Pernah tak makan kuih boko ubi kayu? Bagi penggemar kuih tradisional Melayu yang penuh dengan rasa lemak manis, lembut, dan wangi, boleh try buat resepi kuih tepung boko ubi kayu ni. Kuih ni antara manisan pencuci mulut popular tradisi orang Kelantan.
Istimewanya kuih ni sebab teksturnya lembut dan sedap makan bila cair di mulut. Cara masaknya ialah dikukus. Sedap makan waktu panas-panas lepas keluar dari pengukus. Tiap kali bulan Ramadhan, kalau makan waktu berbuka memang betul-betul nikmat.
Kuih ni rasanya sedap yang datangnya dari lemak santan dan manisan dari gula merah. Kalau lihat bentuknya macam kuih talam ubi, tapi sebenarnya berbeza dari segi tekstur kelembutannya.
Cara masak biasanya orang buat dalam bekas atau pun acuan. Tapi untuk resepi ni kukus dalam daun pisang. Bau dan rasanya lebih sedap dan wangi.
Resepi ni dari perkongsian Puan Habsah Ngah. Boleh cuba buat untuk hidangan minum petang atau pada bulan puasa nanti.
RESEPI KUIH TEPUNG BOKO UBI KAYU
Cara masak kuih tepung boko ubi kayu ni ada pelbagai versi. Ada yang gabungkan terus lapisan ubi kayu dengan kepala santan. Ada juga yang kukus bancuhan ubi kayu dulu lepas tu curahkan kepala santan kemudian.
Untuk resepi ni, satukan terus kedua-dua lapisan ni baru dikukus. Terpulang pada anda nak buat cara macam mana.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Ubi kayu sudah diparut 2 cawan
- Kelapa parut sebiji
- Gula merah 1 cawan
- Air 1 cawan
- Daun pandan 3 helai
- Gula ½ cawan
Bahan kepala santan:
- Santan pekat 1 cawan atau satu kotak
- Air 1 cawan
- Tepung beras 3 sudu makan
- Gula 1 sudu makan
- Garam ½ sudu teh
Cara masak tepung boko ubi kayu:
▶️ Mula-mula sediakan parutan ubi kayu. Potong ubi kayu saiz dadu, lepas tu kisar. Kemudian tapis sampai kering.
▶️ Nak lagi sedap, campurkan ubi kayu parutan tadi dengan secawan lagi kelapa parut.
▶️ Lepas tu buat bancuhan air gula merah. Masukkan gula merah, air, daun pandan dan gula dalam periuk. Dan masak atas dapur sampai larut dan sebati. Seterusnya tapis. Dan sejukkan.
▶️ Sediakan pula kepala santan. Masukkan santan, air, tepung beras dan garam ke dalam periuk. Masak sampai pekat berkilat.
▶️ Seterusnya curahkan air gula merah ke dalam kelapa dan ubi kayu parut tadi. Gaulkan sehingga sekata.
▶️ Sediakan daun pisang yang dah dilayurkan. Kemudian letakkan adunan ubi kayu dalam 2 sudu besar. Letakkannya kemas-kemas.
▶️ Selepas tu letakkan adunan kepala santan pula.
▶️ Lipatkan daun pisang seperti dalam gambar. Kemudian cucuk dengan lidi supaya tak terbuka atau stepler kan sahaja.
▶️ Susun dalam pengukus dan kukus dengan api sederhana dalam 30 minit.
▶️ Dah siap kukus boleh keluarkan dan sejukkan.
▶️ Nak masuk dalam peti sejuk boleh. Nak makan panas-panas pun sedap juga.
▶️ Sedia untuk dihidangkan.
BACA JUGA: Resepi Kuih Bingka Jagung Sedap Dan Lembut. Kuih Tradisional Legend Kegemaran Ramai!
Sedapnya bila suap je kuih ni, terasa cair di mulut. Buat kuih boko ni sebenarnya mudah je. Ada yang nak lagi senang terus masakkan sekali dalam loyang dan kukus. Bila nak makan potong kecil-kecil dan hidangkan.
Bagi yang suka kepala santan yang lebih cair, tak perlu kukuskan sekali dengan adunan ubi kayu. Boleh masak biasa je atas dapur.
Kemudian bila adunan ubi kayu dah masak, potong dan letak atas piring. Selepas tu baru curahkan kepala santan. Rasanya nikmat juga. Ikut cara anda nak hidangkan kuih tepung boko ubi kayu ni macam mana.
Lepas ni bolehlah cuba dan hidangkan untuk mertua dan keluarga. Selamat mencuba!