Rindunya nak main-main tepung di dapur masa bulan puasa ni. Sebenarnya waktu bukan bulan puasa pun layan jugak kalau buat kuih ni. Sebab sedap dibuat kudapan. Tapi bila buat sebagai kuih raya, feeling dia lain sikit. Jom saya kongsikan resepi strawberi swiss tart mudah sebagai salah satu idea kuih raya anda!
Tapi guna acuan semperit je sebab nak buat swiss atau putar-putar ni susah sikit. Takut tangan tak berseni. Jadi boleh guna acuan semperit sebab senang sikit nak bentuk. Ikut mana anda selesa. Ikut resepi ni, rasa kuihnya berlemak dan juga sedap sebab ada ramuan corn flakes dalam adunannya.
Tambahan lagi ada perisa strawberi yang manis sebagai topping atau filling. Bila makan, terasa nikmat bila biskut tart ni mencair di mulut. Mau habis berbalang sebelum raya lagi ni.
Resepi strawberi swiss tart ni ada dikongsikan oleh Siti Hajar Hashim di laman FB nya. Mudah cara membuatnya. Dan hasil biskut tart beliau cantik dibakar. Lihat je pun dah tau rasanya macam mana.
Menariknya, dalam adunan tepung bukan sahaja dimasukkan corn flakes yang dihancurkan, ada juga dimasukkan chocolate rice untuk rasa yang lebih sedap dan crunchy bila digigit.
RESEPI STRAWBERI SWISS TART
Buat kuih atau biskut tart ni masa musim raya memang untung. Adunan tepung tak lah banyak digunakan tapi boleh dapat hasil kuih yang banyak. Bukan tu je, boleh dipelbagaikan lagi perasa untuk fillingnya. Selain strawberi, boleh juga letakkan filling nenas, Nutella dan macam-macam lagi.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Butter 250 gram (guna jenama twin cows)
- Gula aising ½ cawan
- Tepung gandum 1 ½ cawan
- Tepung jagung 1 ½ cawan
- Corn flakes ½ cawan (kisar hingga hancur)
- Esen vanilla 1 sudu teh
- Chocolate rice ½ cawan
- Filling strawberi secukupnya
Cara buat strawberi tart:
▶️ Masukkan butter, gula aising dan esen vanilla dalam satu mangkuk/besen. Kemudian sebatikan guna senduk kayu je.
▶️ Kemudian masukkan con flakes yang dah siap dihancurkan, bersama dengan tepung gandum dan tepung jagung. Gaulkan sehingga sebati.
▶️ Adunkan bahan sehingga menjadi doh. Kalau dohnya lembik, masukkan sikit tepung gandum dan sebatikan.
▶️ Dan bahan terakhir ialah chocolate rice. Masukkannya dalam adunan dan kacau sebati.
▶️ Sediakan acuan semperit. Masukkan doh, dan picit atas loyang. Lakukannya sampai adunan habis.
▶️ Tekankan dengan jari sikit atas adunan kuih untuk mudah letakkan filling strawberi nanti.
▶️ Isi filling strawberi dalam piping bag, dan guntingkan sedikit di depannya. Lepas tu picitkan atas ruang kuih yang ditekan tadi.
▶️ Panaskan oven siap-siap. Dan bakar kuih ni selama 20 minit atau sehingga masak dalam suhu 180’c. Atau ikut oven masing-masing.
BACA JUGA: Resepi Kuih Tiram Sedap Dan Mudah. Rahsia Kuih Tiram Yang Rangup Dan Tahan Lama!
▶️ Dah siap, boleh sejukkan sekejap dan simpan dalam bekas kedap udara.
▶️ Sedia dinikmati!
Wah, lepas je bakar, wangi je bau biskut dan juga filling strawberi tu. Sebenarnya kuih tart ni kalau makan panas-panas lepas dibakar tu lagi sedap sebab bila masuk je mulut, terasa tepung biskut tu mencair.
Dengan rasanya lemak berkrim campur manis strawberi lagi, memang tak boleh tahan nak tunggu raya! Bulan Ramadhan je confirm habis. Bersedialah buat kuih ni banyak-banyak untuk santapan anak-anak dan keluarga. Selamat mencuba!