Sedapnya kalau dapat makan ayam masak cili api ni. Kadang-kadang pening juga nak fikir masak apa yang mudah tapi sedap. Resepi ayam masak cili api ni kiranya masak campak-campak je bahan apa yang ada di dapur.
Tapi cukup sedap bila dimasak kering-kering dan cukup kepedasannya. Rupanya nak dapatkan ayam masak cili api yang lebih wangi beraroma dan menyelerakan ni, titik sekali serai ke dalam bahan tumisan. Kalau dapat makan lauk ni dengan nasi putih panas, memang terangkat rasanya.
Tak perlu hidangkan lauk lain lagi dah. Paling tidak pun makan dengan timun sebagai ulaman dan sedikit kicap dalam nasi. Pasti nanti makan sampai bertambah.
Resepi ayam masak cili api yang sedap dari Norhamah Said ni simple dan mudah je. Sesuai sangat untuk mak-mak yang nak buat hidangan ringkas untuk makan malam.
Kalau nak buat terlajak pedas atau kurang terpulang pada citarasa. Yelah, kadang-kadang kalau pedas sangat pun susah untuk anak-anak nak makan. Jom lihat cara memasaknya.
RESEPI AYAM MASAK CILI API
Ayam ni lagi sedap kalau digoreng separuh masak supaya rasa lebih juicy. Bila digaulkan dengan sambal cili api nanti, sambalnya akan lebih sebati dan meresap ke dalam ayam. Barulah betul-betul sedap untuk dinikmati.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Ayam bahagian peha 3 ketul (potong ikut suka)
- Bawang putih 3 ulas
- Bawang merah 3 ulas
- Cili besar 4 tangkai (2 cili hijau dan 2 cili merah)
- Halia ½ inci
- Serai 2 batang (diketuk)
- Air asam jawa secukupnya
- Sos tiram 1 sudu besar
- Garam, gula dan bahan perasa
Cara masak ayam cili api:
▶️ Kisar bawang putih, bawang merah, halia dan cili besar sehingga lumat. Ketepikan.
▶️ Lumurkan ayam dengan serbuk kunyit dan garam. Kemudian goreng dalam minyak panas separuh masak sahaja atau garing di luar dan juicy di dalam.
▶️ Lepas goreng ayam, angkat dan toskan.
▶️ Dengan minyak yang sama, keluarkan sikit minyak tu. Tinggalkan yang sesuai untuk menumis.
▶️ Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan yang dikisar tadi sehingga pecah minyak.
▶️ Lepas tu masukkan serai yang diketuk, air asam jawa, sos tiram, garam, gula dan perasa (jika ada).
▶️ Gaul sebati dan biarkan tumis sehingga betul-betul garing.
▶️ Dan akhir sekali masukkan ayam yang dah digoreng tadi. Gaulkan sehingga sebati.
▶️ Dah siap, sedia untuk dihidangkan.
BACA JUGA: Resepi Ayam Masak Kicap Ala 3 Budak Gemuk Viral. Warna Kicap Cantik Dan Sedap Memukau.
Masakan cili api ni mudah je, dan yang penting sekali rasanya sedap. Bagi penggemar lauk-lauk pedas yang sedap bila digaulkan dengan nasi, lauk ni memang amat sesuai.
Bahan pun simple je. Tak payah pening-pening nak fikirkan bahan-bahan pelbagai untuk menyedapkan lagi masakan. Yang ada ni pun dah cukup rasa sedap dan membangkitkan selera.
Lepas ni kalau teragak nak masak masakan pedas-pedas, bolehlah buat resepi ayam masak cili api ni. Boleh buat tahap pedas mana yang anda suka. Selamat mencuba.