Segalanya Tentang Makan..

Resepi Biskut Bangkit Cheese Sedap Dan Rangup. Dalamnya Lembut Cair Di Mulut!

0 3,311

Kalau masa kecil-kecil dulu, suka sangat dengan kuih bangkit ni sebab kuih ni tekstur dia lembut-lembut debu dan cair di mulut. Tapi di luarnya rangup. Cuma dulu biskut tradisional ni tiada inovasi macam sekarang. Bahan utamanya tepung dan santan. Sekarang ni dah ada resepi biskut bangkit cheese.

Sudah tentu ada rasa sikit kelainan pada rasanya. Bagi penggemar cheese pasti sukakan biskut bangkit cheese ni sebab naik rasa lemak kejunya bila digaul sebati, lagi-lagi kalau gunakan cheese cheddar yang sememangnya berkualiti.

Kalau dulu-dulu mesti biskut bangkit santan atau kelapa tu yang menjadi pilihan kan. Tapi zaman sekarang ni kalau tanya anak-anak mesti sukakan yang ada cheese. Tak rugi kalau kita cuba resepi bangkit cheese ni.

Bukan anak-anak kecil je, kita yang dewasa pun pasti akan menyukainya sebab rasa lembut dan cair di mulut tu masih terasa dan kali ni lebih wangi pula dengan aroma keju. Buat sekali banyak pun tak kisah.

Biskut bangkit ni boleh disimpan dalam bekas kedap udara dan dijadikan sebagai kudapan santai di rumah. Jom lihat cara buat biskut bangkit cheese dari perkongsian Saiful Nasuha ni.

 

RESEPI BISKUT BANGKIT CHEESE

Kalau nak buat biskut ni kena betul-betul lihat penyediaan bahan-bahannya. Sebab ada kalanya mencabar sikit bila nak buah biskut yang mempunyai tekstur lembut di dalam dan rangup di luar ni.

Silap hari bulan, bancuhan tepungnya ada yang tersalah, dan tak mustahil nanti biskut ni tak dapat hasil yang diinginkan atau keras.

Bahan-bahan yang diperlukan:
  • 2 cawan tepung ubi (disangai)
  • 2 cawan tepung jagung
  • Butter 1 buku (250 gram)
  • 1 cawan gula kastor
  • 2 biji telur kuning
  • 1 penutup esen vanilla
  • ½ sudu besar shortening
  • 1 sudu teh baking powder
  • 100 gram cream cheese tatura
  • 1 buku cheddar cheese (½ buku diparut untuk adunan, dan ½ buku lagi diparut dan ditaburkan sebagai hiasan)

Cara buat biskut bangkit cheese:

▶️ Mula-mula sangaikan tepung ubi atas kuali tanpa minyak.

▶️ Sangai sampai debu keluar asap. Kemudian ketepikan.

▶️ Lepas tu satukan butter, telur kuning, esen vanilla, gula kastor dan shortening dalam 1 mangkuk mixer dan putarkan jangan sampai kembang.

▶️ Kemudian masukkan cream cheese dan kacaukannya menggunakan senduk atau spatula.

▶️ Masukkan tepung ubi yang disangai tadi, serta tepung jagung dan juga baking powder.

▶️ Kacaukan adunan ni sampai sebati tak melekat di tangan.

▶️ Kemudian masukkan cheddar cheese yang diparut dan kacau lagi sehingga sebati.

▶️ Canaikan adunan ni tak terlalu nipis supaya cantik bila ia naik kembang.

▶️ Tekap dengan acuan yang sesuai.

▶️ Dan akhir sekali taburkan cheese cheddar yang diparut sebagai hiasan.

▶️ Panaskan oven siap-siap sebelum tu. Dan bakar pada suhu 160’c selama 20 minit.

▶️ Dah siap.

▶️ Sejukkan dulu, kemudian simpan dalam bekas kedap udara.

 

BACA JUGA: Resepi Biskut Buah Kana Sedap Dan Mudah Untuk Dibuat! Antara Biskut Legend Dulu-Dulu!

 

Makan biskut macam ni memang boleh leka sampai tak sedar boleh habis sebekas. Sebab rasanya yang lembut di dalam dan rangup di luar tu buatkan sedap dan ralit bila mengunyahnya.

Biskut bangkit ni memang selalu dibuat masa hari raya. Tapi sekarang ni kalau bukan musim raya pun boleh buat untuk dijadikan snek santai-santai di rumah.

Mudah je sebenarnya nak buat resepi biskut bangkit cheese ni. Tapi pastikan guna tepung yang betul dan tepat sukatan bahan-bahannya supaya biskut tak keras. Selamat mencuba.

Leave A Reply

Your email address will not be published.