Makin kita terokai makanan Malaysia ni makin kita jumpa kepelbagaian masakan yang orang buat. Selagi kena pada tekak kita, selagi tu boleh kita masak dan menikmatinya secukupnya. Pernah tak anda dengar tentang resepi kuah lada kelapa bakar yang sinonim dengan negeri Melaka? Tapi ini bukan asam pedas tau. Ini resepi berkuah yang rasanya lagi luar biasa dan lebih sedap!
Memang istimewa masakan ni sebab ada kelapa bakar tu. Tahu je lah rasa kelapa bakar ni. Baunya lebih wangi dan rasa pun berlemak manis. Bila dimasak sebati dengan kuah lada ni, memang tak boleh bawa bincang rasa dia. Sedap sampai menjilat jari.
Kuahnya pula ada tumisan rempah, cili dan pelbagai bahan lagi. Rasa dia akan lebih beraroma dan pedas yang betul-betul akan membangkitkan selera. Bagi yang tak pernah cuba, boleh buat ikut resepi yang dikongsikan oleh Durrani Damar ni.
Campuran bahannya memang luar biasa. Ada bahan rempah yang dikisar. Dan ada juga bahan yang ditumbuk sahaja. Resepi ni mempunyai rasa yang lengkap dengan masam, masin, pedas dan cukup rasa aroma rempahnya.
Kalau tengok kuahnya lebih mengancam berbanding asam pedas. Bila dimakan dengan nasi panas, memang boleh makan sampai bertambah-tambah. Jom kita lihat cara penyediaannya.
RESEPI KUAH LADA KELAPA BAKAR
Nak masak menu ni, anda boleh masak dengan apa je jenis ikan yang disukai. Sama juga seperti asam pedas, biasanya orang masak dengan ikan tenggiri, ikan merah, ikan jenahak dan sebagainya. Untuk menambahkan lagi selera, masukkanlah sayuran seperti bendi, terung atau tomato.
Bahan-bahan yang diperlukan:
Bahan kisar:
- Cili kering
- Halia
- Kunyit hidup
- Bawang putih
- Bawang merah
- 1 sudu besar jintan manis
- 1 sudu besar jintan putih
- 1 sudu besar lada hitam
- 1 sudu besar ketumbar
Bahan tumbuk:
- Bawang merah
- Bawang putih
- Halia
- 1 sudu besar halba (digaul sahaja)
Bahan lain:
- Kelapa bakar
- Asam jawa
- Air secukupnya
- Daun limau purut (atau daun kesum)
- Sayuran seperti tomato, bendi atau terung
- Garam dan aji secukup rasa
Cara masak kuah lada kelapa bakar:
▶️ Mula-mula bakar kelapa yang dah dipecah-pecahkan dulu dalam oven.
▶️ Bakar sehingga keperangan warnanya.
▶️ Kisar semua bahan kisar sehingga hancur. Ketepikan.
▶️ Tumbuk bahan tumbuk sehingga separa lumat.
▶️ Kemudian panaskan minyak dalam kuali.
▶️ Masukkan bahan tumbuk dulu dan tumis sampai naik bau.
▶️ Seterusnya baru masukkan bahan kisar dan tumis sehingga garing.
▶️ Kemudian masukkan kelapa bakar tadi yang dah siap dihiris. Kelapa bakar ni kalau nak tumbuk pun boleh.
▶️ Seterusnya masukkan air untuk dijadikan kuah.
▶️ Selepas tu masukkan ikan dan air asam jawa. Dan biar masak sehingga mendidih.
▶️ Kemudian masukkan daun limau purut. Kalau tak ada boleh masukkan daun kesum.
▶️ Masukkan sayuran seperti tomato, bendi atau terung.
▶️ Dan akhir sekali perasakan dengan garam dan aji. Kacau sebati.
▶️ Dah masak, boleh tutup api.
▶️ Sedia untuk dihidangkan!
BACA JUGA: Resepi Ayam Ungkep. Masakan Jawa Sedap Dan Mudah. First Time Buat Pun Confirm Jadi.
Hidangkan dengan nasi putih panas dan juga sayuran campur. Fuhh, rasa dia memang cukup menyelerakan. Kalau tak ada sayur tu pun tak apa. Sebab dalam masakan kuah lada ni tadi dah dimasukkan sayur bendi atau terung tu.
Resepi kuah lada kelapa bakar ni ada rasa pedas dan masam-masam seperti asam pedas. Tapi yang buatkan rasanya lebih mengancam tu sebab ada kelapa bakar yang lemak wangi. Kuahnya pun penuh berempah yang memberikan pelbagai rasa. Rugi kalau tak cuba!