Burger Malaysia ni kalau buat mesti anak-anak yang paling suka. Buat sekali banyak memang puas hati. Boleh makan dari pagi sampai ke malam. Siap boleh hulur pada jiran. Cara buat burger Malaysia ni ada stepnya. Buat dulu adunan tepung, kemudian masak sambal bilis.
Adunan tepung tu kalau dah siap dipanggil pau goreng. Kalau uli 1 kilo tepung boleh dapat dalam 45 biji pau. Untung kan? Untuk sambal pun masak sekali je satu kuali. Berbaloi sebenarnya buat sendiri ni. Siap boleh buat berniaga.
Cuma kena rajin sikitlah menguli tepung. Kalau anda pernah buat donut, sebenarnya bahan dan cara ulinya macam buat donut juga. Mudah je.
Lagi pun resepi dari Cik Pooja ni antara yang mudah dan senang faham kalau anda ikut. Ikut sebiji-sebiji pasti jadi adunan tepung yang lembut dan sedap.
Tanpa membuang masa jom cuba buat burger Malaysia ni ikut resepi ni. Nanti dah pandai buat tak perlu beli dari luar lagi dah.
RESEPI BURGER MALAYSIA
Resepi ni buat dalam ½ kilo tepung gandum. Boleh dapat dalam 20 biji kuih. Namun bergantung juga berapa besar saiz kuih pau goreng anda.
Bahan-bahan pau goreng:
Bahan A:
- ½ kilo tepung gandum (tak kira cap apa pun)
- 3 sudu besar marjerin (cap Pelangi lebih wangi)
*Gaulkan marjerin dalam tepung sebati sehingga tekstur nampak berderai.
Bahan B:
- 1 cawan air suam (½ cawan air panas campur dengan ½ cawan air kosong biasa)
- 2 sudu besar yis mauripan
- 1 sudu besar susu pekat
- ¼ sudu kecil garam
Cara bancuh adunan tepung pau:
▶️ Mula-mula sediakan air suam dan campurkan dengan yis mauripan, susu pekat serta garam. Kacau sebati.
▶️ Pastikan bancuh yis mauripan ni dalam cawan yang besar sebab yis akan mengembang.
▶️ Biarkan ia mengembang dalam 15 ke 20 minit.
▶️ Bila yis dah berbuih, masukkan dalam bekas/besen bahan A tadi. Gaulkan sampai sebati dan terus uli.
▶️ Kalau air yis ni tak cukup, boleh masukkan air biasa sikit demi sikit sambil uli. Buat sampai adunan lembut (bukan lembik ya).
▶️ Uli sampai jadi doh yang cantik dan tak melekat di tangan.
▶️ Selepas dah uli, biarkan doh dalam 20-30 minit. Doh akan mengembang 2 kali ganda.
▶️ Bolehlah lepas tu buat doh kecil-kecil ikut saiz burger Malaysia.
▶️ Bentukkan bulat-bulat dan susun dulu atas dulang. Biarkan naik lagi kembang sekali ganda.
▶️ Panaskan minyak dalam kuali. Dah betul-betul panas, boleh terus menggoreng.
▶️ Pastikan goreng dengan api yang perlahan sebab tepung boleh terkejut dan nanti hasil kulit tak cantik.
▶️ Masa goreng, balik-balikkan pau supaya masak sekata.
▶️ Warna dah coklat keperangan, bolehlah angkat dan toskan. Ketepikan.
Bahan-bahan sambal bilis:
- 5 ulas bawang putih (tumbuk)
- 2 labu bawang besar (tumbuk)
- 1 genggam ikan bilis (dah siap cuci bersih)
- 3 sudu besar cili kering kisar (dikisar kasar)
- Sikit air asam jawa
- Garam dan gula secukup rasa
Cara masak sambal bilis:
▶️ Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bawang yang ditumbuk sampai naik bau wangi.
▶️ Kemudian masukkan ikan bilis dan cili kisar. Tumis sehingga masak cantik.
▶️ Masukkan sedikit air asam jawa. Kacau sebati.
▶️ Dan perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
▶️ Bila sambal dah agak kering, boleh padamkan api.
Cara penyediaan burger Malaysia:
▶️ Ambik pau goreng tadi, belahkan 2 jangan sampai putus. Boleh pakai gunting lebih mudah.
▶️ Masukkan sambal ikut banyak mana anda suka.
▶️ Dan akhir sekali letak timun hiris.
▶️ Dah siap, sedia untuk dihidangkan.
BACA JUGA: Kuih Bom Lembut Gebu, Hanya 4 Bahan. Comel Bulat-Bulat. Senang Je Rupanya.
Mantap tengok hasil kuih burger Malaysia dengan air tangan sendiri. Mesti tersenyum puas hati lepas dah siap. Berebut-rebut pula anak makan sampai 3-4 biji seorang.
Kalau anak-anak makan, buatlah sambal kurang pedas sikit. Ikut citarasa anda sekeluarga. Itu untungnya bila buat sendiri ni. Dah la dapat buat sekali banyak, boleh ikut citarasa sendiri pula.
Dah ada cara buat burger Malaysia yang dikongsikan ni, lepas ni ada masa terluang duduk rumah tu bolehlah buat kan. Selamat mencuba!