Kalau beli popia, selalunya intinyalah yang menentukan kesedapan popia tu. Setakat ni susah nak jumpa popia berinti carbonara cheese yang padu isinya. Iyalah, inti carbonara cheese ni mungkin modalnya besar dan tak berapa untung. Kalau anda teringin, apa kata jom buat sendiri popia carbonara berkrim cheese ni.
Buat untuk hidangan anak-anak, pasti mereka teruja. Memang tak dinafikan, popia carbonara cheese ni memang masyuk isinya dengan inti lemak berkrim. Tak boleh nak kedekut bahan kalau nak hasil yang padu macam ni.
Tapi kesedapannya memang bak kayangan. Inti carbonara je pun dah cukup sedap, bayangkan dimasukkan pula cheese yang membangkitkan lagi rasa.
Sesekali kalau nak buat untuk hidangan istimewa untuk anak-anak bolehlah buat popia carbonara berkrim cheese ni. Mudah je sebenarnya cara membuatnya.
Cara balut dan gorengan popia tu je kena pandai sikit supaya gorengan cantik dan inti tak terkeluar. Nak buat mana-mana jenis popia pun perlu begitu. Jom lihat resepi dari Saiful Nasuha ni.
RESEPI POPIA CARBONARA BERKRIM CHEESE
Dalam inti carbonara ni tak perlu masukkan terlalu banyak cheese pun. Cukup sekadar sebati dalam kuah carbonara sebab kalau terlebih, takut kurang rasa carbonara pula. Anda boleh gunakan kepingan cheese cheddar atau pun cheese mozzarella.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Butter atau marjerin sedikit
- Sos carbonara prego 1 tin (atau brand lain pun okay)
- Sosej 6 batang dipotong dadu
- Isi ayam atau daging dicincang
- Bawang holland ½ biji
- Bawang putih 3 ulas
- Lobak merah ½ batang
- Cheese 3 keping
- Tepung gandum 2 sudu besar (dibancuh dengan air)
- Susu segar sedikit (atau pun susu tepung full cream Nespray/Everyday 2 sudu besar)
- Serbuk lada hitam/serbuk lada putih sedikit
- Oregano kering/Parsley kering
- Garam dan serbuk perasa secukupnya
Cara buat popia carbonara berkrim cheese:
▶️ Mula-mula kisarkan dulu bawang holland, bawang putih dan lobak merah. Tujuannya nak pekatkan kuah nanti.
▶️ Panaskan marjerin, dan masukkan sosej yang dipotong dadu dan juga daging/ayam cincang tadi. Biarkan masak sekejap.
▶️ Lepas tu masukkan bahan yang dikisar dan masakkan sampai mendidih.
▶️ Kemudian masuk bancuhan tepung gandum, susu segar/susu serbuk dan juga sos carbonara. Kacau sebati.
▶️ Masukkan garam, perasa dan juga serbuk lada hitam serta lada putih.
▶️ Masukkan juga cheese.
▶️ Masakkan sehingga kuah jadi pekat.
▶️ Dan akhir sekali masukkan oregano/parsley.
▶️ Dah siap boleh padamkan api. Tunggu sejuk dahulu, baru masukkan dalam kulit popia.
▶️ Lepas dah sejuk, letakkan inti atas kulit popia. Kemudian balutkan kemas-kemas.
▶️ Sapukan sikit hujung kulit popia dengan sedikit bancuhan tepung gandum dengan air untuk dijadikan gam.
▶️ Lepas tu goreng dalam minyak yang betul-betul panas. Jangan gunakan api yang besar.
▶️ Dah garing dan warna keperangan, boleh angkat dan toskan.
▶️ Sedia untuk dijamah.
BACA JUGA: Popia Sira Sambal Sedap. Ikut Cara Ni Untuk Popia Rangup, Dengan Sambal Berkilat.
Makan waktu masih lagi dalam keadaan sangat rangup dan panas memang sedap. Popia carbonara ni tak perlu cicah dengan apa-apa sos lagi macam popia lain.
Sebab inti popia tu sendiri dah ada rasa dia. Ditambah lagi pula ada cheese leleh. Berganda-ganda rasa kesedapannya.
Rugi kalau tak buat popia carbonara berkrim cheese leleh ni. Antara hidangan popia yang paling sedap anda wajib cuba. Semoga bermanfaat!