Dah macam-macam kita cuba masakan ayam ni kan. Baik lauk gulai, ayam bakar, ayam goreng tepung dan sebagainya. Terjumpa pula satu resepi mudah untuk hidangan ayam yang sedap ni. Rasa rugi kalau tak cuba. Iaitu Ayam BBQ paling simple, sedap dan menarik untuk hidangan keluarga.
Resepi dari Suraya Yaacob ni cukup ringkas sebab tak perlu tumis dan bahannya sikit je. Hanya perlu gaul dan terus masak dalam kuali. Untuk mudah nak masak, sebaiknya gunakan bahagian ayam yang kecil, contohnya bahagian kepak ayam.
Memang puas makan terutamanya anak-anak. Sebab resepi ni tak pedas, berkuah lazat dan sesuai dimakan dengan nasi. Ibu-ibu pun tak susah nak masak jika ada permintaan dari anak-anak. Sekejap je siap.
Sebabkan masakan ni tak perlu tumis, jadi lebih sesuai kalau pakai kuali non stick sebab kita menggunakan ayam bahagian kepak. Jadi kulit ayam tu tak kan mudah melekat pada kuali.
Kuahnya pun perlu dimasak dan direnehkan lama sikit untuk pastikan ayam betul-betul masak. Apa-apa pun, kena pandai perhatikan ayam supaya masak sempurna dalam kuah lada hitam ni.
RESEPI AYAM BBQ SIMPLE DAN SEDAP
Kalau nak ambil bahagian ayam yang lebih kecil lagi, ambil bahagian kepak yang bahagian tengah je. Ayam akan lebih mudah masak. Terpulang juga ikut selera anda.
Bahan-bahannya:
- Kepak ayam bahagian tengah 24 pcs
- ½ kiub pati ayam
- 1 sudu teh serbuk oregano
- 1 sudu teh lada hitam kisar
- 4 sudu sos barbeque
- 1 sudu sos tiram
- ½ biji bawang besar dicincang halus
- ½ cawan air
- 1 sudu makan minyak masak
Cara masak ayam bbq simple dan sedap:
▶️ Masukkan ayam dalam mangkuk atau bekas.
▶️ Masukkan kesemua bahan lain juga ke dalamnya dan gaul sebati.
▶️ Kemudian panaskan kuali non stick, dan masukkan ayam yang dah digaul tadi.
▶️ Gunakan api yang perlahan dan renehkan.
▶️ Sesekali kacau dan balik-balikkan mana-mana part ayam yang tak kena gravy tu.
▶️ Tunggu sampai ayam masak dan kuahnya pekat.
▶️ Kalau kuah macam dah pekat dan kering sikit tapi ayam belum masak, boleh tambahkan air sikit lagi.
▶️ Kacau-kacau sebati dan biarkan betul-betul masak.
▶️ Kemudian bolehlah rasa kuahnya. Yang mana kurang, masukkan perasa yang sesuai ikut selera anda.
▶️ Dah siap, boleh padamkan api.
▶️ Sedia dihidang dengan nasi panas.
BACA JUGA: Resepi Ayam Masak Kicap Paling Simple Sekali, Tapi Sedap Sampai Menjilat Jari!
Ayam bbq ni sebenarnya terpulang juga pada anda kalau nak masukkan apa-apa lagi bahan tambahan lain. Contohnya hirisan cili, lobak merah yang dipotong kecil, kentang dan sebagainya.
Semuanya bergantung pada selera. Kalau nak buat yang simple, mungkin ayam ni je pun dah memadai. Kalau anda nak extra rasa, boleh tambah apa sahaja yang anda suka.
Sebab kita juga yang nak makan. Janji anak-anak dan suami suka. Jangan lupa cuba resepi ayam bbq simple dan sedap ni. Selamat mencuba!