Segalanya Tentang Makan..

Resepi Ikan Patin Tempoyak Ulam Kayu. Kuah Pekat Dan Sedap Gerenti Cepat Licin.

0 516

Kalau anda suka makan tempoyak, mesti ikan patin tempoyak ni menjadi salah satu lauk kegemaran anda kan, tambah lagi ada ulam kayu yang membangkitkan lagi selera. Sesetengah orang tak makan ikan patin atau ikan air tawar ni.

Kadang-kadang digantikan dengan ikan laut seperti siakap, jenahak, kembung dan sebagainya ikut selera masing-masing. Bila masak kuahnya pekat, likat dan berasa tempoyak, memang makan penuh berselera siap bertambah lagi nasinya.

Memang selalu dah masakan ikan patin tempoyak ni dicampurkan dengan ulam seperti daun kunyit, daun kesum, pegaga, pucuk kaduk dan macam-macam lagi. Sebab ulaman ni akan berikan aroma wangi dalam kuah.

Kalau ikan, tempoyak dan bahan asas lain seperti bawang, halia, lengkuas je semata, tak berapa naik sangat rasanya. Bila ada ulaman disebatikan dengan tempoyak, barulah rasanya lebih mengancam.

Mudah je sebenarnya nak masak gulai ikan patin tempoyak ni. Jom lihat perkongsian resepi dari Mohd Razman Faizal Sulaiman ni.

 

RESEPI IKAN PATIN TEMPOYAK ULAM KAYU

Untuk tempoyak ni terpulang pada anda nak letak banyak mana dalam kuah. Kalau suka pekat boleh masukkan lebih. Ada orang lebih suka kalau tempoyaknya tak begitu pekat. Jadi, terpulang pada citarasa sendiri.

Bahan-bahan yang diperlukan:
Bahan A:
  • Ikan patin seekor (0.75kg – 1kg)

  • Ulam kayu (ikut suka nak masukkan pucuk paku, pegaga, ulam raja, pucuk kaduk, kacang kelisa, daun kunyit dan daun kesum)

Bahan B:
  • 10 biji cili padi hijau
  • 5 biji cili padi merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 1 labu bawang besar
  • 1 inci kunyit hidup
  • 1 inci halia
  • 1 inci lengkuas
  • Air secukupnya
Bahan C:
  • 1 keping asam keping
  • 1 batang serai (dititik)
  • Santan pekat
  • Tempoyak
  • Cukup rasa, gula dan garam

Cara masak ikan patin tempoyak ulam kayu:

▶️ Mula-mula cuci bersih ikan dan potong kepada empat bahagian.

▶️ Kisar bahan B sehingga halus.

▶️ Panaskan kuali dan masukkan bahan kisar. Masak sampai mendidih.

▶️ Kemudian tambahkan air secukupnya. Kacau sebati.

▶️ Setelah mendidih, masukkan asam keping, serai dan tempoyak.

▶️ Biarkan kuah terus mendidih.

▶️ Bila tempoyak pun dah sebati, masukkan ikan patin. Biarkan ikan masak.

▶️ Lepas tu masukkan ulam kayu. Masak sampai ulam layu.

▶️ Kemudian masukkan santan pekat dan kacau sebati.

▶️ Perasakan dengan garam, gula dan rencah cukup rasa.

▶️ Biarkan kuah mereneh sekejap, dan boleh padamkan api.

▶️ Sedia untuk dihidangkan dengan nasi putih.

 

BACA JUGA: Resepi Sambal Tempoyak Jering Ikan Bilis. Selera Kampung Yang Paling Legend. Sedap Dan Mudah Je! 

 

Lepas je masak memang menusuk bau tempoyak. Menu ni memang cukup terkenal di Temerloh Pahang. Jadi wajib untuk singgah kalau ke sana.

Tapi sekarang dah merata-rata negeri orang masak ikan patin masak tempoyak ni. Resepi pun dah ada macam-macam cara orang buat ikut selera masing-masing. Lain orang lain air tangannya kan.

Musim-musim durian ni kalau ada durian lebih tu bolehlah buat stok tempoyak. Nanti boleh buat ikan patin tempoyak ulam kayu untuk menu istimewa anda sekeluarga. Selamat mencuba!

Leave A Reply

Your email address will not be published.