Hari ni jom kita tengok satu lagi idea masakan ayam yang anda boleh sediakan untuk keluarga. Selama ni muak juga asyik rotate lauk ayam yang sama je kan. Hari ni kita try resepi berbeza sikit iaitu resepi ayam masak sos tiram sedap lagi terangkat!
Menu ni antara masakan ayam yang sedap, ringkas dan cepat untuk disediakan! Walaupun ringkas, tapi rasanya mengancam habis sebab ayamnya diperap dulu kemudian digoreng garing. Barulah selepas tu digaulkan dengan masakan sosnya.
Kalau makan dengan nasi putih dengan hidangan sayur atau telur dadar, memang cukup padu dan membangkitkan selera! Bahan yang digunakan pun sikit dan mudah untuk disediakan.
Resepi ayam masak sos tiram ni dikongsikan oleh Maryam Hussain. Sekali tengok menu ni, rasa rugi kalau tak cuba sebab masakannya simple dan nampak menyelerakan.
Kalau nak buat versi pedas boleh. Nak buat yang tak pedas untuk anak-anak kecil pun cukup sedap. Jom kita tengok cara masakannya.
RESEPI AYAM MASAK SOS TIRAM
Sebelum digoreng dan dimasak, ayamnya perlu diperap dulu dengan bahan-bahannya dan tepung jagung. Nanti gorengannya akan lebih sedap dan berasa. Lagi lama diperap, lagi sedap rasa dia!
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Ayam 5 ketul
- Tepung jagung sedikit
- Bawang holland 1 biji
- Cili besar 1 biji (atau nak pakai cili padi pun boleh. Ikut tahap kepedasan anda mahu)
- Bawang putih 2 ulas
- Sos tiram 1 sudu
- Kicap pekat manis 1 sudu
- Daun bawang atau daun sup sedikit
Cara masak ayam masak sos tiram:
▶️ Mula-mula cuci bersih ayam dan sedia untuk diperap.
▶️ Masukkan dalam mangkuk, taburkan tepung jagung, dan tuang sos tiram dan kicap manis.
▶️ Gaulkan kesemuanya sehingga sebati, kemudian perap selama 10 minit. Kalau perap lagi lama lagi sedap.
▶️ Seterusnya panaskan minyak dalam kuali dan tumis bawang holland dan bawang putih sehingga naik bau atau warna bertukar keperangan.
▶️ Selepas tu, angkat dan ketepikan dulu.
▶️ Kemudian panaskan semula minyak yang sedikit, dan gorengkan ayam yang dah diperap tadi. Goreng sampai warna keemasan.
▶️ Tujuan asingkan bawang dan ayam ni sebab nak bagi ayam kekal rangup dan garing.
▶️ Tuangkan sos kita perap ayam tadi dan gaul sekata.
▶️ Selepas tu baru masukkan bawang yang digoreng tadi dan terus masukkan cili besar atau cili padi.
▶️ Akhir sekali taburkan daun bawang atau daun sup.
▶️ Sedia untuk dihidangkan!
BACA JUGA: Resepi Ayam Masak Cili Kering Berkuah. Sedap Sangat! Makan Sekali Confirm Repeat.
Tengok kuahnya yang ecak-ecak ni memang betul-betul berselera kan. Nanti, sebelum anda padamkan api bolehlah rasa dulu cukup berasa ke tak masin dan manisnya.
Sebab sos tiram dan kicap manis yang dimasukkan tu dah memberikan rasa. Kalau tak cukup, anda boleh adjust garam, gula ataupun perasa ikut selera masing-masing.
Pedasnya pun biasa-biasa je sebab resepi ni hanya masukkan cili besar potong macam tu je tanpa ditumis awal-awalnya. Kalau anda suka pedas lagi, boleh tambah cili lagi atau tumis awal sikit.
Mudah je kan. Lepas ni bolehlah masak resepi ayam masak sos tiram ni kalau nak sediakan menu ringkas tapi sedap untuk keluarga. Jangan lupa mencubanya!