Pernah tak makan kuih belebat ubi keledek yang berasal dari negeri Kelantan ni? Bagi yang tak biasa makan, kuih ni diperbuat dari tepung beras yang dicampurkan dengan ubi keledek dan dimasak manis. Dan ianya dikukus dengan balutan daun pisang yang memberikan aroma yang wangi.
Sedap sangat kalau makannya waktu panas-panas baru lepas dimasak. Tengok rupanya macam kuih kuci, lepat pisang dan seangkatan dengannya yang dibalut dengan daun pisang. Bila dibuka dalamnya baru nampak ianya kuih belebat ubi keledek .
Cara membuatnya lebih kurang sama juga iaitu menggunakan santan dan rasa lemak-lemak manis. Namun kuih belebat ni menggunakan ubi keledek tak kira sama ada ubi keledek yang bewarna oren atau warna ungu tu. Dengarnya kuih ni sekarang sudah dipelbagaikan dengan menggunakan nangka pula.
Untuk kali ni, jom saya kongsikan resepi kuih belebat keledek yang dikongsikan oleh Yuzilaini Akmar ni. Nak buat kuih ni sebenarnya sangat simple dengan menggunakan 5 bahan sahaja.
Kalau anda rindukan kuih tradisional Melayu, bolehlah cuba buat kuih belebat ubi keledek ni dan buat sebagai hidangan minum petang bersama teh atau kopi panas. Makannya selepas dikukus lagi sedap dan menyelerakan.
RESEPI KUIH BELEBAT UBI KELEDEK
Sebelum mulakan memasak adunan kuih belebat ubi ni, siapkan dulu daun pisangnya. Potong daun pisang ikut saiz sesuai untuk bentukkan kuih, kemudian layurkan atas api dapur untuk melembutkannya.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Ubi keledek 2 cawan yang dipotong kecil-kecil panjang (siap direbus dahulu)
- Tepung beras 1 ½ cawan
- Gula 6 sudu besar
- Garam 1 sudu kecil
- Santan 3 cawan
Cara buat kuih belebat ubi keledek:
▶️ Mula-mula satukan tepung, garam, gula dan santan. Kemudian kacau-kacau sehingga hancur gulanya.
▶️ Selepas tu masakkan campuran bahan ni atas dapur. Kacau sentiasa untuk elakkan adunan berketul.
▶️ Kemudian terus kacau sampai adunan pekat dan likat. Dan boleh tutup api.
▶️ Dalam adunan ni masih panas, masukkan ubi keledek yang telah direbus dan kacau sehingga sebati.
▶️ Biarkan adunan ni suam dahulu sebelum dimasukkan dalam daun pisang.
▶️ Setelah dah sejuk, masukkannya dalam daun pisang dan tutup cara melipat di bahagian tepi.
▶️ Kemudian kukus selama 10 minit.
▶️ Dah siap bolehlah dihidangkan.
BACA JUGA: Resepi Tepung Bungkus Sedap Dan Lembut. Kuih Tradisional Kegemaran Dengan Rasa Lemak Manis!
Sedapnya makan kuih ni waktu dia lepas dikukus. Lagi-lagi kalau makan masa tengah hujan. Kuih yang panas-panas ni bila dimakan pada waktu sejuk, memang nikmat sangat rasanya.
Ubi keledek ni kalau dah direbus memang rasa sedap. Bila dicampurkan pula dalam adunan tepung dan santan, manis buahnya sebati dengan rasa lemak-lemak adunan tu.
Rasa kuih yang penuh dengan rasa lemak manis ni, kalau makan dengan kopi o panas lagilah nikmat terasa. Bolehlah lepas ni jadikan kuih belebat keledek ni sebagai hidangan waktu petang. Selamat mencuba!