Telur ni selalu jadi penyelemat keadaan kalau nak masak cepat kan. Lagi-lagi kalau buat menu sahur atau makan malam. Sebab masaknya hanya sekejap je dah siap. Contoh salah satu menu masakan telur yang sedap ialah resepi telur kicap berempah.
Pernah tak anda cuba? Masakan telur kicap ni kalau yang biasa je pun dah cukup sedap. Inikan pula ada rasa dan aroma rempah. Resepi telur kicap berempah ni dikongsikan oleh Iza Abu Bakar. Bila kita dengar je masakan rempah, ingatkan ada banyak atau pelbagai rempah perasa yang dimasukkan.
Namun untuk resepi ni rupa-rupanya hanya ada 1 rempah je yang disebatikan dalam kuah kicap tu. Dan kuah kicapnya nanti akan lebih pekat dan berlemak. Ini kiranya resepi campak-campak je. Tapi hasil kuah kicapnya memang boleh buatkan orang terliur.
Kalau hidang waktu sahur lauk kicap berempah ni memang sesuai dan membangkitkan selera. Kadang-kadang muak juga kan asyik ayam, udang, daging dan sebagainya.
Kalau nak masaknya pedas atau kurang, bergantung pada citarasa masing-masing. Rasanya tetap sedap dan menyelerakan. Jom lihat resepi telur kicap berempah ni.
RESEPI TELUR KICAP BEREMPAH
Untuk resepi yang disediakan ni sesuai untuk hidangan dalam 3 orang makan. Kalau anda nak masak lebih atau kurang, boleh adjust sukatan bahannya.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Telur ayam 3 biji (goreng dan ketepikan)
- Bawang putih 4 ulas (dihiris nipis)
- Cili kisar 2 sudu besar
- Serbuk rempah kurma 1 sudu
- Kicap manis
- Bawang besar 1 labu (dipotong bulat)
- Cili api 4 biji (dihiris nipis)
- Minyak untuk tumis
Cara masak telur kicap berempah:
▶️ Mula-mula gorengkan telur dahulu. Lagi sedap kalau goreng telur tak berapa garing atau separuh masak. Kemudian ketepikan.
▶️ Panaskan minyak dalam kuali yang sama. Dan masukkan bawang putih, bawang besar dan cili api. Tumis sehingga garing dan naik bau.
▶️ Kemudian masukkan cili kisar dan serbuk rempah kurma. Kacau hingga sebati dan biarkan sehingga terbit minyak.
▶️ Masukkan kicap. Dan tuangkan sedikit air untuk jadikan kuah. Kemudian kacau sebati.
▶️ Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Kemudian biarkan sekejap sehingga kuah sedikit pekat. Dan tutup api.
▶️ Kemudian boleh tuangkan kuah kicap ni pada telur yang dah digoreng tadi.
▶️ Dah siap, boleh dihidangkan.
Kuah kicap yang pekat dengan aroma rempah ni memang puas kalau dapat gaulkan dengan nasi. Lagi-lagi ada rasa pedas sedikit. Kalau makan telur masak kicap berempah ni, tak payah ada lauk lain dah. Makan lauk ni je dah cukup membangkitkan selera.
Satu tips nak makan telur masak kicap, telur tu perlulah digoreng separuh masak. Bila digaulkan dengan kuah kicap berempah ni, kuah tu akan meresap ke dalam telur. Rasanya akan lebih sedap. Nanti bolehlah mencubanya!