Segalanya Tentang Makan..

Resepi Sambal Ikan Bilis Bawang Style Negeri Sembilan. Sedap Rasa Berlemak-Lemak.

0 3,491

Kalau makan sambal ikan bilis bawang ni mesti nak pedas-pedas dan penuh salut sambalnya kan. Negeri Sembilan ni pula kalau buat sambal, ada kelainannya sikit. Rasa sambal dia berlemak-lemak dan lagi naik aroma. Tambah lagi dilebihkan juga bawang.

Fuhh, cicah dengan pulut kuning atau pulut santan cukup mengancam. Makan dengan nasi putih panas pun boleh buat bertambah. Tak tahulah kat tempat lain ada tak orang masak sambal ikan bilis bawang style macam ni.

Tapi orang di Negeri Sembilan terutama kawasan kampung masak sambal ikan bilis masukkan santan untuk rasa lemak-lemak. Kemudian direnyehkan sampai pecah minyak. Memang sedap. Lagi-lagi pedasnya pun mengancam.

Kalau makan dengan nasi lemak pun sedap. Orang berniaga mungkin jarang buat macam ni sebab besar modalnya. Dengan ikan bilis, bawang dan santan. Semua harga boleh tahan kan. Resepi ni dikongsikan oleh Nazuhaina Azu.

Bila buat sendiri ni puas hati sebab boleh masukkan santan dan lebihkan ikan bilis serta bawang. Barulah puas makan sekeluarga. Makan dengan pulut, boleh berasa segala isi bahan sambalnya.

 

RESEPI SAMBAL IKAN BILIS BAWANG NEGERI SEMBILAN

Santan ni anda boleh agak-agak masukkan banyak mana ikut kepekatan santan anda dan banyak mana sambal ingin dimasak. Mudah je nak buat sambal ni. Bahan pun tak banyak yang diperlukan. Resepi ni ialah untuk 1 kilo bawang.

Bahan-bahan yang diperlukan:
  • Bawang besar (dimayang)
  • 2 biji bawang besar (dikisar)
  • Ikan bilis (goreng terlebih dahulu)
  • Cili kering kisar
  • Santan
  • Asam keping
  • Garam halus

Cara masak sambal ikan bilis bawang:

▶️ Panaskan minyak dalam kuali.

▶️ Kemudian masukkan bawang yang dikisar dan juga cili kering kisar.

▶️ Masukkan santan dan garam halus. Lepas tu kacau sebati.

▶️ Kemudian masukkan bawang yang telah dimayang.

▶️ Masukkan juga ikan bilis yang telah digoreng.

▶️ Terus kacau dan renehkannya sehingga masak dan terbit minyak.

▶️ Dah siap boleh padamkan api.

 

BACA JUGA: Resepi Ayam Masak Merah Paling Simple Style Dulu-Dulu. Sambal Cantik Berkilat. Sedap Ya Amat!

 

Sedia untuk dihidang. Kalau kat negeri Sembilan selalu hidangkan dengan pulut kuning. Di kenduri-kenduri kampung, selalu dihidangkan sambal yang padu ni. Nak buat pedas atau tak terpulang pada selera anda.

Tapi kalau dah nama orang negeri Sembilan, kenalah pedas baru mengancam. Makan dengan nasi putih ke, pulut ke, mahupun lempeng semua sedap dan bikin bertambah. Yang pasti kene lebih bahannya sampai tersentel-sentel ikan bilis dan bawang tu barulah nikmat.

Kalau buat makan sendiri ni bolehlah letakkan bahan lebih. kalau beli pula, susah nak jumpa sambal yang timbul-timbul ikan bilis dan bawangnya sebab agak berkos bagi mereka. Lepas ni kalau nak masak sambal bolehlah cuba resepi sambal ikan bilis bawang style negeri Sembilan ni.

Leave A Reply

Your email address will not be published.