Bayangkan kalau makan nasi dengan sambal yang ada campuran nenas yang padu ni. Nenas ni kita tahulah rasa dia yang masam, manis dan menyengat. Bila dimasak dengan sambal pedas, memang sedap tak terkata rasa dia. Hidangkan dengan nasi panas-panas, confirm makan bertambah-tambah. Perkongsian resepi sambal nenas sedap ni dari Puan Siti Nuryasmin.
Resepi ni terinspirasi dari ibu mertuanya. Kalau resepi orang lama ni kita tahulah memang sedap dan ada keunikannya. Sambal ni tak dimasak berair dan lebih kepada selupat sambal dan nenas. Memang sedap bila digaulkan dengan nasi.
Bahannya pun simple je. Bila ada bahan perisa dalam sambal iaitu ikan bilis dan belacan yang dikisar sekali, itu yang buatkan sambal ni lebih terangkat. Bahan itu sahaja pun dah cukup. Tak perlu berlebihan.
Cara nak masukkan nenas tu, ianya dihancurkan atau boleh juga kalau anda nak hiris kecil-kecil untuk rasa gigitan nenas tu. Walau macam mana pun cara hidangannya, rasanya masih sedap dan menyelerakan.
Terpulang pada anda nak buat sambal pedas kaw-kaw atau pedas sikit-sikit je. Sesetengah orang suka sambal yang ‘light-light’ je. Ada juga yang suka sambal pedas berapi dan manis juga. Ikut citarasa masing-masing.
RESEPI SAMBAL NENAS SEDAP
Untuk resepi ni, gunakan 1 biji nenas saiz sederhana sebab memang inginkan rasa nenas yang banyak dan penuh selupat. Barulah sedap dan berasa. Dan nenasnya dicincang sehingga hancur sebelum dimasak. Nanti waktu masukkan dalam kuali, masukkan sekali air-airnya.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Buah nenas 1 biji
- Bawang Bombay 1 biji (nak pakai bawang holland pun boleh)
- Bawang merah 2 biji
- Bawang putih 4 ulas
- Cili padi 3 biji (boleh juga nak letak banyak)
- Ikan bilis segenggam (siap cuci)
- Sedikit belacan
- Gula apong
- Cili kering yang dah direbus dan dikisar
- Bahan perasa
Cara masak sambal nenas:
▶️ Mula-mula kupaskan nenas.
▶️ Pastikan buang matanya juga.
▶️ Kemudian cincang nenas dalam besen sehingga hancur. Kalau nak hiris halus pun boleh juga. Tapi hiris ni agak leceh dan ambil masa yang lama sedikit.
▶️ Seterusnya kisar semua bawang, ikan bilis, belacan, dan cili padi.
▶️ Kalau nak kisar hancur macam ni boleh, atau nak kisar kasar pun boleh juga. Ikut citarasa anda.
▶️ Sediakan cili kering yang dah siap dikisar.
▶️ Panaskan minyak dalam kuali, dan masukkan bahan yang dikisar tadi. Tumis sehingga naik bau.
▶️ Kemudian masukkan cili kisar dan tumis lagi sehingga pecah minyak.
▶️ Masukkan gula apong, atau apa sahaja gula seperti gula melaka atau gula putih.
▶️ Terus tumis sehingga cili agak kering.
▶️ Kemudian masukkan nenas bersama-sama dengan airnya sekali. Dan kacau sebati.
▶️ Resepi ni tak perlu lagi masukkan asam jawa atau asam keping sebab nenas ni dah beri rasa masam.
▶️ Kemudian masukkan bahan perasa iaitu garam dan aji atau apa-apa sahaja serbuk perasa.
▶️ Masak lagi sampai sedikit kering.
▶️ Dah siap boleh padamkan api. Dan sedia untuk dihidangkan.
BACA JUGA: Resepi Daging Black Pepper Sedap Dan Power. Rasa Pedas Bahang Tu Yang Membangkitkan Selera!
Mudah je kan penyediaannya. Sambal nenas kering dan padu macam ni memang sedap kalau dihidangkan dengan nasi panas-panas dan sedikit ulaman. Kalau nak makan dengan ikan goreng dan telur goreng pun sedap juga.
Hidangkan untuk suami dan mak ayah. Confirm kena pada tekak mereka. Nanti bolehlah mencubanya. Jangan lupa kongsikan di wall Fb anda resepi ni supaya dapat manfaatnya bersama. Selamat mencuba!