Segalanya Tentang Makan..

Kuih Ropa Terengganu Inti Kari Ayam Kentang. Sedap Sangat Dengan Kulit Rangup dan Isi Lembut.

0 8,056

Siapa pernah makan kuih ropa? Orang belah pantai timur dah selalu makan kuih ni. Tapi rata-rata dari kita mesti tak pernah tau kan. Kalau kat Terengganu, nama lain dia ialah kuih lipat. Intinya biasanya dibuat dengan daging atau ayam kari bersama kentang.

Kalau lihat mata kasar, cara buat kuih ni macam karipap. Tapi sebenarnya berbeza dari segi adunan tepung untuk kulitnya tu. Bentuk kuihnya pun berbeza.

Kuih ropa ni lagi sedap dinikmati dengan kulitnya yang rangup dan inti yang mampat dan cukup rasa rempah karinya. Kulitnya tu digoreng atas kuali leper tanpa minyak. Jadi, bancuhan untuk texture tepung tu perlu betul.

Bagi anda yang nak cuba buat kuih ni, boleh ikut perkongsian resepi kuih ropa Terengganu inti kari ayam kentang dari page Resepi Mutiara Hati ni. Tak susah sebenarnya nak buat kuih ni.

Nak masak intinya macam buat inti karipap juga. Dan bancuhan untuk kulitnya pun mudah. Jom lihat cara buatnya.

 

RESEPI KUIH ROPA TERENGGANU INTI KARI AYAM KENTANG

Kalau ikutkan kuih ni sukatannya simple sahaja. Kalau dah biasa buat, boleh main campak-campak je dan tak perlukan sukatan tepat lagi. Boleh adjust-adjust macam biasa kita bancuh tepung cucur/cekodok.

Bahan-bahan yang diperlukan:

Bahan inti:

  • Ayam ½ ekor yang diambil isi sahaja dan dipotong dadu
  • Kentang atau keledek 15 biji (dibuang kulit dan dipotong dadu)
  • Bawang putih 5 ulas
  • Bawang besar 3 labu
  • Cili boh 3 sudu makan
  • Rempah kari daging 4 sudu makan
  • Garam, gula dan perasa secukupnya

 

Bahan untuk kulit/pastri:
  • Tepung gandum ½ kilo
  • Telur gred A 1 biji
  • 2 sudu makan marjerin
  • 1 sudu teh garam
  • Air masak secukupnya

Cara buat kuih ropa Terengganu:

▶️ Mula-mula kisar bawang putih dan bawang besar.

▶️ Kemudian panaskan minyak dalam kuali. Dan tumis bawang yang dah dikisar tu bersama dengan cili boh. Tumis sehingga garing.

▶️ Kemudian masukkan serbuk kari dan sedikit air. Kacau sehingga sebati dan terbit minyak.

▶️ Masukkan ayam dan kentang dan tumis sehingga ayam masak dan kentang tu empuk.

▶️ Selepas tu perasakan dengan garam, gula dan perasa. Biarkan sehingga inti kering, dan boleh tutup api.

▶️ Dah siap, ketepikan dan sejukkannya dulu.

▶️ Selepas tu boleh buat kulit atau pastrinya.

▶️ Caranya, campurkan kesemua bahan-bahan adunan tepung dan masukkan ke dalam blender. Kisar sehingga hancur sebati.

▶️ Boleh adjust kuantiti air yang dimasukkan. Texture adunan tepung tu anggarannya seperti bancuhan tepung untuk roti jala. Tak terlalu pekat (boleh tengok gambar).

▶️ Kemudian panaskan kuali leper, dan masukkan adunan menggunakan senduk. Ratakan atas kuali.

▶️ Selepas tu angkat dan letak atas papan landas. Masukkan inti dan lipat atau gulung kulitnya macam gulung popia.

▶️ Panaskan minyak dalam kuali, kemudian gorengkan sehingga garing. Gunakan api kecil sahaja supaya masak sekata.

▶️ Dah masak, boleh angkat.

▶️ Sedia untuk dihidangkan!

 

BACA JUGA: Cara Buat Kuih Sarang Labah-Labah Rangup Dan Sedap. Resepi Untuk Perisa Coklat Dan Pandan.

 

Sedap sangat kuih ropa ni kalau buat hidangan minum petang bersama teh panas. Kulit yang rangup dan intinya yang lembut tu buatkan nikmat sungguh nak makan.

Kalau anda suka isi daging atau kentang sahaja, boleh gantikan dengan ayam tu atau masak kentang sahaja. Untuk inti ni sebenarnya ikut suka. Kadang-kadang ada juga yang suka makan inti sardin.

Jagi, boleh masak ikut citarasa anda, janji intinya dimasak kering dan cukup rasanya. Lepas ni kalau tak tau nak masak apa hidangan minum petang, bolehlah cuba resepi kuih ropa Terengganu inti kari ayam kentang ni. Selamat mencuba!

Leave A Reply

Your email address will not be published.