ketepikan sekejap.

▶️ Kemudian ayak tepung gandum.

▶️ Lepas yis mauripan dah berbuih kembang, masukkan ke dalam tepung yang dah diayak tadi.

▶️ Masukkan bancuhan air gula tadi dan kicap manis.

▶️ Pukulkan campuran bahan ni dengan hand whisker sehingga sebati.

▶️ Lepas tu perap sehingga kembang.

▶️ Sambil tu sediakan acuan lompang yang dah siap disapukan sedikit minyak.

▶️ Bila dah kembang adunan, pukul lagi sikit. Dan baru tuangkan ke dalam acuan.

▶️ Biarkan kembang sedikit lagi, kemudian kukus.

▶️ Panaskan air pengukus siap-siap.

▶️ Kukus selama 15 ke 20 minit kalau anda guna acuan kecil ni. Kalau gunakan loyang, kukus selama 40 minit.

▶️ Dah siap. Keluarkan dari pengukus dan biarkan sejuk.

 

BACA LAGI: Resepi Donut Gebu Gebas. Sedap Dan Rangup Di Luar Dan Lembut Di Dalam. Mudah Je!

 

▶️ Keluarkan apam dari acuan dan taburkan kelapa parut muda yang dah siap digaulkan garam.

Puasnya bila makan apam yang manis dan sedap lepas dikukus ni. Baunya wangi dan cantik gebu. Bila dipicit, terasa lembut teksturnya. Anak-anak kalau dapat, mesti makan lebih 2-3 ketul seorang.

Buat isteri atau ibu-ibu yang nak sediakan kuih yang sedap dan mudah untuk dibuat, bolehlah buat apam kampung gula merah ni. Pasti keluarga anda suka. Selamat mencuba!

Leave A Reply

Your email address will not be published.