Orang belah pantai timur mesti tau resepi dan cara masak ayam kuzi ni sebab ini antara makanan tradisi Kelantan. Lauk ayam kuzi ni tak selalu dimasak melainkan nak buat hidangan istimewa contohnya dalam majlis-majlis tertentu.
Tapi kalau sesekali teringin nak masak sendiri, boleh ikut resepi ayam kuzi pekat melikat yang dikongsikan oleh Rodk Raymee ni. Jarang orang buat bukan sebab ayam kuzi ni tak sedap atau tak kena pada tekak.
Tapi nak buatnya agak leceh sikit sebab banyak proses menggoreng segala bahan sebelum masak dengan ayam sepenuhnya. Tapi rasa dia sebenarnya sedap dengan kuah pekat melikat dan wangi berlemak.
Kalau makan dengan nasi putih atau nasi berperisa seperti nasi minyak atau nasi briyani memang kena sangat. Sesekali boleh buat hidangan istimewa untuk suami dan mertua.
Malah kalau nak cicah dengan roti kosong atau roti canai pun sedap. Sebab style kuahnya pekat dan berseladak, sesuai nak buat sebagai kuah pencicah.
RESEPI AYAM KUZI PEKAT MELIKAT
Untuk resepi yang dikongsikan ni, sesuai untuk hidangan 6 orang makan iaitu 1 ekor ayam. Kalau anda nak buat lebih atau kurang, boleh adjust sukatan bahan-bahannya.
Bahan-bahan yang diperlukan:
Bahan perap:
- Ayam 1 ekor (potong 12)
- Bawang putih 3 ulas
- Garam sikit
Bahan untuk goreng:
- Minyak masak 250 ml
- Bawang merah 15 biji (hiris nipis)
- Bawang besar 2 biji (potong dadu)
- Kepingan badam ½ cawan (almond slices)
- Kismis ½ cawan
- Hati dan pedal ayam (potong kiub)
- Garam dan gula secukup rasa
Bahan untuk kuah:
- Bawang merah 5 biji (tumbuk halus)
- Bawang putih 4 ulas (tumbuk halus)
- Rempah briyani 3 sudu besar (bancuh dengan air jadikan pes)
- Air 125 ml
- Susu cair ¾ tin
- Tomato puri 120 gram (1 tin kecil)
- Serai 2 batang (dititik)
- Daun pandan 2 helai (carik dan simpul)
Cara masak ayam kuzi:
▶️ Mula-mula sediakan perapan ayam dulu.
▶️ Caranya tumbuk bawang putih dan juga garam. Kemudian lumurkan pada ayam dan perap seketika. Ketepikan.
▶️ Lepas tu mula proses menggoreng bahan-bahannya.
▶️ Panaskan minyak dalam kuali, kemudian goreng bawang merah yang dihiris nipis. Dah kelihatan garing sikit, angkat dan toskan.
▶️ Lepas tu dalam minyak yang sama, gorengkan pula badam. Lepas warna dah keperangan dan lembut sikit, angkat dan toskan.
▶️ Beralih pula pada kismis. Gorengkan dalam 4-5 saat lepas tu angkat.
▶️ Kemudian goreng bawang besar sampai lembut, dan angkat dan toskan.
▶️ Akhir sekali gorengkan pedal dan hati sehingga masak.
▶️ Oh ya, jangan lupa ayam pun perlu digoreng juga. Goreng separuh masak je supaya lebih juicy. Kemudian angkat dan toskan.
▶️ Dah siap proses menggoreng bahan-bahan.
▶️ Kemudian boleh terus masak kuahnya.
▶️ Panaskan minyak dalam kuali yang sama, lepas tu tumis bawang putih dan bawang merah yang ditumbuk halus sampai garing dan naik bau.
▶️ Kemudian masukkan daun pandan dan juga serai serta rempah briyani. Kacau dan tumis sampai rempah masak dan pecah minyak.
▶️ Seterusnya masukkan tomato puri, ayam, pedal, hati, bawang goreng, kismis, dan badam yang digoreng tadi. Masukkan juga air dan susu cair.
▶️ Terus masak dan renehkan kuah selama 20 ke 30 minit.
▶️ Dalam pada tu kalau kuah kering, masukkan air sikit. Kemudian kacau sehingga kuahnya pekat melikat.
▶️ Akhir sekali perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
▶️ Dah siap boleh padamkan api.
▶️ Nak hidangkan tu, boleh taburkan sedikit badam, daun ketumbar dan bawang goreng ikut citarasa anda.
BACA JUGA: Resepi Ayam Kicap Ala 3 Budak Gemuk Viral. Tak Sangka Buat Sendiri Mudah Dan Sedap.
Mudah je kan sebenarnya cara buat ayam kuzi ni. Cuma agak lama sebab kena menggoreng dan mereneh kuah sehingga pekat.
Tapi bila dah siap dimasak, memang kecur air liur dibuatnya. Dengan bau kuah yang sedap dan wangi, nikmat kalau gaulkan dengan nasi panas-panas. Pasti makan dengan penuh berselera.
Bolehlah nanti buat hidangan istimewa hujung minggu. Jangan lupa cuba resepi ni. Jom pakat-pakat share dekat adik beradik. Nanti boleh masak untuk keluarga bila dah boleh pulang ke kampung. Selamat mencuba!