Sekali pandang nampak macam apam balik mini kat pasar malam je. Tapi sebenarnya nama kuih ni ialah kuih manja yang terkenal di negeri Kelantan. Negeri lain mungkin jarang jumpa. Sedap kuih manja ni dengan lembut dan lemak manisnya. Boleh buat hidangan minum petang untuk anak-anak.
Kuih manja ni adunan tepungnya tu dibuat lembut macam pancake dan biasanya dimakan dengan inti kaya. Di Kelantan ada juga yang buat kulitnya versi rangup tapi tak sepopular yang kulit lembut ni. Memang sedap kalau makan dengan inti kayanya yang cair di mulut.
Jika anda nak cuba buat, jom ikut perkongsian resepi dari Nurul Fazween Najwa Muhamad ni. Dalam resepi beliau ada ditunjukkan cara buat inti kaya homemade yang cukup rasa manis, lemak dan pekat.
Mudah je sebenarnya nak buat kuih manja yang lembut ni. Hanya sebatikan bahan dan bakar atas kuali/pan sehingga naik gebu dan keperangan.
Cuma ambil masak sikit untuk buat inti kaya. Tapi nak buat kaya ni pun tidaklah sesukar mana juga. Perlu mengacau bahan je sehingga menjadi kaya yang pekat. Jom lihat cara membuatnya.
RESEPI KUIH MANJA
Kuih manja ni kecil dan comel je, dan biasanya dibuat nipis. Nipis-nipis pun tapi nanti akan naik gebu juga di dalam kuali. Itu yang buatkan sedap dan menarik perhatian anak-anak untuk menjamahnya.
Bahan-bahan kulit:
- 1 cawan tepung gandum
- ½ sudu kecil soda bikarbonat
- ½ sudu kecil serbuk penaik
- ½ cawan susu cair/susu fullcream
- ½ cawan air
- 1 biji telur
- Secubit garam
- 2 sudu besar gula
- 1 sudu besar minyak masak
Bahan-bahan inti kaya:
- 4 biji telur
- 150 gram gula (resepi asal 200 gram)
- ½ cawan santan pekat
- ¾ cawan santan cair
- 3 helai daun pandan (simpul)
- 2 sudu besar tepung jagung + 2 sudu besar air (untuk memekatkan kaya)
- 60 gram gula (yang akan dijadikan karamel)
Cara buat inti kaya:
▶️ Sebelum buat kulit kuih manja ni, buat dulu inti kayanya.
▶️ Caranya, campurkan kesemua telur, gula, santan dan juga daun pandan dalam mangkuk, dan gaulkan sebati.
▶️ Tak perlu tapis pun, terus masukkan dalam periuk.
▶️ Masak kaya ni dengan api yang sederhana. Perlu sentiasa kacau.
▶️ Sambil tu, buat gula karamel dalam periuk lain.
▶️ Masukkan 60 gram gula dalam periuk tu, dan biarkan cair sehingga jadi karamel. Guna api yang kecil je.
▶️ Bila kaya dah mula memekat dalam periuk mula-mula tadi, masukkan bancuhan air tepung jagung dan kacau sehingga pekat.
▶️ Lepas tu masukkan karamel yang masih panas tadi.
▶️ Kaya memang akan berketul macam telur hancur yang cair. Jangan risau.
▶️ Bila kaya dah sebati dengan karamel, tutup api dan blend sampai halus.
▶️ Dah siap. Sejukkan!
Cara buat kulit:
▶️ Untuk kulit ni mudah je. Satukan kesemua bahan dalam mangkuk dan kacau sebati.
▶️ Kemudian perap sekejap dalam 30 minit.
▶️ Sediakan kuali leper/pan.
▶️ Sendukkan adunan ke dalam kuali dan masak sehingga bawahnya keperangan. Tak perlu balikkan pun.
▶️ Angkat dan letakkan atas pinggan.
▶️ Masukkan inti kaya dan tutup.
BACA JUGA: Kuih Serabai Yang Super Lembut Dengan Kuah Gula Melaka Yang Cukup Lemak Manisnya.
▶️ Sedia untuk dihidang.
Nyummy, nampak sedap dan menyelerakan. Lagi-lagi inti kayanya yang lembut dan leleh tu. Memang sepadan kombinasi kuih lembut ala pancake dengan sapuan kaya yang cukup lemak manis.
Selain kaya, ada juga yang buat dengan inti kastard. Sebenarnya inti ni boleh buat pelbagai rasa ikut selera tekak kita juga. Dapatlah rasa inti yang berlainan.
Kalau menjelang petang, ibu-ibu pening kepala nak buat makan apa untuk anak-anak, bolehlah buat kuih manja Kelantan ni. Pasti mereka menyukainya. Selamat mencuba.