Rendang ni tak kiralah rendang daging atau ayam, kesedapannya terletak pada bahan rencah untuk buat kuah ecak rendang tu. Pada yang suka makan rendang, mesti anda suka dengan resepi rendang daging rempah hitam yang dikongsikan oleh Puan Dania Sedek ni.
Resepi ni turun temurun dan tak menggunakan santan! Bukan je sedap, malah wangi dengan aroma rempahnya. Masak kering-kering lepas tu gaul dengan nasi panas. Makan macam tu je pun dah sedap.
Walaupun rendang ni tak menggunakan santan, rasa lemak-lemaknya masih ada. Sebab ada dimasukkan kelapa parut goreng dalam kuah rendang di akhir-akhir masakan.
Bukan tu je, segala bahan rempahnya juga disangai atau goreng tanpa minyak dulu baru dikisar. Lepas tu bahan rempah ni dimasak sebati dengan bahan tumisan. Terus sedap dan menangkap rasa dia.
Masa hari raya nanti, kalau dapat buat rendang ni lepas tu cicahkan dengan lemang atau ketupat, memang tak cukup semangkuk. Tengok cara masaknya pun rasa tak sabar pula nak cuba kan. Lagi-lagi dengan hasil rendangnya yang kering dan hitam mengancam macam tu. Buatkan kita terliur. Apa lagi, jom tengok cara penyediaannya.
RESEPI RENDANG DAGING REMPAH HITAM
Untuk resepi ni, gunakan 1 kilo daging yang dipotong kecil-kecil. Daging tu nanti akan direbuskan dengan kicap untuk hitamkan dan lembutkan dia.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Daging 1 kilo
- Kicap manis cap udang sedikit (tak kira kicap jenis apa)
- Kelapa parut 1 biji yang digoreng tanpa minyak sampai garing
Bahan rempah:
- 10-15 biji bunga cengkih
- 6-7 batang kayu manis
- 8-10 biji bunga lawang
- 1 sudu kecil jintan putih
- 1 sudu kecil jintan manis
Bahan A (kisar):
- 8 biji bawang putih
- 16 biji bawang merah kecil
- 4 inci halia
- 2 genggam cili kering (dalam 20-25 biji)
Cara buat rendang daging rempah hitam:
▶️ Mula-mula rebus dulu daging dalam air rebusan yang dicampurkan kicap manis. Rebus sehingga daging lembut. Ketepikan.
▶️ Kemudian goreng kelapa parut tanpa minyak sampai garing. Ketepikan.
▶️ Segala bahan rempah disangai dulu atau goreng tanpa minyak. Kemudian tumbuk atau kisar sehingga halus macam serbuk kesemuanya. Jangan ada yang tinggal tanpa ditumbuk atau kisar.
▶️ Kalau tak nak tumbuk atau kisar, boleh je gantikan dengan bahan serbuk terus. Tapi yang penting perlu disangai juga.
▶️ Seterusnya kisar kesemua bahan A. Panaskan minyak dalam 3 sudu dalam kuali, dan masukkan bahan A. Tumis sampai terbit minyak dan naik bau wangi.
▶️ Kemudian masukkan bahan rempah yang dah ditumbuk atau kisar tadi. Kacau sehingga sebati.
▶️ Selepas tu masukkan daging dah siap rebus tadi.
▶️ Kemudian tambahlah sikit air rebusan kicap tadi dalam 2 -3 cawan sebab nak ada kuah sikit waktu ni.
▶️ Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Dan kacau sehingga sebati dan hampir kering.
▶️ Dan akhir sekali masukkan kelapa parut goreng tadi. Gaul sehingga kering.
▶️ Dah siap, boleh tutup api.
▶️ Sedia untuk dihidangkan!
BACA JUGA: Resepi Ayam Masak Sos Tiram Sedap Lagi Terangkat. Mudah Dan Cepat!
Nyummyy, tergoda tengok rendang daging rempah hitam ni. Kat dalam kuali lagi dah rasa padu bau dia. Rasanya apatah lagi.
Rendang daging rempah hitam ni kalau masak pedas, lagi mengancam. Kombinasi rempah dan pedas ni memang kesedapannya tak boleh bawa bincang.
Makan dengan nasi panas-panas, memang boleh makan sampai bertambah-tambah. Lepas ni bolehlah masak untuk hidangan istimewa sekeluarga. Jangan lupa mencubanya!