Kalau anda jenis hantu pedas, bila tengok je sambal-sambal kering dan asli macam ni pasti rasa geram je kan sampai rasa nak ambil nasi dan nikmati makanan sampingan ni. Tak kiralah makan dengan lauk apa sekali pun, bila ada sambal ketuk ni terus terbuka selera. Cara buat sambal ketuk ikan bilis ni mudah je.
Ada juga sorang panggil sambal gesek. Lain negeri dan tempat, lain nama yang digelar. Tapi cara pembuatannya lebih kurang hampir sama. Tambah tolak je bahan-bahannya. Cuma yang penting kena ada cili, ikan bilis, belacan bakar, bawang dan perahan limau.
Tak sah rasanya kalau sambal ni tak cukup pedas menyengat, selupat dan sebati segala bahan-bahannya. Sebab tu ianya dipanggil sambal ketuk atau sambal gesek. Sebab bahan semua diketuk atau digesek dalam lesung sehingga hampir hancur sebelum dicampurkan perahan limau.
Dengan rasa pedas-pedas masam tu, kalau digaulkan dengan nasi, rasa cukup padu. Bagi anda yang biasa makan je tapi tak tau cara buat sambal ketul ikan bilis ni, boleh rujuk resepi yang dikongsikan oleh Rosmalina Muhammad ni.
Sambal ni sejenis sambal kering. Segala bahan sebelum ditumbuk akan dimasak atau digoreng dahulu atas kuali. Jadi, rasanya lebih sedap dan tahan lama. Bawa ke esok pun masih boleh dimakan lagi.
RESEPI SAMBAL KETUL IKAN BILIS
Segala bahan-bahan anda boleh agak-agak berapa banyak kuantitinya. Kalau bahan tak sekata, kurang enak pula rasanya nanti. Contohnya cili padi jangan terlalu banyak berbanding ikan bilis, nanti rasa cili terlalu kuat atau pedas sampai hilang rasa ikan bilis. Begitu juga sebaliknya.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Cili padi 1 mug
- Ikan bilis 1 mug
- Bawang merah 3 ulas
- Belacan yang dibakar sedikit (kalau sesiapa yang alergik, boleh skip belacan ni)
- Limau nipis dibelah
- Minyak masak untuk menggoreng
Cara buat sambal ketuk ikan bilis:
▶️ Mula-mula goreng ikan bilis sehingga garing. Kemudian tos dan ketepikan.
▶️ Dengan minyak yang sama, goreng pula cili padi dan bawang. Goreng sehingga layu kemudian toskan juga.
▶️ Seterusnya sediakan lesung batu dan tumbuk belacan bakar, cili padi dan bawang yang dah digoreng tadi. Tumbuk bahan-bahan ni sampai separa lumat.
▶️ Kemudian masukkan pula ikan bilis dan tumbuk jangan terlalu hancur.
▶️ Masukkan ke dalam mangkuk dan perahkan air limau nipis.
▶️ Dah siap. Boleh dihidangkan bersama nasi, lauk dan ulaman untuk menjamu selera.
BACA JUGA: Kerabu Ikan Bilis Garing Super Sedap. Cukup Rasa Masam, Manis, Pedasnya!
Kalau makan kat restoran waktu tengah hari tu, bila nak cari makanan sampingan je mesti mata tertumpu kat bahagian sambal ketuk atau sambal gesek ni kan. Kedua-dua jenis sambal ni memang selalu jadi perhatian selain sambal belacan.
Sekarang kat rumah, kalau nak rasa nikmat yang sama macam makan kat restoran tu, bolehlah buat sendiri sambal ketuk ni. Buat stok untuk makan tengah hari dan malam. Kalau berlebih bawa ke esok pula. Selamat mencuba!