Segalanya Tentang Makan..

Resepi Ayam Mangga Sos Thai, Mudah Je Buatnya Tapi Rasa Mewah Ala Hotel.

0 4,010

Kalau ditanya tentang makanan yang unik dan mewah, biasanya makanan macam tu selalu dihidangkan di hotel atau restoran mewah. Kadang-kadang nama makanannya pun jarang didengar. Salah satunya ialah resepi ayam mangga sos thai ni.

Nama juadah ni selalu dipanggil chicken mango Thai. Memang jarang jumpa kan, tapi kalau sekali rasa pasti anda tak boleh lupa. Konsep masakan ni ialah ayam goreng rangup yang bersalut kuah sos Thai, disamping dengan hirisan buah mangga.

Memang padu rasanya dan istimewa, lagi-lagi kuah sos Thai tu dimasak sendiri jadi lebih pekat dan cukup berasa. Ada rasa masam, manis, pedas. Cara hidangannya ialah tuangkan kuah sos ni pada ayam yang rangup dan juga hirisan mangga.

Resepi ni ada dikongsikan oleh cikgu Afy Al Habibi. Asas masakan ni yang pentingnya ialah sos Thai tu sendiri. Dipanggil juga colek ayam.

Tak susah pun nak buat hidangan mewah ala hotel ni. Hidangan ayam mangga Thai ni antara yang mudah tapi rasanya enak bila dimakan dengan nasi, malah diratah begitu pun sedap!

 

RESEPI AYAM MANGGA SOS THAI

Cara buat colek ayam (sos Thai) ni mudah dan ringkas je bahannya. Tapi syaratnya gunakan bahan asas sos Thai yang dikongsikan oleh cikgu ni. Baru rasa lebih sedap dan terangkat.

Kali ni disediakan perkongsian resepi sos Thai sahaja. Untuk ayamnya, anda boleh goreng seperti biasa atau salutkan dengan tepung goreng ayam untuk rasa lebih sedap dan crunchy. Dan mangga pula dibuang kulit dan hiris/mayang dan taburkan atas ayam.

Bahan-bahan yang diperlukan untuk colek ayam (sos Thai):
  • Sos cili Thai (gunakan sos seperti dalam gambar)
  • Kicap pekat
  • Air kosong
  • Lemon
  • Cili merah
  • Bawang putih jeruk
  • Tepung jagung ½ sudu besar
  • Bijan disangai (taburkan nanti atas sos lepas dah siap)
  • Daun ketumbar (dihiris dan ditaburkan juga atas sos nanti di akhirnya)
  • *Perhatian: Tak perlu gunakan garam, gula dan nisse seperti dalam gambar

Cara buat colek ayam (sos Thai):

▶️ Kisar 8 tangkai cili padi serta 2 labu bawang putih jeruk (buang dulu kulit dan tangkainya).

▶️ Kisar bersama air bawang jeruk.

▶️ Lepas tu kisar sehingga halus sedikit.

▶️ Sediakan periuk, dan masukkan sos Thai 5 senduk. Jangan lupa goncangkan dulu sebelum senduk. Masa ni tak perlu buka api lagi.

▶️ Kemudian masukkan bahan yang dikisar tadi.

▶️ Tuangkan segelas air.

▶️ Lepas tu perah sebiji lemon dan boleh mula pasangkan api yang perlahan.

▶️ Sementara adunan tengah nak panas, masukkan kicap pekat satu sudu besar je. Itu pun tak perlu 1 sudu penuh sangat. Sebab kuah ni tak perlu hitam sangat warnanya.

▶️ Tips nak pekatkan lagi kuah dia, bancuhkan sedikit tepung jagung dengan air. Dalam ½ sudu besar tepung jagung dan 1/3 cawan air kosong. Lepas tu kacaukan sebati.

▶️ Kacau sehingga kuah sos pekat dan mendidih.

▶️ Kalau terlalu pekat sangat, boleh adjustkan dengan air.

▶️ Tak perlu lagi tambah garam dan gula sebab dah cukup rasa.

▶️ Dah siap boleh padamkan api.

▶️ Sedia untuk dihidangkan!

 

BACA JUGA: Resepi Kerang Rebus Sos Thai Bikin Terliur. Cukup Rasa Masam, Manis Dan Pedas!

 

Untuk resepi ni, boleh hasilkan sos Thai yang banyak. Anda boleh asingkan berapa banyak nak makan dengan ayam mangga, dan selebihnya simpan dalam peti sejuk. Sos ni boleh pakai untuk hidangan lain seperti nasi ayam, cicah cucur udang, cekodok dan sebagainya.

Bila dah sedia nak dihidangkan untuk ayam mangga ni, masukkan sikit daun ketumbar, taburan biji bijan dan juga hirisan bawang merah. Barulah bertambah sedap.

Memang sedap bila sekali cuba resepi ayam mangga sos Thai ni. Kalau tak cuba rasa rugi. Sekali je makan, baru tahu rasa dia macam mana! Selamat mencuba!

Leave A Reply

Your email address will not be published.