Kalau pergi mana-mana kenduri, selalu dihidangkan dengan ayam berempah. Tapi kanapa ya susah nak jumpa ayam goreng berempah macam kenduri di tempat lain? Macam ada special resepi pula. Mujur jumpa resepi ayam goreng berempah kenduri yang dikongsikan oleh Nana Ismail ni.
Dapatlah merasa buat ayam berempah kenduri sendiri. Tapi bezanya resepi dari Puan Nana ni ayamnya dipotong besar-besar. Biasanya di kenduri tu ayamnya dipotong kecil. Kalau nak feeling-feeling macam makan ayam berempah kenduri, boleh potong saiz kecil sikit. Tak ada masalah pun.
Janji rupa dan rasanya masih lagi sama. Sedap dan wangi! Memang sedap kalau makan dengan nasi apatah lagi kalau meratah macam tu je.
Bahannya tak adalah simple sangat dan boleh tahan banyak juga. Tapi berbaloi! Sebab puas hati dengan rasa sedap, pedas-pedas bahang dan beraroma.
Boleh dikatakan lagi sedap berbanding ayam berempah kenduri. Yang buatkan enak tu bila ada banyak serdak gorengan ayam yang bagi rasa crunchy.
RESEPI AYAM GORENG BEREMPAH KENDURI
Ayam tu perlulah digoreng garing. Kalau goreng biasa-biasa je atau rasa juicy, tak sama pula macam ayam berempah kenduri. Takut tak naik sangat rasa rempahnya tu. Namun terpulang pada anda nak rasa gorengan ayam macam mana ikut citarasa sendiri.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- 1 ekor ayam
- 4-5 sudu besar serbuk kari daging
- 2 sudu besar serbuk sup
- 2 sudu besar serbuk kunyit
- 1 sudu besar serbuk cili
- 2 biji bawang besar atau bawang holland
- 1 labu bawang putih
- 2 inci halia
- Jintan putih
- Jintan manis
- 2 batang serai
- Garam secukup rasa
- 5 tangkai daun kari
Cara buat ayam goreng berempah kenduri:
▶️ Bersihkan ayam dan potong. Masukkannya ke dalam bekas yang bersesuaian.
▶️ Kemudian kisar halus bawang besar atau bawang holland, bawang putih bersama dengan halia, jintan putih, jintan manis dan juga serai.
▶️ Masukkannya ke dalam bekas ayam, dan campurkan sekali dengan kesemua bahan lain. Gaul sebati pada keseluruhan bahagian ayam.
▶️ Carikkan daun kari dan gaul sebati.
▶️ Lepas tu perap selama 30 minit ke 1 jam. Tak perlu perap lama sangat pun dah boleh berasa.
BACA JUGA: Cara Buat Ayam Goreng Mamak Rangup. Rahsia Perapan Ayam Paling Sedap!
▶️ Panaskan minyak dalam kuali, dan goreng ayam seperti biasa sehingga garing.
▶️ Tapi pastikan api tak terlalu besar sangat sebab takut bahagian luar cepat masak atau hangus, tapi bahagian dalam belum masak sepenuhnya.
▶️ Dah garing, boleh angkat dan toskan.
▶️ Sedia untuk dihidang.
Rasa dan bau wangi dia memang tak boleh bawa bincang. Tengok bahan je pun boleh tahu kan. Ayam goreng berempah macam ni memang sedap kalau dipadankan dengan juadah gulai-gulai kuah berlemak.
Ala, macam makan dengan nasi kukus. Mesti ada kuah karinya kan. Nasi kukus memang wajib ada ayam goreng berempah ni. Kombinasi ayam goreng berempah dengan kuah kari dan juga nasi panas memang membangkit selera. Lepas ni bolehlah mencubanya!