Teringin nak makan udang campur nenas masak lemak cili api yang sedap dan padu kuahnya. Tahu je lah kan masakan cili api ni. Ada rasa pedas-pedas lemak kuahnya. Kalau makan dengan nasi memang layan sangat. Lagi-lagi bila dicampurkan juga dengan daun kunyit.
Daun kunyit ni ada baunya yang tersendiri. Bertambah wangi aroma kuah lemak kalau masukkannya sekali. Tambah lagi kita masakkan dengan sebarang seafood contohnya udang, ketam dan sebagainya. Akan menambahkan lagi rasa.
Sebenarnya masak macam ni je pun dah cukup sedap. Bayangkan kalau masukkan pula nenas sebagai penambah bahan yang membangkitkan lagi selera. Pasti kalau tengok je pun dah buatkan anda terliur!
Memang kuah tu terus rasa pedas dan masam-masam manis yang datangnya dari buah nenas. Secara asasnya kuah lemak ni memang akan lagi bertambah sedap bila ada rasa manis semulajadi sama ada dari udang atau buah nenas tu sendiri.
Rugi kalau tak cuba resepi udang masak lemak cili api campur nenas yang dikongsikan oleh Hana A Razak ni. Nak buatnya mudah je. Hanya perlukan bahan yang sangat ringkas.
RESEPI UDANG MASAK LEMAK CILI API CAMPUR NENAS
Kalau ikut asas masakan cili api negeri Sembilan, bahan utamanya ialah cili api, kunyit dan santan je. Namun resepi ni ada dimasukkan juga bawang mengikut citarasa. Terpulang pada anda nak masukkan atau tidak.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Udang 1 kilo
- Bawang merah 3 biji
- Bawang putih 1 ulas (optional)
- Cili api 7 biji
- Serai 1 batang
- Serbuk kunyit
- Santan
- Garam secukup rasa
- Asam keping
- Daun kunyit
- Nenas
Cara masak udang masak lemak cili api nenas:
▶️ Mula-mula kisarkan bawang merah, bawang putih dan juga cili api. Kalau tak nak letak bawang putih pun tak apa.
▶️ Kemudian kisar hancur atau nak kisar kasar pun boleh.
▶️ Sediakan periuk atas dapur, dan tuangkan bahan kisar tadi.
▶️ Pasangkan api dan biarkan mendidih sekejap.
▶️ Kemudian masukkan sikit air, serai yang diketuk dan juga serbuk kunyit. Kalau ada kunyit hidup boleh kisarkan dengan bawang tadi.
▶️ Biarkan sehingga bahan ni garing sedikit, lepas tu masukkan santan.
▶️ Santan ni boleh masukkan ikut tahap kepekatan kuah anda mahu. Campurkan sedikit air kalau kuah terlalu pekat.
▶️ Kalau nampak kuah kurang warna kuning, boleh masukkan sikit lagi serbuk kunyit.
▶️ Kacau sehingga sebati, kemudian masukkan asam keping.
▶️ Biarkan kuah mendidih sekejap.
▶️ Lepas tu masukkan nenas yang dah siap dipotong saiz serderhana.
▶️ Tunggu nenas dah lembut sedikit, lepas tu masukkan udang. Udang ni kalau dapat yang lagi besar, lagi sedap.
▶️ Kemudian masukkan daun kunyit yang dah diracik-racik.
▶️ Dan akhir sekali perasakan dengan garam. Kacau sebati dan bila dah mendidih, boleh padamkan api dan sedia untuk dihidangkan.
BACA JUGA: Resepi Ketam Masak Cili Api. Kuah Berlemak Dan Manis Sedap Dihirup. Mudah Je!
Nyummy, cukup menyelerakan bila lihat kuahnya. Kuah lemak ni kalau masak pedas-pedas lagi sedap. Sebab bila dah dicampurkan nenas, kalau masak kurang pedas nanti cepat muak dek rasa lemak manis kuah tu.
Jadi, nanti bolehlah cuba resepi udang masak lemak cili api ni untuk hidangan sekeluarga. Selamat mencuba!