Segalanya Tentang Makan..

Cara Buat Cucur Badak Terlajak Sedap, Gebu. Dengan Inti Padat. Goreng Sepinggan Belum Tentu Cukup.

0 4,669

Kuih cucur badak ni antara kuih tradisional melayu yang sedap dengan aroma kelapa parut dan rempahnya. Rasa intinya pedas-pedas. Berlainan sikit dari kuih tradisi lain yang lebih kepada lemak-lemak manis. Kelainan inti kuih cucur badak ni buatkan ianya sedap untuk dinikmati.

Nak buat cucur badak ni kena ada bahagian kulit dan juga inti. Jadi, kena masak intinya dulu sebelum buat doh kulit. Nak buat inti ni bahannya simple je. Di dalamnya ada udang, dan juga bahan lain seperti bawang, kelapa parut dan rempah yang wangi.

Syarat inti ni ialah rasa bahang-bahang pedas. Untuk anak-anak mungkin tak sesuailah kuih ni. Tapi bagi orang dewasa, kebanyakannya memang menyukainya.

Kalau anda nak cuba buat, boleh ikut resepi yang dikongsikan oleh Normani Mdsaad ni. Mudah je cara membuatnya. Boleh buat hidangan minum petang.

Puas makan kalau buat sendiri ni sebab boleh buat intinya padat. Kadang-kadang kalau beli di kedai intinya tak penuh seperti yang diinginkan. Jom lihat cara membuatnya.

 

RESEPI CUCUR BADAK SEDAP

Kuih cucuh badak ni kalau anda ulinya banyak pun tak apa. Sebab boleh disejuk bekukan dalam freezer. Bila nak makan, baru keluarkan dan goreng. Mudah je kan. Tak perlu nak uli adunan dan masak intinya banyak kali.

Bahan-bahan inti:
  • ½ kilo udang kapas (kecil)
  • 2 biji kelapa parut (kelapa muda)
  • 20-25 batang cili kering
  • 5 batang serai
  • 5-6 biji bawang merah
  • 1 biji bawang besar
  • Sedikit kunyit hidup
  • 1 sudu kecil jintan manis
  • Garam, gula dan serbuk perasa
Cara buat inti:

▶️ Masukkan kesemua bahan kecuali udang, bahan perasa dan juga kelapa parut ke dalam blender.

▶️ Kemudian kisar sehingga hancur. Ketepikan.

▶️ Kisarkan kelapa parut pula tapi sekejap je, jangan sampai halus.

▶️ Panaskan minyak dalam kuali, dan masukkan bahan yang dikisar tadi. Tumis sekajap.

▶️ Lepas tu masukkan kelapa parut yang dikisar juga tadi. Kacau dalam 5-10 minit.

▶️ Kemudian baru masukkan udang.

▶️ Kacau sampai hampir kering.

▶️ Kemudian perasakan dengan garam, gula dan perasa. Ikut selera masing-masing nak pedas dan manis macam mana.

▶️ Kacau lagi hingga agak kering.

▶️ Lepas tu padamkan api dan sejukkan sekejap.

Bahan doh/kulit:
  • 1 kilo keledek (yang warna pink tu lebih manis)
  • 2-3 cawan tepung gandum ikut kesesuaian
  • Garam sedikit
Cara buat doh kulit:

▶️ Kupas kulit keledek, potong kecil-kecil supaya senang nak empuk.

▶️ Lepas tu rebuskan dalam air yang paras dengan keledek. Jangan letak air banyak-banyak sebab takut lembik.

▶️ Dalam air rebusan tu masukkan sikit garam.

▶️ Lepas je air rebusan hampir kering, angkat keledek dan biarkan sejuk dulu.

▶️ Lepas tu lenyekkan dan tambahkan tepung sikit-sikit sehingga jadi doh yang tak berapa lembut dan tak berapa keras.

▶️ Kemudian cubitkan doh dan bulat-bulatkannya.

▶️ Leperkan dan masukkan inti. Bulatkan semula.

▶️ Taburkan sikit tepung atas tray agar adunan yang dibulatkan tadi tak melekat ketika nak angkat untuk goreng.

▶️ Jangan taburkan terlampau banyak tepung sebab nanti takut keras.

▶️ Panaskan minyak dalam kuali, dan gorengkan dalam api yang sederhana.

▶️ Dah siap, sedia untuk dijamah.

 

BACA JUGA: Cucur Labu Manis Sedap Dan Rangup Di Luar Lembut Di Dalam. Mudah Dengan 3 Bahan Utama Je!

 

Untuk sukatan tepung tu, anda boleh agak-agak sehingga menjadi adunan yang sekata. Jangan terlampau lembik atau keras. Sebab kalau salah adunan, kuih lepas goreng nanti boleh jadi keras. Mungkin boleh cuba seketul dua dulu dan lihat hasilnya.

Kuih ni makan panas-panas baru lepas digoreng memang puas. Rasa bahang-bahang pedas tu lebih berasa. Lagi-lagi kalau intinya padat.

Lepas ni kalau nak minum petang, bolehlah cuba buat kuih cucur badak yang sedap dan gebu ni untuk juadah minum petang. Selamat mencuba.

Leave A Reply

Your email address will not be published.