Selalunya kalau makan apa-apa masakan mesti rasa nak makan dengan lauk sampingan kan. Kalau dapat sambal tempe dan ikan bilis rangup ni sebagai pangikat selera, boleh makan nasi sampai bertambah-tambah dibuatnya.
Resepi sambal tempe dan ikan bilis rangup ni sebenarnya mudah sangat untuk disediakan. Kalau anda suka meratah, atau buat lauk tambahan, boleh buat sambal tempe ni banyak-banyak, dan simpan dalam bekas kedap udara.
Dan kalau nak sambal tempe ni tahan lama dan kekal rangup, gorengkan kedua-duanya secara berasingan. Cara potong tempe tu juga ada caranya. Potonglah nipis-nipis.
Yang itu kalau kita nak menyimpannya dan makan kemudian. Tapi sekiranya anda nak makan terus untuk juadah lauk, potong tempe tu tebal sikit sebenarnya lagi nikmat. Ikut citarasa anda.
Resepi ni dari Puan Maryam Hussain. Menariknya, resepi sambal tempe dan ikan bilis yang dikongsikan bukan sekadar rangup dan sedap, ada juga rasa lemak manisnya.
RESEPI SAMBAL TEMPE DAN IKAN BILIS
Sambal tempe ni kalau anda suka pedas lagi, boleh masukkan lebih cili boh atau cili kering kisar. Untuk lagi sedap, boleh masukkan sekali kacang tanah yang dah siap digoreng sebagai bahan tambahan.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Tempe 4 paket yang dipotong dadu
- Ikan bilis segenggam
- Bawang besar yang dah siap dikisar dalam 1 sudu
- Cili boh atau cili kering yang dikisar 1 sudu
- Gula 3 sudu
- Garam dan serbuk kunyit sedikit
Cara buat sambal tempe ikan dan ikan bilis:
▶️ Mula-mula salutkan garam dan serbuk kunyit pada tempe yang dah siap dipotong.
▶️ Kemudian gorengkan tempe tu sehingga garing. Angkat dan ketepikan.
▶️ Seterusnya goreng ikan bilis pula sehingga garing juga. Angkat dan ketepikan.
▶️ Kemudian panaskan minyak sedikit di dalam kuali, dan masukkan bawang kisar dan cili boh. Masukkan gula juga untuk kasi sedikit pekat.
▶️ Dan akhir sekali masukkan tempe dan ikan bilis yang dah siap digoreng tadi. Kacau kesemuanya sehingga sebati.
▶️ Kalau nak campurkan kacang tanah, boleh masukkannya sekali waku ni.
▶️ Dah siap, boleh padamkan api. Dan sedia untuk dihidangkan.
BACA JUGA: Cara Buat Murtabak Mini Simple Tapi Sedap. Senang Je Guna Kulit Popia!
Senang je kan cara membuatnya. Bahan yang digunakan pun simple je. Tapi bila dah siap, sedap sangat dengan rasa pedas, berlemak manis dan rangup.
Kalau nak buat sebagai makanan sampingan boleh. Tapi sekarang ni kalau nak buat sebagai lauk utama pun sesuai juga. Lagi-lagi kalau dapat makan dengan nasi pana-panas.
Terutamanya waktu nak bersahur di bulan puasa. Resepi sambal tempe dan ikan bilis ni sesuai untuk dijadikan lauk sahur sebab sedap dan berselera. Tak ada lauk lain pun tak apa dah. Jangan lupa mencubanya ye!