Apa-apa sahaja makanan yang melibatkan daun pandan ni mesti kita tau aromanya lebih wangi dan sedap dari biasa. Lagi-lagi kalau buat resepi ayam pandan Thai yang sedap ni. Masakan Thai ni pula ada kehebatan rasanya yang tersendiri.
Kelebihan masakan ni bukan je hanya pada balutan daun pandan masa dimasak tu. Tapi sebelum tu, ayamnya akan diperap dengan bahan perapannya yang pelbagai sebelum dikukus. Bukan biasa-biasa bahan yang dicampurkan.
Resepi ayam pandan Thai yang akan dikongsikan hari ni ialah dari Mamamia. Sangat simple buat menu ni dan sesuai sangat untuk hidangan santai anak-anak. Kadang-kadang anak-anak ni cepat muak dengan lauk harian, lagi-lagi kalau ulang lauk masakan ayam yang sama.
Kalau dapat buat ayam padan Thai ni, makanan ni sebenarnya lebihnya untuk diratah atau makan macam tu je dengan sos pencicah.
Kalau nak makan dengan nasi pun apa salahnya. Seolah-olah menggantikan ayam goreng tapi versi wangi dengan aroma pandan. Jom lihat resepinya.
RESEPI AYAM PANDAI THAI
Untuk resepi ni, sesuai kalau anda gunakan dada ayam atau ayam yang dipotong kecil-kecil supaya nanti mudah untuk dibalutkan dengan daun pandan. Daun pandannya pula pilihlah yang segar-segar supaya baunya lebih wangi.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Dada ayam 3 ketul yang dipotong dadu
- Daun ketumbar cincang 2 sudu besar
- Bawang putih siap dikisar 2 sudu besar
- Halia yang siap dikisar 1 sudu besar
- Serbuk lada hitam 1 sudu teh
- Serbuk lada putih 1 sudu teh
- Gula ½ sudu besar
- Serbuk cili 1 sudu kecil
- Sos tiram 2 sudu besar
- Minyak bijan 1 sudu besar
- Kicap cair 1 sudu besar
- Sos ikan 1 sudu besar
- Tepung jagung 2 sudu kecil
- ½ kiub pati ayam
- Sedikti garam
Cara buat ayam pandan Thai:
▶️ Mula-mula perlu perapkan ayam dulu. Campurkan kesemua bahan di atas dalam 1 besen atau bekas.
▶️ Kemudian perapkan selama 4 jam. Kalau nak lagi sedap perapkan semalaman.
▶️ Seterusnya sediakan daun pandan, kemudian balut ayam tadi dengannya. Sediakan juga lidi kecil atau pencungkil gigi untuk sematkan pada daun supaya tak terbuka atau ayam terkeluar.
▶️ Susunkan atas periuk pengukus. Kemudian kukus selama 10 minit dengan gunakan api besar.
▶️ Lepas tu angkat. Kemudian gorengkan hingga ayam sedikit garing.
▶️ Dah siap boleh padamkan api.
▶️ Dan sedia untuk dihidangkan.
BACA JUGA: Resepi Honey Garlic Chicken Terlajak Sedap. Mudah Sangat Hanya 4 Bahan Je!
Wahh, kalau dapat makan ayam pandan ni waktu panas-pabas keluar dari pengukus tu, dah tentu sedap. Cicah pula ayam pandan ni dengan sos Thai, alangkah nikmat rasanya.
Gabungan segala bahan perapan ayam memang dah cukup berasa. Bila dimasak dengan daun pandan, itu yang membuatkan rasa ayam tu cukup istimewa.
Lepas ni bolehlah ikut resepi ayam pandan Thai ni kalau nak buat masakan ayam yang sedap dan mudah je untuk disediakan. Selamat mencuba!