Segalanya Tentang Makan..

Resepi Asam Pedas Ikan Kembung Muar Pekat Menyengat. Kuah Memang Padu! Bahannya Mudah Je.

0 28,402

Asam pedas ni, kalau dapat hirup kuahnya sampai licin, maksudnya memang sedap dan padulah rasanya tu. Pasti kuahnya tu cukup dengan rasa masam, masin dan pedasnya! Kalau anda nak makan asam pedas yang menyengat macam ni, resepi asam pedas ikan kembung muar ni antara menu yang anda patut cuba.

Bila makan tak pandang kiri kanan dah. Betapa nikmat kalau makan asam pedas ni dengan menuang kuah banjir ke dalam nasi. Resepi asam pedas dari Azlina Ina Fans ni betul-betul menangkap selera sebab kuahnya cukup berasa dan pedas dengan bahan cili kisar dan bahan tumbuk lada sulah.

Bau kuahnya pun wangi dengan aroma daun kesum dan serai yang ditumis. Dah banyak kita jumpa resepi asam pedas ni. Memang lain orang lain cara masak. Citarasa pun berbeza-beza. Namun resepi ni antara resepi asam pedas yang memberikan rasa kuah yang pekat, sedap dan cantik warnanya.

Bahan yang diperlukan mudah untuk disediakan. Dan cara masaknya pun senang je. Bagi yang baru nak belajar memasak pun boleh ikut resepi ni, dan pasti masakan asam pedas anda menjadi walaupun baru percubaan pertama kali.

Letaklah sayuran apa-apa yang sesuai sebagai pelengkap rasa contohnya bendi dan tomato. Itu pun dah cukup sedap dan menyelerakan tanpa perlu ada lauk lain lagi. Jom lihat resepinya.

 

RESEPI ASAM PEDAS IKAN KEMBUNG MUAR

Untuk asam pedas ni, anda boleh gunakan apa-apa jenis ikan yang digemari. Selain ikan kembung, boleh juga masak dengan ikan merah, jenahak, pari dan sebagainya.

Bahan-bahan yang diperlukan:

Bahan kisar:

  • Cili kering dalam 10 tangkai atau lebih sikit ikut tahap kepedasan anda suka (rebus dan toskan)
  • Cili besar sebiji dan cili padi 2 biji (sebagai penambah pedas je. Kalau tak nak letak tak apa)
  • Halia 1 inci
  • Kunyit hidup sedikit
  • Bawang besar 1 labu
  • Bawang merah Bombay 3 biji
  • Bawang putih 3 ulas

Bahan lain:
  • Lada putih atau lada sulah ½ sudu besar (ditumbuk)
  • Serai 2 batang
  • Daun kesum
  • Bendi
  • Tomato

  • Ikan kembung 4-5 ekor (siang dan bersihkan)
  • Asam jawa 2 sudu besar (bancuhkan dengan 1 cawan setengah air)
  • Garam, gula dan perasa

Cara masak asam pedas ikan kembung muar:

▶️ Mula-mula panaskan minyak dalam kuali.

▶️ Selepas panas, masukkan serai yang dah siap dititik dan tumis sehingga naik bau.

▶️ Kemudian masukkan bahan-bahan yang dah dikisar tadi.

▶️ Lada sulah ditumbuk sehingga hancur. Kemudian masukkan lada sulah ni bersama dengan bahan kisar tadi dan tumis sehingga garing dan terbit minyak.

▶️ Masukkan daun kesum separuh dari yang anda sediakan. Kacau sebati dan masak sehingga layu.

▶️ Kemudian masukkan sayur bendi. Biarkan masak dalam 5 minit.

▶️ Selepas tu masukkan ikan kembung.

▶️ Kalau anda masak ikan kembung, sayuran bendi ni dimasukkan dahulu sebelum ikan sebab bendi perlu dilembutkan dahulu. Ikan kembung ni lembut dan mudah masak, jadi dimasukkan lewat.

▶️ Tetapi kalau anda masak dengan ikan yang lebih pejal dan lambat masak seperti ikan merah dan ikan duri, ikan perlu dimasukkan dahulu sebelum sayur bendi untuk lembutkannya.

▶️ Kacau ikan dengan bahan supaya sebati.

▶️ Seterusnya masukkan air bancuhan asam jawa. Untuk resepi ni, 2 sudu besar asam jawa dibancuh dengan 1 ½ cawan air untuk dijadikan kuah. Boleh buat ikut citarasa anda.

▶️ Perlahankan api, dan tutup periuk untuk renehkannya lama sikit dan biarkan mendidih.

▶️ Kemudian perasakan dengan garam, gula dan perasa.

▶️ Rasa-rasakan ikan dan sayur bendi tu. Kalau dah masak dan lembut, masukkan baki daun kesum tadi dan juga tomato yang dibelah 4.

▶️ Biarkan sekejap je, dah boleh padamkan api.

▶️ Sedia untuk dihidangkan!

 

BACA JUGA: Resepi Ikan Merah Kengsom Original Thai Sedap Dan Padu. Resepi Dari Thailand Yang Wajib Cuba!

 

Makan dengan nasi panas-panas memang padu asam pedas muar ni. Dah la kuahnya cukup rasa pedas, masam, masin dan pekatnya. Bila digaulkan dengan nasi dan hirup sekali kuahnya, memang boleh buatkan kita makan sampai bertambah.

Hidangkan untuk suami dan mak ayah mertua. Pasti mereka suka. Lepas ni kalau nak makan asam pedas yang pedas menyengat, bolehlah ikut resepi asam pedas ikan kembung muar yang dikongsikan ni. Selamat mencuba!

Leave A Reply

Your email address will not be published.