Segalanya Tentang Makan..

Cara buat Popia Basah Paling Simple Dan Sedap. Buat Gemuk-Gemuk Baru Puas Makan.

0 2,267

Popia basah ni macam-macam gaya kita tengok orang jual. Kalau kat kedai kuih tu semua memang nampak sedap-sedap. Tapi kadang-kadang isi pula tak gemuk. Kalau buat sendiri ni lebih puas hati. Buat popia basah paling simple pun tak kisah. Janji kena dengan citarasa.

Antara yang paling penting nak dapatkan popia basah sedap ialah sosnya. Jenuh nak feeling sedih kalau beli popia basah yang letak sos sikit je. Mana nak berasa kalau sos sikit sebab itu yang membuatkan popia basah ni berperisa.

Selebihnya hanya inti sayuran, kekacang dan udang kering. Bahan inti sayur ni terpulang nak letakkan apa je jenis yang anda suka. Kalau anda nak cuba buat popia basah simple, boleh ikut resepi yang dikongsikan oleh Siti Mazdah Rasidi ni.

Walaupun simple, tapi beliau memang menjual popia basah dan sentiasa laku keras. Apa lagi, dah alang-alang tu ikutlah resepinya.

Tapi resepinya ni memang buat dalam kuantiti banyak. Sebab dijual. Jadi beliau senaraikan bahan yang diperlukan. Anda boleh kurangkan dan agak-agak ikut berapa banyak kuantiti yang ingin dibuat.

 

RESEPI POPIA BASAH SIMPLE DAN SEDAP

Sebelum buat sosnya, anda kena buat adunan kulit dulu. Kulit ni memang jenis nipis dan lembut. Jadi tak perlukan adunan yang banyak pun. Sebabkan sukatan resepi ni banyak, anda boleh kurangkan.

Bahan-bahan untuk kulit popia:
  • 1 kilo tepung gandum
  • 4 ½ cawan air biasa
  • 1 sudu garam
  • 2 sudu tepung ubi/sebiji putih telur
  • 2 sudu makan cuka
  • 6 sudu makan minyak masak
Cara buat kulit popia:

▶️ Satukan kesemua bahan dan bancuh macam buat adunan cekodok.

▶️ Pukul adunan sampai elastik. Kalau nak blend pun boleh supaya tak berketul.

▶️ Kemudian perapkan lebih kurang 2 jam.

▶️ Kalau lagi lama lagi cantik. Simpan dalam peti ais.

▶️ Panaskan kuali/pan non stick yang leper tu dengan api yang perlahan.

▶️ Lepas tu oleskan adunan atas kuali.

▶️ Nak oles tu pakai berus kecil. Caranya sapu adunan cepat-cepat atas kuali membulat sehingga rata dan menutupi permukaan kuali.

▶️ Jangan buat tebal-tebal macam lempeng pula. Pastikan nipis je.

▶️ Bila dah nampak kering, balikkan dan masak bahagian sebelah pula.

▶️ Lepas tu boleh angkat.

▶️ Buat adunan sampai habis. Tapi pastikan setiap kali nak buat kulit baru, kena lap kuali dulu dengan kain basah supaya tak ada bekas yang sebelumnya.

Bahan sos:
  • Cili kering (ikut kepedasan)
  • Bawang besar
  • Bawang putih
  • Udang kering (udang geragau/kepai)
  • Taucu
  • Cuka
  • Garam secukupnya
  • Gula secukupnya (kena manis baru sedap)
Cara buat sos:

▶️ Kisar kesemua bahan.

▶️ Kemudian masukkan dalam kuali dan masak sehingga pekat dengan api yang kecil.

▶️ Masak lama lebih kurang 4 jam untuk kuantiti yang banyak. Ikut pada sukatan bahan anda juga.

▶️ Pastikan rasanya lebih manis baru sedap.

Bahan untuk inti/topping:
  • Lobak merah (hiris halus atau sagat)
  • Sengkuang (hiris halus atau sagat)
  • Kacang tanah goreng (ditumbuk)
  • Udang kering goreng (ditumbuk)
  • Bawang goreng
  • Daun bawang
Cara membuatnya:

▶️ Tumis dulu sekejap lobak merah dan sengkuang. Jangan lama. Sekadar layu je.

▶️ Sapukan sos pada kulit popia.

▶️ Lepas tu taburkan kacang, udang kering, lobak merah dan sengkuang tadi.

▶️ Kemudian gulungkan kemas-kemas dan susun cantik-cantik.

▶️ Sapukan lagi sos atas popia basah. Sapu sebanyak mana anda suka.

▶️ Akhir sekali taburkan bawang goreng, kacang tanah, udang kering dan daun bawang.

 

BACA JUGA: Popia Carbonara Cheese Confirm Sedap Dan Leleh. Sampai Berebut. Senang Je Buatnya!

 

Sekali pandang memang terliur kan. Nikmat rasanya buat sendiri ni. Dapat buat saiz gemuk dan padat intinya.

Untuk inti sebenarnya terpulang nak letakkan apa yang anda suka. Sayuran ada juga yang letakkan taugeh. Ada juga masukkan isi ayam. Ikut citarasa anda.

Simpanlah resepi popia basah paling simple dan sedap ni! Lepas ni kalau teragak nak buat boleh buka resepi ni semula. Semoga bermanfaat.

Leave A Reply

Your email address will not be published.