Masakan sweet sour ni kalau nak kreatif lagi boleh tambahkan bahan perasa sendiri. Pernah tak makan udang sweet sour berempah yang sedap menyegat ni? Kalau hidang untuk suami, confirm makan bertambah!
Udang sweer sour ni rasanya dah tentulah masam-masam manis. Yang ini pun rasa dia dah cukup menangkap selera, bila ada rasa aroma berempah, lagilah buatkan masakan tu lebih menarik dan enak.
Sebelum dimasak, udang tu kita perap dengan rempah kari dulu kemudian digoreng. Barulah lepas tu dimasukkan ke dalam masakan sweet sour. Dengar je pun dah buatkan kita telan air liur kan.
Kalau dapat masak udang saiz besar, lagilah sedap. Kadang-kadang bila nak masak lauk udang yang sedap ni, gigihkan juga cari udang yang besar. Sebab rasa rugi dan tak puas kalau udang tu kecil dan mengecut dalam masakan.
Kalau anda nak cuba masakan udang sweet sour berempah ni, boleh ikut resepi yang dikongsikan oleh Nurul Husna. Mudah sangat caranya dan bahan pun simple je.
RESEPI UDANG SWEET SOUR BEREMPAH
Rempah kari yang digunakan ialah rempah kari daging. Sedap dan wangi aromanya. Selain perap dengan udang sebelum digoreng, rempah ni pun dimasukkan juga dalam bahan tumisan. Lagi bertambah berasa!
Bahan-bahan yang diperlukan:
Bahan perap:
- Udang saiz L 10 ekor
- 1 sudu rempah kari daging
- Secubit garam
Bahan-bahan lain:
- 4 biji bawang besar (2 biji dihiris untuk menumis dan 2 biji lagi potong bulat-bulat)
- 6 ulas bawang putih
- 5 biji cili padi( ikut kepedasan)
- 3 cm halia (potong memanjang)
- 2 batang serai
- Daun sup (optional. Tak nak letak pun tak apa)
- 3 sudu besar cili kisar
- 3 sudu besar sos cili
- 2 sudu besar sos tiram
- 2 sudu besar sos tomato
- 1 sudu besar rempah kari daging
- Sedikit garam jika perlu
- Sedikit air jika perlu
Cara masak udang sweer sour berempah:
▶️Mula-mula bersihkan udang dan toskan. Lumurkan dengan serbuk kari daging dan garam sedikit. Gaul sekata, kemudian perap sekejap dalam 10 minit. Ketepikan.
▶️ Panaskan minyak dalam kuali, dan goreng udang separuh masak.
▶️ Kemudian angkat dan ketepikan.
▶️ Panaskan minyak yang sama menggoreng udang tadi, dan masukkan bawang putih. Tumis sehingga bawang kekuningan.
▶️ Kemudian masukkan pula bawang besar dan terus tumis sehingga sedikit garing.
▶️ Seterusnya masukkan pula serai yang dah siap diketuk dan juga cili padi. Tumis sehingga naik bau.
▶️ Selepas, tu masukkan sesudu rempah kari daging dan kacau sekata. Masak sehingga pecah minyak tapi jangan terlampau garing atau hangit. Guna api yang kecil sahaja.
▶️ Masukkan pula cili kisar. Dan terus tumis sehingga cili masak dan terbit minyak.
▶️ Kemudian, masukkan sos cili, sos tiram dan sos tomato. Kacau sehingga sebati dengan kesemua bahan dalam 3 minit macam tu untuk elakkan hangit.
▶️ Selepas tu masukkan udang yang dah siap digoreng tadi. Kacau sekata. Kalau nampak macam kuahnya terlalu pekat, boleh masukkan air sedikit. Biarkan dalam 5 minit untuk bagi kuah dan udang sebati.
▶️ Dan akhir sekali masukkanlah bawang besar yang dipotong bulat dan juga daun sup sebagai hiasan atau bahan tambahan.
▶️ Dah siap, boleh angkat dan hidangkan.
BACA JUGA: Resepi Kari Udang Ala India Yang Sedap, Pekat Dan Berlemak. Buatkan Makan Nasi Bertambah-Tambah!
Hidangkan dengan nasi panas untuk makan tengah hari atau malam. Kalau dapat makan lauk udang sweet sour berempah ni, sedap ya amat.
Tak payah lauk lain lagi dah! Paling tidak pun hidangkanlah dengan ulaman atau telur dadar sebagai lauk sampingan.
Cara masaknya pun mudah je. Perencah kari daging tu tak sangka serasi dengan masakan sweet sour. Memang terbaik rasanya dan menangkap selera. Lepas ni bolehlah cuba!