Hujung-hujung minggu ni, tak tau pula nak masak apa kan? Apa kata jom masak udang goreng buttermilk sarang telur ni. Dalam resepi ni ada cara buat sarang telur sekali yang dah ramai mula sukakannya. Sarang telur tu yang sedap dan mencantikkan hidangan.
Resepi ni simple dan tak gunakan banyak bahan. Yang membuatkan hidangan ni sedap berlemak ialah butter dan susu tu sendiri. Kalau masak, berbau wangi je aroma masakan sebab dimasukkan sekali daun kari semasa menumis.
Udang goreng butter ni sesuai kalau buat hidangan untuk anak-anak. Rasanya berlemak susu dan tak pedas. Nak lagi sedap, kena pandailah pilih udang yang segar dan saiz besar. Bila digoreng, udang gemuk ni lebih sedap dan menyelerakan.
Perkongsian resepi udang goreng buttermilk kali ni ialah dari Puan Rafidah Jamal. Cara penyediaannya senang dan simple. Buat sarang telur dulu, lepas tu masak udang goreng butternya pula.
Kalau makan dengan nasi cukup sedap. Tapi kalau dapat meratah macam tu je lagilah enak! Jom kita tengok cara penyediaannya.
RESEPI UDANG GORENG BUTTERMILK SARANG TELUR
Untuk resepi ni, buat dulu sarang telur dan ketepikan. Lepas je masak udang buttermilk nanti, taburkan sarang telur di atasnya. Lagi halus sarang telur, lagi cantik hidangan!
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Telur kuning sahaja dalam 2-3 biji
- 1 sudu butter
- Minyak masak 1 cawan
Cara buat sarang telur:
▶️ Mula-mula pukul rata telur kuning. Nak masukkan garam sikit pun boleh.
▶️ Kemudian panaskan minyak sikit dalam kuali. Bila dah panas, masukkan butter dan pusing minyak tu dalam bulatan menggunakan senduk bulat dengan 1 hala.
▶️ Putar laju sedikit tapi jangan sampai melimpah.
▶️ Sambil putar laju-laju tu, masukkan kuning telur yang dipukul rata tadi. Masukkan sikit-sikit dengan tarik mangkuknya jauh sikit dari kuali macam buat teh tarik tu.
▶️ Terus putarkan senduk sampai telur tadi habis. Nanti akan nampak berbuih-buih dan warna jadi kuning keemasan.
▶️ Setelah dah berbuih dan kembang tu, terus angkat dan tapis dengan penapis kelapa. Ketepikan.
▶️ Sekarang masak udang buttemilk pula.
Bahan-bahan udang buttermilk:
- 14-15 ekor udang
- 3 biji bawang putih
- 4-5 biji cili padi (nak kurang pedas boleh kurangkan cili)
- Daun kari
- Butter 1 sudu
- Susu segar ¼ cawan
- Garam
Cara masak udang goreng buttermilk:
▶️ Mula-mula lumurkan udang dulu dengan sikit garam dan kunyit. Lepas tu gorengkan sekejap. Jangan goreng lama sebab nanti liat.
▶️ Kemudian dalam kuali lain, panaskan butter. Lepas butter dah mencair, masukkan bawang putih dan cili dan tumis sampai naik bau.
▶️ Lepas tu masukkan daun kari pula. Bila dah wangi dan garing, masukkan susu segar dan garam sedikit. Kacau sehingga sebati.
BACA JUGA: Resepi Sambal Udang Murunggai Indain Style. Sambalnya Memang Sedap Dan Padu.
▶️ Kemudian masukkan udang yang dah siap digoreng tadi. Kacau hingga sekata.
▶️ Bila dah kering sikit, boleh angkat dan taburkan sarang telur yang dah siap dibuat.
▶️ Sedia untuk dihidangkan.
Nampak menyelerakan kan? Udang ni masak apa je pun memang sedap. Sebab udang tu sendiri ada rasa sedap dan manisnya. Kalau buat masak buttermilk ni lagilah sedap dan bertambah naik rasa dia.
Bagi penggemar udang tu, bolehlah buat masakan udang goreng buttermilk ni. Resepi ni mudah dan sangat ringkas penyediaannya. Selamat mencuba.