Bila tengok resepi Thai ni buatkan kita kecur air liur kan? Nama masakannya memang jarang dengar sebab tak berapa terkenal di Malaysia. Tapi kalau sekali cuba mesti anda menyukainya. Nama menu ni ialah daging pad kra pao atau dikenali juga sebagai resepi daging cincang pedas.
Bagi yang suka masakan berasaskan daging, bolehlah buat resepi ni. Bukan sahaja sedap, malah cara masaknya pun mudah dan cepat. Lengkap dengan rasa masam, manis dan pedas. Kalau dah nama masakan Thai, aroma masakan ni sedap dengan rasa sos ikan.
Apa yang menarik resepi ni ialah ada dimasukkan daun selasih sebagai penaik rasa dan aroma rencahnya. Bawang putih pula digunakan banyak dan ditumbuk kasar sebagai salah satu bahan tumisan. Jadi, bila rencah ni dimasak dalam masakan daging, rasanya lebih sedap dan wangi.
Bagi anda yang nak cuba, boleh ikut resepi mudah yang dikongsikan oleh Mohd Rozmie ni. Resepi daging pad kra pao ni sejenis makanan yang tak berkuah atau dimasak kering. Amat sedap kalau dimakan dengan nasi panas-panas dan telur goreng mata.
Kadang kala, ada juga buat masakan ni sebagai inti sandwich atau makan dengan roti sebagai hidangan sarapan atau minum petang. Bila daging cincang ni dimasak kering dengan bahan rencahnya, setiap gigitan daging tu akan lebih berasa.
RESEPI DAGING PAD KRA PAO (DAGING CINCANG PEDAS)
Untuk resepi ni, boleh gunakan daging atau ayam yang dicincang halus. Untuk lagi mudah, boleh juga gunakan terus daging atau ayam cincang yang dah memang sedia dijual. Tapi kalau anda gunakan daging atau ayam yang dicincang sendiri, rasanya akan lebih fresh.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Daging cincang 2 bungkus (400 gram untuk tiap satu bungkus)
- Bawang putih 5 ulas
- Cili padi 5 biji
- Daun selasih 1 genggam
- Sos tiram 3 sudu besar
- Kicap manis 3 sudu besar
- Kicap masin 1 sudu besar
- Sos ikan 1 sudu
- Gula sedikit
Cara masak daging pad kra pao:
▶️ Mula-mula tumbuk cili padi dan bawang putih secara kasar.
▶️ Panaskan minyak sedikit dalam kuali, kemudian tumis bawang dan cili tumbuk tu sehingga naik bau.
▶️ Minyak tak dimasukkan banyak sebab nanti daging pun akan berminyak.
▶️ Selepas tu masukkan daging cincang dan gaul sebati.
▶️ Air daging akan keluar. Jadi biarkan sehingga kering sedikit.
▶️ Kemudian masukkan sos tiram, kicap manis, kicap masin dan sos ikan. Kacau hingga sebati.
▶️ Dan masukkan gula secukup rasa. Garam tak perlu dimasukkan lagi sebab kicap dan sos ikan dah masin.
▶️ Kacau dan masak sehingga semua sekata.
▶️ Dan akhir sekali masukkan daun selasih. Kemudian terus padamkan api.
▶️ Dah siap masakan daging cincang pedas ni.
▶️ Boleh dihidangkan dengan nasi atau roti.
BACA JUGA: Resepi Terung Berlada Ala Thai. Sedap Dan Padu Dimakan Dengan Nasi! Wajib Cuba!
Tergoda kan tengok masakan ni. Tengok cara masakan dan hidangannya berbeza dari pelbagai resepi masakan daging. Bolehlah nanti sesekali mencuba resepi daging pad kra pao ni pula untuk hidangan sesisi keluarga.
Kalau nak lagi sedap, buatlah pedas lebih sikit ikut citarasa anda. Barulah mengancam bila dimakan dengan nasi panas. Lepas tu hidangkan dengan telur mata dan sedikit ulaman. Jangan lupa mencubanya!