Bila sebut je kuih talam dah terbayang rasa lemak-lemaknya dan teksturnya yang lembut. Ada bermacam-macam jenis talam. Ada talam tepung, talam ubi, talam pandan dan macam-macam lagi. Kali ni jom cuba resepi talam keladi yang sedap berperisa ni pula.
Bukan biasa-biasa resepi yang dikongsikan oleh Tokma Rossita Omar ni. Keladi dimasukkan secara ketul-ketul dalam adunan tepung pada lapisan bawah. Tengok pun dah boleh agak rasa sedapnya macam mana kan.
Lapisan atas pula dicampurkan dengan perisa keladi. Rasanya juga sedap malah buatkan warna ungu talam keladi ni bertambah cantik.
Bahan yang diperlukan simple je. Janji gunakan sukatan yang betul. Lepas dikukus, kuih talam ni sangat sedap kalau terus dijamah.
Bagi yang suka kuih talam memang perlu cuba resepi talam keladi ni. Rasanya yang manis, lemak dan lembut sedap buat hidangan minum petang bersama dengan kopi panas.
RESEPI TALAM KELADI
Untuk mudah campurkan keladi dalam adunan, keladi akan dipotong kecil secara mendadu. Resepi ni hanya perlu gunakan 1 cawan keladi yang siap dipotong. Bersesuaian untuk kuih talam dalam loyang saiz 8×8 inci.
Bahan-bahan lapisan bawah:
- Keladi 1 cawan yang dah dipotong dadu dan dikukus/rebus empuk.
- Santan kara 1 kotak kecil
- Air 1 cawan
- Tepung gandum 1 cawan
- Garam 1 sudu teh
Bahan-bahan lapisan atas:
- Tepung gandum 1 cawan
- Santan cair 2 cawan
- Tepung jagung ½ cawan
- Gula pasir ¾ cawan
- Tepung beras 1 sudu besar
- Perisa keladi 1 sudu besar
- Garam ½ sudu teh
Cara buat talam keladi:
▶️ Potong keladi secara mendadu.
▶️ Dapatkan sebanyak 1 cawan.
▶️ Kukuskannya sehingga lembut dan empuk.
▶️ Ini keladi yang dah siap dikukus.
▶️ Satukan kesemua bahan-bahan untuk lapisan bawah di dalam kuali dan kacaukannya sebati.
▶️ Panaskan dengan api yang kecil.
▶️ Tujuan masak ni untuk pekatkan adunan supaya mudah beku dan cepak masak masa dikukus nanti.
▶️ Kemudian masukkan keladi yang dah siap direbus tadi.
▶️ Gaul sebati dan padamkan api.
▶️ Sediakan loyang saiz 8×8 inci (resepi ni gunakan 10 inci, tapi sebaiknya gunakan loyang 8 inci).
▶️ Sapukan sikit minyak serata loyang dan lapikkan dengan plastik (minyak ni untuk lekatkan plastik).
▶️ Tuang adunan lapisan bawah serata loyang.
▶️ Dan kukus sehingga masak.
▶️ Kemudian buat lapisan atas pula.
▶️ Satukan kesemua bahan lapisan atas dalam blender. Kemudian kisar.
▶️ Ini ialah perisa keladi yang digunakan.
▶️ Seterusnya tuang adunan ke atas lapisan bawah yang dah siap masak tadi.
▶️ Kukus lagi untuk masak lapisan atas pula.
▶️ Sebelum kukus, tutup loyang dulu dengan aluminium foil untuk elakkan air wap pada penutup loyang jatuh atas kuih talam.
▶️ Kalau tak ada aluminium foil, perlu lap wap pada penutup setiap 5-6 minit untuk elak wap menitik.
▶️ Selepas dah masak, buka dulu tutup periuk, dan biarkan sekejap sehingga wap pada permukaan kuih kering.
▶️ Barulah kemudiannya tutupkan api.
▶️ Dah siap kuih talam keladi!
▶️ Sedia dihidangkan.
BACA JUGA: Kuih Lapis Ubi Kayu Atau Talam Ubi Kayu, Cantik Bila Dihidangkan!
Nak dapatkan hasil permukaan kuih yang cantik dan licin macam ni, perlu pastikan air wap tak menitik banyak kat atas kuih.
Dan penting juga jika biarkan penutup kukus dibuka buat seketika sambil api masih lagi menyala. Bila air atas permukaan kuih dah kering sepenuhnya, barulah padamkan api.
Berguna sungguhkan resepi talam keladi yang sedap dan penuh berperisa ni. Sebaiknya kongsikan pada wall Fb anda. Nanti bila nak buat, mudah untuk anda rujuknya semula. Selamat mencuba!