Sotong kembang ni kebiasaannya orang buat masak sambal. Lepas tu makan dengan nasi lemak memang sedap. Tapi pernah tak cuba resepi sotong kembang masak kari? Sedap sangat kalau masak pekat dan rasa lemak manis.
Selalu orang rasa malas nak masak sotong kembang ni sebab fikir liat dan perlu rebus dulu. Sebenarnya sotong kembang ni kalau beli yang segar, tak perlu rebus pun. Potong petak nipis-nipis, lepas tu masak je terus.
Lagipun makan sotong segar yang dipotong nipis ni sedap untuk dinikmati, lagi-lagi masak kari yang ada bau aroma wanginya. Kalau nak cuba resepi sotong kembang masak kari ni, boleh rujuk resepi yang dikongsikan oleh Puan Nordiana Mohamad.
Resepi ni turun temurun dari orang tuanya. Mudah dan tak gunakan banyak bahan pun. Malah tak menggunakan santan ala kedai mamak. Dan syarat sotong kembang masak kari ni kalau nak lagi sedap perlu ada rasa manis berlemak.
Kuahnya tu pula dimasak sehingga menjadi pekat. Barulah sedap makan dengan nasi. Tak perlu lauk lain lagi pun dah cukup menaikkan selera. Jom lihat resepinya.
RESEPI SOTONG KEMBANG MASAK KARI
Resepi ni menggunakan 2 ekor sotong kembang. Cuci bersih kemudian potong secara menghiris 4 segi. Boleh agak-agak saiz potongan tu tak terlalu kecil dan tak terlalu besar.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Bawang merah 10-12 biji
- Bawang putih 5 ulas
- Halia saiz ibu jari
- Serai 3 batang yang diketuk titik
- Sotong kembang 2 ekor (boleh tengok gambar cara potongannya)
- Minyak masak secukupnya
- Serbuk kari babas 125 gram (jadikan pes)
- Gula secukup rasa
- Garam secukup rasa
- Ajinomoto sedikit
Cara Buat Sotong Kembang Masak Kari:
▶️ Mula-mula kisar bawang merah, bawang putih dan halia.
▶️Kemudian panaskan minyak dalam kuali, dan masukkan bahan kisar tadi bersama dengan serai. Tumis sehingga naik bau.
▶️ Seterusnya bancuh siap-siap pes kari. Masukkan ke dalam kuali dan tumiskan sehingga terbit minyak.
▶️ Kemudian masukkan sotong kembang. Gaul sehingga sekata. Biarkan sekejap supaya bahan tumisan tu sebati dan meresap ke dalam sotong.
▶️ Selepas tu, baru masukkan air secukupnya. Dan perasakan dengan garam, gula dan ajinomoto.
▶️ Boleh rasa kuahnya. Mana kurang boleh adjust garam dan gula. Pastikan kuah manis baru sedap.
▶️ Kacau dan biarkan mendidih sampai kuah menjadi pekat.
▶️ Bila dah pekat, boleh padamkan api dan sedia untuk dihidangkan.
BACA JUGA: Sambal Sotong Kembang Sedap Dan Mudah. Sedap Dimakan Dengan Nasi Lemak Dan Nasi Putih!
Fuhh, nampak sedap dan menyelerakan. Kalau lihat balik resepi ni tak ada cili untuk rasa pedas. Kalau anda nak kan kuah yang pedas, boleh masukkan cili padi.
Kisarkan cili padi tu bersama dengan bawang dan halia untuk bahan tumisan pada awal masakan. Ikut citarasa masing-masing. Mudah je kan. Lepas ni kalau ada sotong kembang segar, bolehlah buat masak kari ala mamak ni. Selamat mencuba!