Segalanya Tentang Makan..

Resepi Kuih Lopes Lembut Dan Sedap. Hidangkan Sekali Dengan Kuah Gula Melaka Dan Santan!

0 1,723

Bila nampak orang buat kuih tradisional melayu ni terasa betul rindu. Dah lama rasanya tak makan kuih lopes ni. Selalunya ada juga dijual di bazar Ramadhan. Tapi bila bukan bulan puasa, susah nak mencarinya. Mujur jumpa resepi kuih lopes yang lembut dan sedap ni.

Perkongsian resepi kuih lopes ni ialah dari Mawar Wilsa. Dapatlah idea buat kuih lopes pada hujung minggu nanti. Anak-anak muda sekarang mungkin tak berapa terdedah dengan kuih ni. Kuih lopes ni ialah sejenis kuih tradisional melayu yang berasaskan pulut yang dimasak dengan cara kukus.

Dan selepas je kukus, kuih ni digaulkan dengan kelapa parut. Tak berhenti di situ je, hidangan kuih ni betul-betul lengkap jika ada sekali air gula melaka dan kuah santan pekat sebagai pencicahnya. Memang sedap sangat bila pulut yang lembut ni dimakan dengan kuah yang pelbagai rasa.

Tak dinafikan kuih tradisi melayu ni memang cukup kreatif dan kena dengan tekak kita. Rugi rasanya kalau tak belajar membuatnya di zaman sekarang ni.

Sebenarnya nak buat kuih ni mudah je. Cara nak buatnya pun ikut selera kita. Kebiasaannya kuih ni teksturnya lembut dan padat. Sedap dimakan dengan hidangan kuahnya yang manis dan berlemak.

 

RESEPI KUIH LOPES

Ada sesetengah orang mungkin tak berapa suka kuih lopes yang agak padat. Mungkin lebih suka yang sikit berderai atau tak terlalu padat teksturnya.

Jadi, kuih ni boleh je diubah suai resepinya mengikut citarasa sendiri. Ini bermakna kalau nak kan kuih yang berderai, kuantiti air yang dimasukkan dalam membuat pulut tu haruslah dikurangkan.

Bahan-bahan yang diperlukan:
Bahan A:
  • Pulut hitam 1 cawan
  • Air secukupnya (untuk rendam pulut hitam)
Caranya:

▶️ Cuci pulut hitam dan rendam selama 3 jam.

▶️ Selepas rendam, bilas semula dan toskan. Kemudian rebus sehingga empuk.

▶️ Bila dah empuk, cuci pulut hitam dengan cara lalukan bawah air dan tapis. Ketepikan.

Bahan B:
  • Beras pulut putih 2 cawan (resepi ni gunakan pulut susu)
  • Santan cair 2 cawan (kalau nak tekstur kuih yang tak padat, gunakan 1 ½ cawan je)
  • Air pandan ½ cawan (kisar 3 helai daun pandan bersama air)
  • Air kapur 1 sudu kecil
  • Garam ½ sudu kecil
  • Pewarna hijau beberapa titis
  • Air secukupnya (untuk rendam pulut)

Caranya:

▶️ Cuci pulut putih dan rendam selama 1 jam. Masukkan juga air kapur, garam dan pewarna hijau.

▶️ Selepas rendam, toskan pulut dan masukkan dalam loyang saiz 10×10’ yang telah dialas plastik.

▶️ Masukkan santan cair dan air daun pandan. Kemudian gaul sebati.

▶️ Kukus selama 30 minit.

▶️ Bila pulut dah masak, masukkan pulut hitam yang dah direbus tadi dan gaulkan rata.

▶️ Kukus lagi selama 20 minit.

▶️ Selepas dah masak, keluarkan loyang dari periuk pengukus dan alaskan plastik atau daun pisang atas permukaan pulut.

▶️ Tekan-tekankannya supaya padat. Kalau nak pulut lagi padat, tindihkan dengan benda berat.

▶️ Biarkan sejuk. Dan kemudian boleh potong ikut bentuk yang anda suka.

Bahan C:
  • 1 biji kelapa parut
  • Garam secukupnya
Caranya:

▶️ Campurkan kelapa parut dengan garam dan gaul sebati.

▶️ Golekkan kuih lopes yang dah siap dipotong tadi ke dalam kelapa parut ni.

▶️ Dah siap!

Bahan D (air gula melaka):
  • Gula melaka 3 ketul (potong kecil-kecil)
  • Gula merah ½ cawan
  • Gula pasir (ikut rasa)
  • Air 3 cawan
  • Daun pandan 1 helai (disimpul)
  • Sedikit tepung jagung yang dibancuhkan dengan air (optional) – tujuan nak pekatkan air gula melaka ni

Caranya:

▶️ Masukkan kesemua bahan dalam periuk kecuali air bancuhan tepung jagung.

▶️ Masak atas api sehingga gula melarut keseluruhannya. Sentiasa kacau untuk elakkan hangit.

▶️ Kemudian boleh masukkan air bancuhan tepung jagung kalau nak pekatkan kuah. Terpulang pada anda.

▶️ Dah masak sebati, tutup api dan sejukkan.

▶️ Dah siap air gula melaka.

Bahan E (kuah santan pekat):
  • Santan 3 cawan
  • Tepung beras 3 sudu besar
  • Daun pandan 1 helai (disimpul)
  • Garam secukupnya
Caranya:

▶️ Satukan kesemua bahan dalam periuk, dan kacaukan sehingga sebati.

▶️ Masak atas api yang sederhana sehingga santan masak dan agak pekat.

▶️ Dah pekat boleh padamkan api.

▶️ Sejukkan, dan sedia dihidang dengan kuih lopes.

 

BACA JUGA: Cara Buat Kuih Lompang Sedap, Lembut Gedik. Mudah Je Guna Sukatan Cawan.

 

Ada sesetengah orang tak hidangkan kuih lopes ni dengan kuah santan pekat sebab kebanyakannya lebih gemar kuih ni dimakan bersama air gula melaka.

Terpulang pada anda sebenarnya nak hidangkan kedua-duanya atau tak. Kedua-duanya mempunyai rasa yang berbeza. Satu lebih kepada rasa manis, dan satu lagi rasa berlemak.

Yang penting ikut selera. Bolehlah simpan atau kongsikan dulu resepi kuih lopes lembut dan sedap ni di Fb anda. Nanti bila nak buat, mudah untuk rujuknya semula. Jangan lupa mencubanya!

Leave A Reply

Your email address will not be published.