Segalanya Tentang Makan..

Sedap Berempah! Jom Buat Kuih Masala Vadai India Ni. Mudah Hanya 5 Bahan Je Rupanya.

0 2,965

Kuih vadai ni kita selalu makan je. Kebanyakan kita tak pernah pun buat kuih ni. Namanya pun mesti ramai yang tak tahu kan. Dalam kaum India dipanggil kuih masala vadai. Bukan main sedap rasanya dengan rasa rangup-rangup lembut dan wangi berempah pula!

Rupanya nak buat kuih ni tak gunakan banyak bahan pun. Mudah je. Mesti anda teruja nak cuba sebab hanya proses kisar bahan, gaul, bentukkan dan goreng. Tak ada pun proses menguli macam buat kuih lain.

Bahan utama kuih ni ialah kacang dhal. Ada yang dikisar hancur, dan ada juga yang dibiarkan berketul-ketul dalam adunan kuih. Sebab tu bila gigit ada rasa ketulan-ketulan dhal.

Sebatikan pula dengan cili, daun kari dan jintan manis. Itu yang buatkan kuih ni rasanya sedap dengan rasa pedas dan wangi dengan aroma rempah.

Resepi kuih masala vadai ni ada dikongsikan oleh Norasiah Ahmad. Bolehlah buat sebagai hidangan minum petang. Sedap kalau pekena dengan kopi’o panas sekali. Jom lihat cara membuatnya.

 

RESEPI KUIH MASALA VADAI

Dalam resepi ni tak ada bagitau sukatan untuk setiap bahannya. Boleh agak-agak sendiri untuk adunan dan rasa kuih anda nanti. Yang penting kacang dhal perlulah lebih sebagai bahan utamanya.

Bahan-bahan yang diperlukan:
  • Kacang dhal
  • Bawang besar (dipotong dadu)
  • Cili kering (gunting kecil-kecil)
  • Cili padi (potong nipis-nipis)
  • Daun kari (gunting halus)
  • Jintan manis (ditumbuk kasar)
  • Garam secukupnya
Cara buat kuih masala vadai:

▶️ Kacang dhal perlu direndam dulu. Resepi ni rendam selama 4 jam. Tapi kalau rendam dalam 2 jam pun boleh juga sebenarnya.

▶️ Lepas rendam, cuci kacang dhal bersih-bersih. Kemudian toskan.

▶️ Asingkan ¼ kacang dhal. Yang ini tak perlu kisar.

▶️ Baki lagi ¾ kacang dhal perlu dikisar halus. Gunakan sikit je air untuk kisar. Asalkan kacang boleh berputar dalam blender tu.

▶️ Lepas tu masukkan dalam mangkuk besar.

▶️ Masukkan bawang besar, daun kari, cili kering, cili padi, jintan manis dan juga garam. Kemudian gaulkan sebati.

▶️ Bentukkan kuih atas tapak tangan.

▶️ Panaskan minyak dalam kuali.

▶️ Bila minyak dah betul-betul panas, boleh goreng kuih sehingga warna coklat keperangan.

 

BACA JUGA: Cara Buat Kuih Sarang Labah-Labah Rangup Dan Sedap. Resepi Untuk Perisa Coklat Dan Pandan!

 

▶️ Dah masak, boleh angkat dan toskan minyak.

▶️ Sedia untuk dihidang.

Bila makan kuih ni nikmat rasanya dengan kuih yang rangup di luar dan lembut di dalam. Tiap kali makan, memang terbuai dengan rasa aroma rempah.

Kalau beli kadang-kadang tu 2-3 ketul seorang tak cukup. Bila buat sendiri kuih ni lebih puas hati. Sebab ada yang suka kuih ni saiz kecil-kecil dan lebih garing. Ada yang suka buat tebal-tebal dan lebih lembut.

Bila buat sendiri kuih masala vadai ni, bolehla bentukkan dan goreng ikut citarasa anda sendiri. Barulah sedap menikmatinya. Selamat mencuba.

Leave A Reply

Your email address will not be published.