Segalanya Tentang Makan..

Gulai Lemak Telur Itik Campur Kundang Style Nogori. Masakan Kampung Paling Mudah Dan Sedap!

0 2,075

Alahai rindunya nak makan masakan kampung, lagi-lagi masak lemak kuning. Lauk ni memang makanan termasyhur orang nogori. Gulai lemak telur itik campur kundang. Rasanya dah ramai tahu kalau gulai lemak Negeri Sembilan ni tak dimasukkan sebarang bawang.

Cukup sekadar cili api, kunyit hidup, serai dan santan. Dah menjadi dah kuah lemaknya. Resepi masak lemak negeri ni mudah je nak buat. Bagi yang tak pernah makan gulai lemak telur itik campur kundang style nogori, boleh cuba resepi dari perkongsian Norlinda Saim ni.

Masakan ni gunakan buah kundang muda, memang sedap dengan rasa masam-masamnya tu dimasak dalam gulai lemak. Telur itik tu pula tak usah nak cakap lagi. Bila dibuat gulai memang confirm-confirm padu.

Sebab tu tiap kali kalau ada kenduri kendara di kampung-kampung, gulai ni selalu jadi pilihan. Bukan hanya sedap, malah tak mahal belanjanya dan mudah dan cepat untuk disediakan.

Tak tahulah kalau di bandar mudah atau tak nak dapatkan buah kundang muda. Tapi kalau jumpa di mana-mana atau pasar, jangan lepaskan peluang untuk beli dan cuba sendiri resepi yang padu ni.

 

RESEPI GULAI LEMAK TELUR ITIK CAMPUR KUNDANG

Buah kundang ni pun kalau nak masak dalam gulai ada caranya. Jangan masak terlalu lama supaya tak lembik. Barulah rasa segar sikit bila digigit.

Bahan-bahan yang diperlukan:
  • Santan dari 1 biji kelapa
  • Telur itik 6 biji
  • Buah kundang muda 4 biji
  • Cili padi
  • Kunyit hidup 3 inci
  • Garam secukup rasa
  • Serai 1-2 batang

Cara masak gulai lemak telur itik campur kundang:

▶️ Mula-mula belah buah kundang muda kepada 2 dan buang bijinya. Tak perlu buang kulit.

▶️ Kemudian rendam dengan sedikit air garam.

▶️ Perah santan dari sebiji kelapa. Asingkan santan pekat dan santan cair.

▶️ Tumbuk kunyit hidup, cili api dan garam sehingga lumat.

▶️ Panaskan kuali, dan masukkan bahan yang ditumbuk tadi, serai yang diketuk dan santan cair.

▶️ Kacau bahan supaya sebati.

▶️ Kemudian, dengan api yang perlahan, pecahkan telur itik sebiji-sebiji ke dalam kuali, dan biarkannya dulu.

▶️ Jangan kacau sehingga telur itik betul-betul masak supaya tak hancur.

▶️ Buah kundang yang direndam dengan air garam tadi dibilas, kemudian masukkan dalam kuali.

▶️ Masukkan juga santan pekat dan kacau seketika.

▶️ Boleh rasa kuah. Kalau tak cukup berasa lagi boleh tambah garam.

▶️ Biarkan mendidih sekejap, lepas tu boleh padamkan api.

 

BACA JUGA: Resepi Udang Masak Lemak Cili Api Campur Nenas. Kuah Padu Dengan Rasa Lemak Manis!

 

▶️ Jangan lama sangat masak supaya buah kundang tak lembik.

▶️ Dah siap, sedia dihidangkan.

Mudah, simple dan cepat nak masak hidangan kampung ni kan. Bahan pun ringkas je. Resepi gulai telur itik ni memang legend di negeri Sembilan.

Sama jugalah dengan buah kundang tu. Antara buah yang sedap bila dijadikan salah satu hidangan lauk lemak nogori. Kalau makan tu confirm bertambah.

Buat penggemar masakan kampung style, boleh cuba resepi gulai lemak telur itik campur kundang ni. Memang tak rugi. Selamat mencuba!

Leave A Reply

Your email address will not be published.