Kadang-kadang masak lauk simple 4-5 bahan je dah cukup sedap dan menyelerakan dari lauk yang macam-macam rencah ni. Udang memang antara seafood yang sedap dimasak apa sahaja. Buat masak tumis udang simple main campak-campak pun boleh jadi sedap.
Resepi udang yang unik dan sedap dikongsikan oleh Nor Zehan ni masukkan sikit je bahan tapi beri rasa yang sempurna. Cukup berasa manis, masin, pedas dan wangi. Rupanya macam masak sambal tapi tak ada masukkan cili kisar pun.
Hanya masukkan bahan sos dan sedikit bahan yang menaikkan aroma seperti daun kari. Lepas tu campurkan bahan tambahan lain seperti lobak merah dan batang saderi. Yang ini pun dah membangkitkan selera.
Kalau nak letakkan bahan tambahan lain pun boleh ikut citarasa anda. Yang penting kuah sos kena la cukup dan sepadan dengan bahan. Pandai-pandailah bajet kuantitinya.
Bahan sos hanya perlukan sos tiram dan sos cili je. Ini pun dah cukup beri rasa masin dan manis. Tak perlu masukkan perencah lain dah memadai.
RESEPI TUMIS UDANG SIMPLE SEDAP
Buat masak tumis udang ni nak lagi sedap dan puas, masaklah dengan udang yang gemuk dan tebal isinya. Nanti bila masukkan udang tak perlu masak lama-lama, dah boleh padamkan api supaya udang kekal segar dan tak terlampau lembik lepas dimasak.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Udang ½ kilo (salutkan dengan serbuk kunyit)
- 2 biji bawang besar (sebiji dikisar dan sebiji lagi dihiris)
- 1 ulas bawang putih dihiris
- Cili merah
- Cili hijau
- Sikit daun kari
- Lobak merah dan batang saderi (nak letakkan bahan lain pun boleh ikut citarasa)
- 2 sudu sos tiram
- 2 sudu sos cili
Cara masak tumis udang simple sedap:
▶️ Panaskan minyak dalam kuali.
▶️ Masukkan bawang besar yang telah dikisar dan tumis sehingga garing dan kering.
▶️ Lepas tu masukkan hirisan bawang, cili merah, cili hijau dan daun kari.
▶️ Tumis sampai naik bau dan hirisan bawang tu nampak garing.
▶️ Masukkan pula lobak merah dan batang saderi. Tak perlu tunggu lembut sangat sebab segar-segar lagi sedap.
▶️ Masukkan sos tiram dan sos cili dan gaulkan sebati.
▶️ Akhir sekali baru masukkan udang. Kalau kuah nampak kering boleh masukkan air sikit.
▶️ Gaul sebati sekejap dan boleh padamkan api. Tak perlu masak udang lama-lama sampai kecut.
BACA JUGA: Resepi Udang Masak Merah Madu Paling Simple Dan Senang. Tapi Boleh Makan Sampai Bertambah.
▶️ Nak lagi sedap taburkan daun ketumbar atau daun sup sebelum diangkat.
▶️ Sedia untuk dihidangkan.
Hidangkan dengan nasi panas serius menyelerakan. Kalau anda suka pedas boleh masukkan cili merah atau cili hijau lebih sikit. Jangan tambah sos cili pula sebab sos cili tu ada rasa manis.
Gaul dengan nasi memang cukup sedap. Tak perlu lauk lain lagi dah cukup. Sebab masakan tumis ni dah siap berkuah. Tak padan pula makan dengan lauk lain melainkan sayur goreng, ikan bilis goreng sambal dan hidangan simple lain lagi.
Ikutlah citarasa anda nak hidangkan dengan apa. Yang penting masak tumis udang simple ni kalau anda cuba pasti anda menyukainya. Semoga bermanfaat!