Segalanya Tentang Makan..

Cara Buat Kuih Nagasari Lembut-Lembut Kenyal. Sedap Berlemak Dengan Inti Pisang.

0 4,703

Anda pernah dengar tentang kuih nagasari? Kuih ni asalnya dari Indonesia tapi terkenal di Johor. Di Johor tetap dipanggil kuih nagasari, tapi di negeri lain tak tahu orang gelarnya apa. Kuih nagasari ni rupanya sebiji lepat pisang dengan tekstur lembut-lembut kenyal nya tu.

Tapi kalau diamati sebenarnya rupa dan cara buatnya tak sama. Untuk kuih nagasari ni dimasukkan pisang seketul-seketul sebagai inti. Bila gigit pisang tu lebih terasa. Tapi bagi kedua-dua jenis kuih ni sedap sebab rasa manis-manis pisang dan lemak tepung dan juga santan.

Kukus pula dalam daun pisang. Lagi bertambah sedap dengan aroma daun pisangnya. Mudah je nak buat kuih ni. Bahan adunan tepung ada 5 bahan je. Lepas tu sediakan pisang yang sedap, manis dan ranum seperti pisang emas, pisang raja, pisang berangan dan pisang nangka sebagai inti.

Adunan tepung perlu dimasak di atas kuali dulu sehingga masak dan kental teksturnya, baru boleh masukkan dalam daun pisang dan dikukus. Kata orang kalau nak bungkus dalam daun pandan pun boleh. Tapi tak pasti pula macam mana nak membungkusnya.

Mungkin inginkan kelainan pada aroma daun pandan berbanding daun pisang. Ikut citarasa anda. Jom cuba buat kuih nagasari seperti yang dikongsikan oleh Zahrah Juli ni.

 

RESEPI KUIH NAGASARI

Kalau nak lagi sedap dan cantik hasil kuihnya, sebaiknya pakai santan segar, tapi bancuhannya jangan terlampau pekat. Kalau pekat sangat nanti terlalu berlemak pula. Guna santan sederhana pekat dah boleh dapat hasil yang sedap dan cantik teksturnya.

Bahan-bahan yang diperlukan:
  • 1 cawan tepung beras
  • 3 cawan santan sederhana pekat (santan segar)
  • 1 sudu gula (jika perlu)
  • 1 sudu besar tepung jagung
  • Sedikit garam
  • Pisang (belah 2)

Cara buat kuih nagasari:

▶️ Satukan kesemua bahan dalam kuali (kecuali pisang).

▶️ Masak atas api kecil sehingga masak dan adunan kental. Adunan akan nampak berkilat.

▶️ Lepas dah kental adunan, padamkan api.

▶️ Sediakan daun pisang yang dah siap dibersihkan dan dilayur atas api.

▶️ Panaskan air pengukus siap-siap.

▶️ Senduk adunan atas daun pisang, kemudian letak pisang yang dibelah 2 atasnya.

▶️ Letakkan sikit lagi adunan atasnya untuk tutup pisang tadi.

▶️ Kemudian bungkus kemas-kemas.

▶️ Masukkan dalam pengukus dan kukus selama 15 ke 20 minit atau sehingga masak. Kukus dengan api sederhana je.

 

BACA JUGA: Jom Buat Kuih Koci Labu Sedap Lemak Manis Dengan Inti Kelapa Muda. Bahan Senang Je.

 

▶️ Dah siap, boleh keluarkan dari pengukus dan sejukkan.

▶️ Sedia untuk dihidang.

Kalau nak lebih manis berlemak adunan tepung tu, boleh masukkan gula. Tapi pisang ni sebenarnya dah manis. Ikut juga selera anda. Kalau manis pisang tak cukup, boleh je tambah gula ikut citarasa.

Sedap kuih ni kalau makan panas-panas. Teksturnya yang lembut-lembut kenyal buatkan sedap makan waktu lepas dikukus. Aromanya terasa.

Mudah je kan nak buatnya. Bahan pun simple. Lepas ni bolehlah cuba. Kuih nagasari lembut kenyal, rasa enak manis berlemak. Semoga resepi ni bermanfaat untuk anda.

Leave A Reply

Your email address will not be published.