Kalau di Malaysia kita dah biasa dengan masakan rendang tak kira rendang ayam, daging atau kambing. Namun ada satu masakan asalnya dari Indonesia yang tak kurang enak rasanya seakan rendang ni yang dinamakan masakan pelambang. Antara yang paling popular ialah daging masak palembang.
Di Malaysia sendiri pun ada bermacam resepi rendang. Untuk daging masak palembang ni antara yang sedap dimakan dengan nasi atau jadikan juadah hari raya sebab bahannya lebih kurang seakan masakan rendang rempah yang dah tentu kaya dengan rempah ratusnya.
Cuma yang membezakan masakan palembang ni ialah bahan kicap manis yang menaikkan lagi rasa dan memekatkan warna masakan. Kalau anda dah cuba makannya sekali, pasti jatuh hati. Perkongsian resepi daging palembang yang simple dan sedap yang anda boleh cuba ialah daripada Iza Abu Bakar ni.
Mudah je sebenarnya cara masakannya. Kebiasaannya daging yang digunakan ialah daging batang pinang yang mudah lembut dan masak.
Berbeza dengan rendang, masakan palembang ni lebih berair seakan masakan kicap. Itu yang buatkan bertambah sedap bila digaulkan dengan nasi.
RESEPI DAGING MASAK PALEMBANG
Ada sesetengah resepi akan perapkan dulu daging dengan kicap dan juga bahan rempah lain. Namun untuk resepi ni daging akan terus dimasak dengan bahan tumisan. Kemudian tu baru daging akan direnehkan sehingga masak dan empuk.
Bahan-bahannya:
- Daging batang pinang 1 kilo (dihiris nipis)
- Kicap lemak manis (tak kira jenama apa pun)
- Serai 2 batang (diketuk manja)
- Kerisik 3 sudu
- Bawang besar 2 labu (dikisar)
- Bawang putih 3 ulas (dikisar)
- Bawang merah 5 biji (dikisar)
- Cili kering 10 biji (dikisar)
- Halia 2 inci (dikisar)
- Lengkuas 1 inci (dikisar)
- Bunga lawang 2 kuntum
- Kulit kayu manis 1 batang
- Buah pelaga 5 biji
- Bunga cengkih 5 kuntum
- Garam dan gula secukupnya
- Minyak masak untuk menumis
Cara masak daging palembang:
▶️ Panaskan minyak dalam kuali.
▶️ Kemudian tumiskan bunga lawang, kulit kayu manis, buah pelaga dan bunga cengkih sehingga naik bau.
▶️ Masukkan bahan kisar iaitu bawang, cili kering, halia dan lengkuas dan tumis sehingga masak.
▶️ Seterusnya masukkan daging dan juga serai. Kacau sebati dan renehkan sehingga daging empuk. Kalau kering boleh masukkan air dan tumis sehingga kering semula.
▶️ Selepas daging dah empuk, masukkan kicap manis dan kacau sebati.
▶️ Kemudian masukkan kerisik, garam dan gula secukup rasa. Kacau sehingga sebati dan biarkan mereneh lagi.
▶️ Dah nampak pekat, bolehlah padamkan api dan sedia untuk dihidangkan.
BACA JUGA: Resepi Rendang Padang Indonesia Yang Sedap Dan Padu Dengan Aroma Rempah!
Kerisik tu yang memekatkan masakan dan membuatkan rasa lebih berlemak. Kalau makan dengan nasi putih panas cukup menyelerakan. Tak perlu ada lauk lain lagi dah cukup memadai.
Masakan palembang ni yang membuatkan ianya sedap ialah bahan rempah yang dimasukkan banyak. Itu yang buatkan kuah seladaknya lebih sedap dan wangi.
Lepas ni kalau muak buat masakan rendang atau kicap, boleh cuba resepi daging masak palembang ni pula. Sekali sekala pelbagaikan rasa masakan apa salahnya kan. Jangan lupa mencubanya.